Cabaran untuk terus setia kepada Tuhan

Pada hari ini daun Palma diberkati dan kisah sengsara Yesus dibacakan yang membawa kita pada pembukaan hingga Minggu Suci.

Apr 11, 2014

HARI MINGGU
PALMA
YES 50:4-7;
FIL 2:6-11;
MAT 26:14 – 27:66

Pada hari ini daun Palma diberkati dan kisah sengsara Yesus dibacakan yang membawa kita pada pembukaan hingga Minggu Suci.

Daun Palma yang kita bawa pulang dan disisipkan pada pintu dan tempat-tempat tertentu sebenarnya menyedarkan kita bahawa kita sanggup berjalan bersama Yesus, bukan hanya dalam masa puncak kejayaan seperti orangorang yang bergembira ketika Yesus memasuki Kota Yerusalem bersorak-sorak, “Hosana! Terpujilah kerajaan Bapa Daud yang kini tiba. Terpujilah yang Mahatinggi,” tetapi juga pada masa-masa menderita dan sengsara seperti orang-orang dalam Injil tadi yang berteriak mendesak supaya Dia disalibkan.

Petrus dan para murid yang lain mengambil kesempatan untuk turut serta mendapatkan pujian daripada orang ramai ketika Yesus memasuki Kota Yerusalem.

Tetapi apakah mereka yang turut dipuji dan disanjung tinggi ini masih bersama Yesus pada hari Jumaat Agung apabila Yesus diadili dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain? Tidak ada! Kecuali Yohanes, murid-murid yang pengecut itu semuanya lari menyelamatkan diri dan meninggalkan Yesus seorang diri.

Petrus yang pernah mengungkapkan janji kesetiaannya sampai mati untuk mengikuti Yesus, sewaktu malam perjamuan terakhir dengan Yesus, sanggup berbohong di hadapan seorang perempuan bahawa dia tidak mengenali Yesus hanya kerana garagara mahu menyelamatkan dirinya daripada ditangkap.

Sebenarnya di dalam diri kita masing-masing terdapat sikap Petrus dan murid-murid dalam Injil tadi. Bahawa apabila semuanya dalam keadaan baik, kita setia pada Tuhan. Tapi apabila keadaan tidak baik, ada potensi bagi kita untuk tidak ingat pada Tuhan.

Kononnya pada waktu dahulu ada seorang Paus yang sangat disayangi oleh orang ramai. Paus tersebut mengidap sakit lemah jantung dan memerlukan pemindahan jantung dengan segera.

Berita tersebut disebarkan kepada orang ramai yang berada di sekitar dataran St. Petrus, berdekatan tempat tinggal Paus tersebut, lengkap dengan rayuan agar ada orang yang dengan sukarela mendermakan jantungnya. Dengan penuh semangat ramai kaum lelaki mengangkat tangan supaya dipilih menjadi penderma.

Oleh kerana terlalu ramai, maka diadakan pemilihan dengan cara menjatuhkan bulu ekor burung merpati dari atas beranda Paus, dan sesiapa yang disentuh oleh bulu tersebut, maka dialah yang dipilih sebagai penderma.

Ketika bulu tersebut dijatuhkan ke atas para penderma tersebut, mereka masing-masing meniup bulu tersebut dengan sekuat tenaga agar tidak menyentuh kepala mereka sehingga akhirnya bulu tersebut jatuh ke tanah.

Memang mudah bersyukur pada Tuhan apabila sihat, dikelilingi oleh orang-orang yang prihatin dan mengasihi kita. Tetapi sukar bagi kita mengasihi Tuhan apabila kita terpaksa berkorban seperti dalam cerita tadi. Atau apabila kita jatuh sakit, selalu gagal dan dilupakan oleh sesama kita, kita lupa Tuhan lalu memilih jalan lain, misalnya mencari bomoh, dukun, tukang tilik dan sebagainya. Sekarang pada saat-saat sebegini inilah kita dengan sesungguhnya mengalami kesengsaraan Yesus.

Misalnya seorang pesakit yang menghidap penyakit yang sukar untuk disembuhkan atau seorang isteri mempunyai suami yang sering menderanya dengan kata-kata kesat apabila pulang dalam keadaan mabuk tetapi masih sanggup menyatakan “ya” terhadap kehendak Tuhan untuk tetap bertahan, memahami dan mengampuni. Sikap seperti ini sebenarnya membuat individu yang berkenaan telah menghayati doa Yesus “Ya Bapa- Ku. Jikalau Engkau mahu, ambillah cawan ini daripada-Ku: Tetapi bukanlah kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mulah yang terjadi” (Lk 22:24). Bahawa kita boleh berdoa agar dijauhi daripada segala yang tidak baik tapi pada masa yang sama tetap akur pada kehendak Tuhan yang maha tahu terhadap kebaikan kita.

Kembali pada kisah Yesus memasuki Yerusalem tadi, terdapat satu versi lain yang nampaknya seperti rekaan belaka tapi mempunyai pesan yang unik bagi kita pada hari ini. Ketika Yesus memasuki Kota Yerusalem dengan penuh kemegahan, Dia menunggang seekor keldai untuk menunaikan nubuat Nabi Zakhariah 9:9 “… bersorak-sorailah, hai Yerusalem! Lihat rajamu datang kepadamu… menunggangi seekor keledai.”

Ketika orang-orang Yahudi melambai-lambaikan daun palma sambil berteriak, “Hosana… terpujilah Raja yang datang,” sang keldai perasan bahawa dia yang dipuji. Dia terus menganggukanggukkan kepalanya kerana dipuji dan lupa tuan yang ada di atas belakangnya itulah yang sebenar- Nya yang empunya pujian.

Apakah kita tidak seperti sang keledai tersebut? Apabila kita mempunyai bakat, kemahiran dan pelbagai kejayaan belum termasuk jawatan, pangkat dan gelaran, sikap sombong mulai memasuki kepala otak kita.

Kita menyangka segala-galanya itu adalah hasil usaha dan titik peluh kita sendiri dan melupakan Tuhan yang adalah sumber berkat atas segala apa yang kita miliki di dunia ini. Kalau memang begitu terjadi di dalam diri kita masingmasing, maka betullah semangat keldai tersebut sudah merasuki diri kita. -- JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments