China lancar kempen ‘anti-Kristian’ musnahkan Gereja, tapak ziarah

Pihak berwenang di Wenzhou telah memusnahkan semua patung rohani dan merosakkan kawasan ziarah yang dikenali sebagai “Yerusalem di China”. Pemusnahan ini dikhuatiri sebagai ancaman kekerasan pihak berkuasa terhadap penganut Kristian.

May 08, 2014

SHANGHAI (Herald Malaysia): Pihak berwenang di Wenzhou telah memusnahkan semua patung rohani dan merosakkan kawasan ziarah yang dikenali sebagai “Yerusalem di China”. Pemusnahan ini dikhuatiri sebagai ancaman kekerasan pihak berkuasa terhadap penganut Kristian.

Lebih kurang 50 pekerja kerajaan menutup jalan di sekitar Bukit Longgang Wenzhou, pada Mei 3 lalu dan menggunakan batu-bata bagi ‘menyembunyikan’ beberapa patung yang digunakan bagi upacara Jalan Salib.

Patung Yesus, Perawan Maria dan Sto Yosef yang beratnya kira-kira lima tan, ‘dilindungi’ dengan batu besar agar tidak dapat dilihat oleh orang awam. Semua dekorasi rohani juga dimusnahkan.

Lebih kurang seribu Katolik yang datang menyaksikan ‘pemusnahan’ itu dihalang bagi memasuki kawasan tersebut. Beberapa Katolik yang berjaya meloloskan diri memasuki kawasan itu, menyanyikan lagu dan berdoa manakala yang lain menangis sedih.

Sebelum itu, sebuah gereja Protestan di bandar yang sama, turut dimusnahkan . Kerajaan menyatakan bahawa kedua-dua tempat rohani itu tidak mendapat kebenaran dan bertentangan dengan undang-undang.

“Sungguhpun begitu, kerajaan seharusnya berbincang terlebih dahulu atau mencadangkan kawasan di mana boleh membina tempat beribadat,” ujar seorang penganut Kristian yang tidak mahu namanya ditulis.

Semasa kawasan ziarah itu dimusnahkan, pihak berkuasa menyatakan ia adalah pemeriksaan keselamatan dan berjanji tidak akan merosakkan patung-patung yang ada.

Penganut Kristian mengecam Parti Komunis yang menguasai wilayah Zhejiang cuba memperlahankan penyebaran agama Kristian dengan memusnahkan Gereja serta tapak ziarah.

Para aktivis Kristian juga telah menyenaraikan bahawa sebanyak 20 gereja sudah dimusnahkan oleh kerajaan tempatan. Kerajaan pula membela diri dengan menyatakan bahawa mereka sedang menjalankan kempen pemusnahan bangunan yang tidak mendapat kebenaran termasuklah tempat ibadat Buddha dan kilang.

Namun, menurut akhbar Katolik Ucanews, beberapa minggu lalu, kegiatan menghalang aktiviti keagamaan semakin ketara apabila empat orang Katolik telah dipukul dan dicederakan oleh pegawai kerajaan kerana membantah pemusnahan salah sebuah Gereja.

Total Comments:0

Name
Email
Comments