Dataran Sto Pio dikunjungi penziarah harapan empat penjuru

Ziarah Pengharapan empat penjuru yang melibatkan paroki Limbahau dan Papar telah dijalankan pada Disember 14, 2024.

Dec 14, 2024

Para penziarah dari ‘penjuru’ St Joseph, Papar, menaiki bot menuju Dataran Sto Pio, Kinuta sempena program Pre-Ziarah Pengharapan pada November 30, 2024


KINUTA, Papar: Ziarah Pengharapan empat penjuru yang melibatkan paroki Limbahau dan Papar telah dijalankan pada Disember 14, 2024.

Sebelum itu, para penziarah terlebih dahulu menyertai Praziarah Pengharapan pada November 30, 2024 yang disertai lebih 300 umat.

Tujuan Praziarah itu adalah sebagai latihan dan persiapan menghadapi Ziarah Empat Penjuru pada Disember 14, 2024 dan sebagai persediaan untuk menjalani Tahun Jubli Harapan 2025.

Perjalanan empat penjuru ini bermula dari empat lokasi berbeza iaitu Gereja kecil St Sabina, Kg Titimboungon, Gereja St Damian Kg Dambai, Gereja Holy Rosary Limbahau dan Gereja St Joseph, Papar.

Semua perjalanan ini berakhir di Dataran Sto Pio yang terletak di perkarangan Gereja St Patrick, Kinuta.

Bagi penziarah dari Gereja St Joseph, mereka menaiki bot menuju ke Dataran Sto Pio manakala penziarah yang berhimpun di tiga ‘penjuru’ berjalan kaki menuju Dataran Sto Pio.

Setelah tiba di Dataran Sto Pio, para penziarah merayakan Misa Kudus yang dipimpin oleh Msgr Nicholas bersama Fr Joshua Liew. Shrine Sto Pio telah diberkati oleh Msgr Nicholas pada bulan Ogos 4, 2024 lalu.

Msgr Nicholas Stephen, semasa menyampaikan homilinya berkongsi akan pengalamannya semasa menyertai perjalanan ziarah dengan menaiki bot.

Katanya, begitu banyak tempat yang indah, tetapi St Patrick Kinuta telah dipilih oleh para misionari awal untuk dijadikan Mision Katolik.

St Patrick Kinuta, merupakan antara mision terawal didatangi para misionari untuk menyebarkan Khabar Gembira, lebih 150 tahun yang lalu.

Oleh sebab itu, Msgr Nicholas mengajak para hadirin untuk terus bersyukur dan menjadi penerus misi Kristus untuk menyebarkan Khabar Gembira.

Sebelum mengakhiri homilinya, Msgr Nicholas menyatakan, “Jika anda mengalami pelbagai cabaran dan masalah, ingatlah bahawa Tuhan itu hadir.

Dan pengharapan tidak mengecewakan, kerana kasih Tuhan telah dicurahkan di dalam hati kita dan oleh Roh Kudus ” (Roma 5:5). --Liza Magnus

Total Comments:0

Name
Email
Comments