Budak lelaki yang emosi memeluk Bapa Suci, kini postulan religius
Semasa Hari Belia Sedunia 2013 di Rio de Janeiro, seorang budak lelaki berjaya ‘melepasi’ orang ramai untuk memeluk Sri Paus Fransiskus.
Jan 21, 2022
ROMA: Semasa Hari Belia Sedunia 2013 di Rio de Janeiro, seorang budak lelaki berjaya ‘melepasi’ orang ramai untuk memeluk Sri Paus Fransiskus. Budak lelaki itu kini sedang menyelami kehidupan religius.
Berita itu dikeluarkan pada 3 Januari oleh Uskup Lorena, Msgr Joaquim Wladimir Lopes Dias, melalui catatan di Facebook, di mana prelatus itu memuatkan gambar Sri Paus Fransiskus memeluk Nathan de Brito yang berusia sembilan tahun. Satu lagi foto menunjukkan Nathan pada masa ini, seorang postulan dari Ordo Friars Minor di Rondonópolis bersama Uskup Joaquim.
Peristiwa Nathan memeluk Bapa Suci masih diingati khususnya bagi umat Brazil, Melalui rakaman, Nathan mengejar mobil Sri Paus dan pengawal keselamatan mengangkatnya menaiki mobil Sri Paus. Nathan kemudiannya dilihat berpaut, dan memeluk Sri Paus, dengan air mata mengalir di wajahnya lebih-lebih lagi ketika pengawal keselamatan cuba menariknya daripada Sri Paus.
Selepas Bapa Suci Fransiskus memberkatinya, salah seorang pengawal keselamatan berjaya menarik Nathan, membawanya keluar dari mobil Sri Paus, menenangkannya dan membawanya pulang ke keluarganya. Dalam perjalanan pulang, Nathan menutup wajahnya dan menangis teresak-esak.
Uskup Lopes dalam akaun Facebooknya, mengongsikan gambar dirinya di hadapan altar di sebuah gereja bersama Nathan, yang kini seorang postulan religius dan tersenyum dalam jubah putih dan salib di dadanya.
Uskup Lopes juga menyatakan bahawa Nathan “menerima salib daripada Sri Paus Fransiskus sendiri dan mendapat kebenaran untuk memakainya. Beliau kini adalah postulan dari Ordo Friars Minor di Rondonópolis, Mato Grosso.”
Di samping itu, gambar Nathan yang sedang emosi dan memeluk Sri Paus, juga pernah dijadikan ikon bagi Bulan Vokasi yang diadakan pada tahun 2016.
Dalam sebuah temu bual yang sama, Nathan mengongsikan bahawa “impiannya” adalah menjadi seorang paderi. Pengalamannya menerima Komuni pertama dan pertemuannya dengan Sri Paus Fransiskus adalah peristiwa-peristiwa penting dalam panggilannya.
Katanya, “Saat istimewa permulaan kisah panggilan saya semasa menyambut Komuni Pertama. Sejak itu, meskipun tidak layak, saya menjadi tabernakel Yesus yang hidup. Satu lagi detik yang memberi kesan hebat bagi saya ialah pertemuan yang tidak dijangka dengan Bapa Suci Fransiskus semasa WYD Rio 2013.” -- CNA
Total Comments:0