CAPA 2024, klerus KL selidik Sinode dan deklarasi Sri Paus

Setiap tahun pada bulan Januari, paderi Keuskupan Agung Kuala Lumpur bersidang untuk Perhimpunan Pastoral Tahunan Pendeta mereka (CAPA).

Feb 11, 2024

Para klerus Keuskupan Agung KL mengabdikan gambar bersama dalam CAPA 2024 di Port Dickson.


SEREMBAN: Setiap tahun pada bulan Januari, paderi Keuskupan Agung Kuala Lumpur bersidang untuk Perhimpunan Pastoral Tahunan Pendeta mereka (CAPA).

Pada tahun ini, CAPA berlangsung di Glory Beach Resort, Port Dickson, bermula pada petang Ahad, Januari 14 hingga tengah hari Khamis, Januari 18.

Kira-kira 60 paderi dan Uskup Agung Kuala Lumpur menyertai acara empat hari ini, yang menumpukan kajian keputusan Sinode 2023 dan menyelidiki isu serta dokumen penting terkini.

Sepanjang CAPA, pelbagai topik telah dibincangkan, dikongsi dan dibentangkan.

Fr Simon Labrooy membentangkan Laporan CAPA 2023, yang menyatakan analisis komprehensif tentang cabaran dan tahap kepuasan yang dialami pada tahun sebelumnya.

Satu lagi sesi penting ialah sesi yang dikendalikan oleh Fr Clarence Devadass, tentang keputusan Sinode tentang Sinodaliti 2023 dan persiapan untuk Sinode akan datang pada Oktober 2024.

Sebagai salah seorang delegasi Malaysia yang hadir pada perhimpunan Sinode 2023 di Vatikan, Fr Clarence berkongsi pengalamannya sebagai peserta dan ahli jawatankuasa penggubal kerangka.

Beliau menekankan pentingnya kesediaan para klerus di peringkat Persidangan Gereja Malaysia untuk Sinode pada Oktober 2024. Paderi itu juga menjelaskan bagaimana Gereja boleh berkembang menjadi Gereja Sinodal dalam Misi, menekankan pemenuhan komitmen penginjilan di samping mengekalkan perpaduan dan kepelbagaian.

Dalam sesi lain, Uskup Agung Julian Leow dan Fr Philip Tay, OCD membimbing para klerus Keuskupan Agung KL tentang dua deklarasi/dokumen terkini: The Pastoral Meaning of Blessings (Fiducia Supplicans bertarikh Disember 18, 2023) dan Penyertaan Transgender dan Golongan Homoseksual dalam Sakramen Pembaptisan dan Perkahwinan (Dicasterium Pro Doctrina Fidei bertarikh Oktober 31, 2023).

Latihan ini memberikan kejelasan tentang isu-isu yang berkaitan dengan berkat ter-hadap golongan homoseksual, tentang sinodaliti misi Gereja, kepentingan pertaubatan, dan perkara-perkara lain yang diketengahkan semasa Sinode 2023.

Pencerahan yang diperoleh semasa kajian ini membantu menjelaskan keraguan di kalangan para paderi, membolehkan mereka memahami dengan lebih baik tentang deklarasi atau dokumen serta isu yang menyebabkan kekeliruan sebelum ini.

Pada paderi menyatakan sokongan dan berpuas hati dengan pengurusan pentadbiran Uskup Agung Julian yang telah sepuluh tahun menggembala Keuskupan Metropolitan Kuala Lumpur serta komited untuk bekerja bersama dengan prelatus itu dan menerima tanggungjawab bersama membina Gereja serta melayani umat.

Selain sesi, perbincangan dan forum, CAPA juga diisi dengan doa, adorasi, refleksi dan perayaan Ekaristi.

Total Comments:0

Name
Email
Comments