Choice Bahasa Malaysia pertama di KL
Program Hujung Minggu Choice Bahasa Malaysia kali ke lapan telah melabuhkan tirai penutupnya pada Januari 12, 2025 selepas sesi susulan yang diadakan di Gereja St Thomas More Subang Jaya.
Feb 07, 2025

Augustus Antoine
KUALA LUMPUR: Program Hujung Minggu Choice Bahasa Malaysia kali ke lapan telah melabuhkan tirai penutupnya pada Januari 12, 2025 selepas sesi susulan yang diadakan di Gereja St Thomas More Subang Jaya.
Para peserta terdiri daripada mereka yang telah mengikuti program Hujung Minggu Choice di IJ Retreat Centre, Port Dickson pada Disember tahun lalu.
Sesi susulan ini adalah untuk meraikan graduan para peserta yang telah menyertai program hujung minggu tersebut dan untuk mendapatkan maklum balas program daripada mereka.
Program Hujung Minggu Choice Bahasa Malaysia Kuala Lumpur ini, membawa suasana baru dan respon yang positif kerana pertama kali dianjurkan di luar kawasan Kuala Lumpur.
19 orang peserta yang terdiri daripada 13 belia bujang yang bekerja dan enam orang seminarian dari College General, Pulau Pinang. Berusia 20-38 tahun dari Sabah dan Sarawak.
Program ini dibimbing sepenuhnya oleh Fr Michel Dass, Penasihat Rohani bagi Tim Choice Bahasa Malaysia Kuala Lumpur.
Teras utama program Hujung Minggu Choice ini, adalah untuk menekankan kepentingan hubungan dengan keluarga, rakan, Gereja, komuniti dan Tuhan, melalui cinta kasih agar dapat berjalan bersama serta bertumbuh dalam iman sesuai dengan tema Choice, iaitu Mengenali, Mengasihi dan Melayani.
Para peserta juga dapat membuka diri mereka sepenuhnya untuk merenung, berkongsi dan membincangkan apa yang penting bagi diri mereka di sepanjang program ini.
Berikut merupakan beberapa perkongsian para peserta:
“Sebagai seorang seminarian yang bergelut dengan pelbagai cabaran kehidupan, saya mendapati bahawa program Hujung Minggu Choice sangat membantu saya untuk menyedari bahawa saya bukanlah satu-satunya yang menghadapi masalah.
Mendengar perkongsian para peserta lain, saya mendapati bahawa rata-rata kami mempunyai pergelutan yang serupa dan ramai lagi yang menghadapi situasi yang jauh lebih mencabar.
Ini memberikan kesedaran yang mendalam kepada saya bahawa saya tidak bersendirian. Program Choice ini benar-benar menguatkan semangat dan memberikan pandangan yang mendalam tentang kasih Tuhan dan kebersamaan dalam komuniti iman.” — Seminarian Charles Boromeo, (CBMKL8 – 2024).
“Selama ini saya mencari apakah Tuhan Yesus itu ada? Bagaimanakah Dia berinteraksi dengan kita? Tuhan Yesus selalu ada tetapi kita yang lalai dengan menumpukan waktu yang banyak kepada persekitaran kita, media sosial, keinginan kita dan hidup kita yang sibuk.
Tuhan Yesus juga ingin waktu kita untuk bersama Dia dalam kedamaian dan ketenangan untuk Dia bercerita kepada kita. Dalam Program Hujung Minggu Choice inilah saya telah mendapat cinta kasih Tuhan Yesus dan kedamaian yang saya cari selama ini. — Eldyjane Cabale, (CBMKL8 – 2024)
Total Comments:0