Bunuh diri dan tanggapan salah kita mengenai hal ini

Margaret Atwood pernah menulis bahawa kadangkala sesuatu perkara itu perlu dikatakan, dan diulang lagi, diulangi berkali-kali, sehinggalah ia tidak perlu diperkatakan lagi.

Jun 24, 2022


Margaret Atwood pernah menulis bahawa kadangkala sesuatu perkara itu perlu dikatakan, dan diulang lagi, diulangi berkali-kali, sehinggalah ia tidak perlu diperkatakan lagi. Itulah sebabnya saya menulis ruangan mengenai bunuh diri setiap tahun, kebanyakan isinya mengatakan perkara yang sama berulang kali.

Harapan saya, seperti sekeping nota yang dimasukkan ke dalam botol dan terapung ke laut, pesanan kecil saya mungkin dapat menghiburkan seseorang yang kehilangan orang tersayang akibat membunuh diri.

Apa yang perlu dikatakan, dan dikatakan sekali lagi, tentang bunuh diri? Empat perkara.

Pertama, bahawa ia adalah penyakit dan mungkin ia merupakan penyakit yang sering kali disalahertikan daripada semua penyakit.

Kita cenderung untuk berfikir bahawa jika kematian diakibatkan akibat perbuatan diri sendiri, ia adalah perbuatan sukarela, ia bukan kematian melalui penyakit fizikal atau kemalangan. Tetapi dalam kebanyakan kes bunuh diri, ini tidak benar.

Seseorang yang meninggal dunia akibat bunuh diri, seperti juga mangsa penyakit terminal atau kemalangan maut, mati bukan atas pilihannya sendiri.

Apabila orang mati akibat serangan jantung, strok, barah, AIDS, dan kemalangan, mereka mati di luar kehendak mereka.

Perkara yang sama berlaku dalam kes bunuh diri, tetapi dalam kes bunuh diri, apa yang ‘sakit’ adalah emosi dan bukannya fizikal. Emosi yang sakit ini boleh terdiri daripada: strok emosi, kanser emosi, kerosakan sistem imun emosi, kematian emosi.

Ini bukan analogi. Terdapat pelbagai jenis serangan jantung, strok, kanser, kerosakan sistem imun, dan kemalangan maut.

Walau bagaimanapun, mereka semua mempunyai kesan yang sama iaitu ia mengakibatkan seseorang individu mati di luar kehendaknya sendiri.

Tiada siapa yang mati kerana bunuh diri, sebenarnya mahu mati. Dia hanya mahu menamatkan kesakitan yang tidak dapat ditanggung lagi, seperti seseorang yang melompat dari bangunan yang terbakar lalu mati kerana pakaiannya terbakar.

Kedua, kita tidak seharusnya terlalu bimbang tentang keselamatan abadi si mangsa bunuh diri, mempercayai (seperti yang kita selalu fikirkan) bahawa bunuh diri adalah tindakan putus asa yang muktamad dan sesuatu yang tidak akan diampuni oleh Tuhan.

Tuhan jauh lebih memahami daripada kita dan tangan Tuhan jauh lebih selamat dan lebih lembut bdaripada tangan kita. Bayangkan seorang ibu penyayang yang baharu melahirkan anak, mendakap bayi didadanya buat kali pertama.

Saya percaya, adalah imej terbaik untuk menggambarkan bagaimana mangsa bunuh diri (selalunya mereka yang berjiwa terlalu sensitif) diterima ke kehidupan seterusnya. Tuhan maha memahami, mengasihi, dan lembut.

Kita tidak perlu risau tentang nasib sesiapa pun, tidak kira punca kematian, yang semasa di dunia ini berkelakuan jujur, terlalu sensitif, lemah lembut, terlalu tegang, dan tetapi emosinya remuk dan sakit.

Tuhan mempunyai kasih yang istimewa kepada yang patah dan remuk redam.

Namun, meskipun kita mengetahui hal ini, tidak semestinya rasa sakit (dan kemarahan) kita kerana kehilangan seseorang yang membunuh diri akan hilang; iman dan pemahaman bukan bertujuan untuk menghilangkan kesakitan kita tetapi untuk memberi kita harapan, penglihatan, dan sokongan semasa kita berjalan dalam kesakitan.

Ketiga, kita tidak seharusnya menyeksa diri kita dengan meneka atau menyalahkan diri sendiri apabila kita kehilangan orang yang kita sayangi kerana membunuh diri: “Apakah yang telah saya lakukan? Bagaimana saya telah mengecewakan dia? Kalaulah saya lebih memahami ... Bagaimana jika ..?”

Adalah wajar kita dihantui dengan persoalan-persoalan seperti, “kalaulah saya berada di sampingnya pada ketika itu.” Jarang sekali ini akan membuat perubahan.

Memang, kebanyakan masa, kami tidak berada di samping mereka yang mengalami ‘barah emosi’ kerana orang yang menghidap penyakit ini tidak mahu kita berada di samping mereka. Dia memilih masa, tempat dan cara tepat supaya kita tidak berada di sana.

Mungkin lebih tepat untuk mengatakan bahawa bunuh diri adalah penyakit yang memilih mangsanya dengan tepat sehingga mengecualikan orang lain dan tidak perasan akan hal ini.

Tetapi, ini bukanlah bermakna, kita tidak perlu peka, terutamanya terhadap mereka yang mengalami kemurungan berbahaya, tetapi ini merupakan pemeriksaan sihat terhadap perasaan bersalah dan meneka-neka mengapa mereka membunuh diri.

Kita manusia, bukan Tuhan. Orang mati kerana sakit dan kemalangan sepanjang masa dan kadangkala semua kasih sayang dan perhatian di dunia tidak dapat menghalang orang yang disayangi daripada mati.

Cinta, meskipun kuat dan berkuasa, kadang-kadang tidak berdaya di hadapan penyakit yang mematikan.

Keempat, apabila kita kehilangan orang yang disayangi kerana membunuh diri, salah satu tugas kita adalah berusaha untuk menebus akan kenangan terhadap orang itu, iaitu, meletakkan kehidupan orang itu ke dalam perspektif positif, tidak mencemarkan kenangan manis kita bersamanya semata-mata dia telah membunuh diri.

Tindak balas kita dan kepercayaan yang wajar terhadap bunuh diri tidak seharusnya menjadi ngeri, bimbang akan keselamatan abadi mangsa, bertanya berulang kali bagaimana kita telah mengecewakan orang ini, atau hanya diam dan menghalang orang lain apabila bercakap tentang dia yang membunuh diri.

Bunuh diri sememangnya cara yang mengerikan untuk mati, tetapi kita mesti memahaminya (sekurang-kurangnya dalam kebanyakan kes) sebagai penyakit, kerosakan tragis dalam sistem imun emosi.

Paling penting, kita mesti mempercayai Tuhan, kebaikan Tuhan, pemahaman Tuhan, kuasa Tuhan yang turun ke neraka, dan kuasa Tuhan untuk memperbaiki segala-galanya, walaupun kematian secara membunuh diri. — Hakcipta Terpelihara 1999-2022 @ Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments