Canossian rai ulang tahun ke-250
Gereja St Louis menganjurkan sambutan ulang tahun ke-250 kelahiran Sta Magdalen dari Canossa pada September 15, bertemakan Set Life on Fire.
Oct 12, 2024
KLUANG, Johor: Gereja St Louis menganjurkan sambutan ulang tahun ke-250 kelahiran Sta Magdalen dari Canossa pada September 15, bertemakan Set Life on Fire.
Perayaan Ekaristi dipimpin oleh Kardinal Sebastian Francis dan dibantu oleh Uskup Agung Julian Leow, paderi paroki St Louis iaitu Msgr Peter Ng, dan penolong paderi paroki, Fr William Pillai.
Turut hadir ialah Fr James Rajendran, Fr Ryan Innas Muthu, Fr Adrian Francis, bersama rakan-rakan Canossian dari Malaysia dan Singapura.
Dalam homilinya, Kardinal menghargai karya-karya para biarawati Canossian yang melayani mereka yang amat memerlukan, kaum miskin dan mereka yang sakit. Melalui pelayanan para biarawati Canossian itu, mereka yang dilayani berasa dipeduli, diberi perhatian dan mengalami penyembuhan.
Para misionari awal Canossian telah membawa pesan Sukacita Injil serta karisma St Magdalen, ke pantai Malaya dan Singapura.
Hari ini, para Sister Conossian meneruskan misi mereka di Jinjang, Kuala Lumpur; Sungai Siput, Perak; Melaka dan Kluang, Johor.
Sta Magdalen telah dikanonisasi pada tahun 1988, selepas menubuhkan Kongregasi para Sister dan Paderi Canossian pada awal abad kesembilan belas.
Wanita kudus itu meninggalkan warisan yang terdiri daripada para Sister dan paderi Canossia. Mereka berdedikasi untuk berkhidmat kepada orang miskin, membuka sekolah untuk kanak-kanak, mewartakan Khabar Gembira dan menjaga orang sakit.
Satu abad selepas kematian Sta Magdalen pada tahun 1835, seorang lagi santa Canossian, St Bakhita, telah dikanonisasi pada Tahun Jubli 2000 dan dihormati sebagai “Santa Milenium ketiga”.
Sta Magdalen menggalakkan para Sister dan paderi Canossian untuk melanjutkan misi mereka hingga ke luar Itali.
Kongregasi itu telah menubuhkan yayasan pertama di Hong Kong pada tahun 1860, kemudian China, Macau, Timor Timur, India, Singapura dan Tanah Melayu, di mana misi itu telah berkembang maju selama 119 tahun sejak 1905.
Hari ini, para Canossian melayani di seluruh Asia, Afrika, Amerika, Eropah, dan Oceania, yang berpegang kuat kepada slogan Sta Magdalen, “Amal kebajikan adalah “api” yang sentiasa merebak”.
Perayaan ulang tahun ke-250 kelahiran St Magdalen dari Conossia ini bertujuan memperbaharui dan mengukuhkan komitmen para Sister Conossian di Malaysia untuk melayani dalam bidang penginjilan, pendidikan, mendekati golongan miskin dan mereka yang terluka dari segi rohani dan jasmani.
Walaupun menghadapi banyak cabaran dan kekangan dalam dunia hari ini, mereka tetap teguh dengan panggilan mereka untuk “Memperkenalkan dan mengasihi Yesus”.
Total Comments:0