CLP memperkuat kehidupan keluarga Kristian
Program Kehidupan Kristian Siri Tiga (Christian Life/ CLP) peringkat Zon Minawo telah berlangsung pada Januari 10-12 lalu di Gereja St Joseph Minawo.
Feb 07, 2025

KENINGAU: Program Kehidupan Kristian Siri Tiga (Christian Life/ CLP) peringkat Zon Minawo telah berlangsung pada Januari 10-12 lalu di Gereja St Joseph Minawo.
Merupakan anjuran Couples for Christ (CFC) Sabah — Interior KSFX, program yang diperkenalkan pada tahun 2022 ini kini telah memasuki siri ketiga.
Seramai 14 pasangan Couples for Christ (CFC), 19 peserta Handmaids of The Lord (HOLD), lima peserta Servant of The Lord (SOLD), 12 peserta Singles for Christ (SFC), dan sembilan peserta Youth of Christ (YFC), serta seorang peserta Kids for Christ (KFC) – telah menghadiri CLP yang dimulakan dengan perayaan Ekaristi.
Msgr Gilbert Lasius dalam homilinya semasa Misa Kudus pembukaan menekankan keluarga sebagai asas dan misi dalam Gereja Katolik. Merujuk dokumen Amoris Laetitia, Msgr Gilbert mengakui banyak keluarga yang menghadapi cabaran dunia moden masa kini seraya menegaskan bahawa Gereja sangat komited untuk membantu, membimbing dan menyokong keluarga agar terus berakar pada Kristus.
“Yesus hidup melalui keluarga dan memulakan misi-Nya dalam Keluarga Kudus Nazaret,” jelasnya lalu menyeru para peserta untuk meneladani Kristus dan memainkan peranan mereka dalam hidup keluarga Kristian.
Program tiga hari itu diisi dengan lapan sesi ceramah dan setiap sesi diikuti dengan perkongsian kumpulan, berkongsi pengalaman peribadi dan saling memberikan sokongan antara sesama.
Program ini diakhiri dengan sambutan perayaan Lord’s Day yang meriah dan merupakan satu tradisi dalam program CLP sebagai tanda kesyukuran dan kesatuan.
Dalam perayaan ini, peserta telah melafazkan ikrar dan menerima kit dedikasi sebagai lambang komitmen dan janji mereka terhadap pelayanan dalam kehidupan Kristian.
Upacara ini juga merupakan peringatan dan misi mereka untuk membangun iman Kristus melalui keluarga dan komuniti mereka.
Semoga melalui kejayaan program CLP3 ini, ia dapat menginspirasikan lagi harapan untuk pertumbuhan iman yang berterusan dan transformasi rohani peserta dalam keluarga, komuniti dan masyarakat. --Melty Paulus
Total Comments:0