Datanglah Tuhan Yesus..

KETIKA negara akan beralih ke peringkat endemik daripada pandemik, kembali kepada keadaan normal masih jauh bagi masyarakat.

Dec 04, 2021

PESAN ADVEN 2021
Uskup Agung John Wong
Keuskupan Agung Kota Kinabalu

KETIKA negara akan beralih ke peringkat endemik daripada pandemik, kembali kepada keadaan normal masih jauh bagi masyarakat. Kita masih perlu hidup bersama dengan COVID-19. Ini bermakna SOP akan kekal di sini untuk tempoh masa yang tidak dapat ditentukan.

Kita telah membiasakan diri dengan normal baharu. Walaupun memakai pelitup muka, penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan penggunaan pembersih tangan kini merupakan sifat kedua bagi kita, sesetengah daripada kita terus hidup dan bergelut dengan kehilangan pekerjaan dan perniagaan, ekonomi yang suram, kekecewaan dengan sistem kesihatan yang tegang, kehilangan orang tersayang yang tidak dapat diramalkan kepada COVID-19, persoalan vaksinasi penggalak, dan politik yang afektif dan tidak stabil.

Di tengah-tengah ketidakpastian duniawi yang mengganggu ketenteraman kita, di atas segala-galanya, ada penantian dan harapan agar wabak ini berjaya dihapuskan. Tetapi adakah harapan dan penantian kita akan menjadi sia-sia?

Adven datang lagi. Secara amnya Adven bermaksud tempoh menunggu dan bersiap sedia untuk Krismas. Sebaliknya menurut tradisi Gereja, Adven adalah masa penantian penuh harapan.

Kita menanti dengan penuh harapan untuk Anak Kristus datang semula. “Terang yang sesungguhnya, yang menerangi setiap orang, sedang datang ke dalam dunia” Yoh. 1:9. Dan sekali lagi dalam Yes. 7:14 “Sebab itu Tuhan sendirilah yang akan memberikan kepadamu suatu petanda: Sesungguhnya, seorang perempuan muda mengandung dan akan melahirkan seorang anak lakilaki, dan ia akan menamakan Dia Imanuel.”

Kita menanti dengan jangkaan bahawa ia akan menjadi sesuatu yang indah dan mungkin juga mengejutkan. Kita tahu bahawa Dia pasti akan datang, tetapi apabila Dia datang, bagaimana kita akan bertemu denganNya?

Kita mungkin bertembung dengan kehadiran Kristus dalam orang miskin, dalam orang yang terlantar, dalam mangsa bencana, dalam orang sakit, dalam orang yang hina. Sama seperti orang Majus bertemu dengan-Nya – dalam ‘kain lampin … dan dibaringkan di dalam palungan’.

Ada tercatat dalam Mat 2:1-2 “Sesudah Yesus dilahirkan di Betlehem di tanah Yudea pada zaman raja Herodes, datanglah orang-orang majus dari Timur ke Yerusalem dan bertanya-tanya: "Di manakah Dia, raja orang Yahudi yang baru dilahirkan itu? Kami telah melihat bintang-Nya di Timur dan kami datang untuk menyembah Dia.” Walau bagaimanapun, jika kita hanya mencari Dia di tempat yang kita fikir adalah tempat yang betul, kita mungkin terlepas menemukan Dia.

Penantian Adven memerlukan masa dan ruang. Kita tidak menanti secara pasif untuk Tuhan bertindak. Kita perlu memberi ruang untuk tindakan Tuhan menjadi sesuatu yang boleh kita sambut, sesuatu yang boleh kita perhatikan apabila ia berlaku.

Untuk membolehkan perkara ini berlaku, kita perlu bertanya: Adakah kita akan meluangkan masa untuk Anak Kristus pada Adven ini, atau adakah hidup kita terlalu tergesa-gesa dan sibuk dengan persiapan Krismas dan rancangan untuk bercuti memandangkan kita sekarang mempunyai SOP yang lebih longgar dengan pembukaan sempadan negeri dan negara?

Kita perlu menyediakan masa yang tenang dan berkualiti untuk menemui Dia, kerana pada “Malam Senyap, Malam Suci”, Dia datang ke dunia ini. Dia juga akan datang kepada anda dalam "saat senyap dan sunyi".

Sama seperti tidak ada ruang di rumah penginapan untuk Maria, Yusuf dan Yesus kerana terlalu penuh — “Dan ia melahirkan seorang anak laki-laki, anaknya yang sulung, lalu dibungkusnya dengan lampin dan dibaringkannya di dalam palungan, kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah penginapan” Luk. 2:7 — hati kita mungkin tidak terbuka kepadaNya kerana ia dipenuhi dengan kebimbangan yang berkaitan dengan pandemik. Jadi, kita perlu mengosongkan hati kita dan menyediakan ruang khas untuk Dia datang — dan datang terus ke dalamnya.

Penantian Adven adalah penuh harapan. Tidak seperti Maria dan Yusuf, kita mempunyai kepercayaan pengalaman seluruh komuniti Gereja bahawa Yesus telah datang ke dunia, dan telah menemui Kristus yang hidup untuk memberi kita harapan.

Jadi, kita menanti dengan penuh harapan untuk kedatanganNya yang kedua. Kita sama-sama menanti dan tidak bersendirian. Dia akan datang, dan bahkan dalam cara yang lebih besar, apabila kita menantikan kedatangan-Nya dan bertemu denganNya setiap minggu di Misa dalam Ekaristi, menjadikan pengharapan kita dalam kedatanganNya jauh lebih jelas daripada sekadar menghidupkan kembali peristiwa bersejarah Adven.

Santo Paulus menulis tentang pengharapan dan penantian kedatangan Kristus dalam surat-suratnya “Sebab kita diselamatkan dalam pengharapan. Tetapi pengharapan yang dilihat, bukan pengharapan lagi; sebab bagaimana orang masih mengharapkan apa yang dilihatnya? Tetapi jika kita mengharapkan apa yang tidak kita lihat, kita menantikannya dengan tekun” (Rom. 8:24-25).

Kata-kata ini mungkin lebih sesuai untuk kita hari ini kerana Adven mengingatkan kita bahawa harapan kita adalah kepada Yesus Kristus, dan jika ya, ia tidak sia-sia, sama ada di dalam atau di luar pandemik.

Apakah jenis penantian Adven kita? Jika kita melihat penantian sebagai jemputan rohani akan kerinduan dan pengharapan: “Datanglah Tuhan Yesus”, kita akan menjadi sebahagian daripada mereka yang telah menanti Kedatangan Kedua, sama seperti yang dilakukan oleh Maria dan Yusuf, dan orang-orang kudus.

Kita akan menjadi umat Adven, orang yang menanti dengan Harapan, orang yang bukan sahaja menumpukan perhatian kepada di sini dan sekarang tetapi yang menantikan penggenapan janji Kerajaan yang akan datang. Seperti yang dikatakan oleh Nabi Yeremia " Lalu firman Tuhan kepadaku: "Baik penglihatanmu, sebab Aku siap sedia untuk melaksanakan firman-Ku” Yer. 1:12

Total Comments:0

Name
Email
Comments