Dengan Harapan, kita telah diselamatkan

Lebih 2,000 orang penziarah, berjalan kaki dari tiga penjuru dan menaiki bot menuju Dataran Sto Pio yang terletak di perkarangan St Patrick, Kinuta dalam acara Ziarah Pengharapan, para Disember 14, 2024.

Jan 05, 2025


KINUTA:
Lebih 2,000 orang penziarah, berjalan kaki dari tiga penjuru dan menaiki bot menuju Dataran Sto Pio yang terletak di perkarangan St Patrick, Kinuta dalam acara Ziarah Pengharapan, para Disember 14, 2024.

Menurut paderi paroki Holy Rosary Limbahau dan St Joseph Papar, Msgr Nicholas Stephen, Ziarah Pengharapan itu diadakan sebagai persiapan menyambut hari Natal 2024 dan Tahun Jubli 2025 yang bertema, “Penziarah Harapan” seperti yang diwartakan oleh Sri Paus Fransiskus.

Ziarah itu juga mengajak umat untuk menghidupkan semula semangat misionari lebih-lebih lagi St Patrick Kinuta merupakan antara mission Katolik yang terawal di Borneo.

Selepas semua penziarah tiba di Dataran Sto Pio, Misa Kudus diadakan di Dataran Sto Pio yang dipimpin oleh Msgr Nicholas, Fr Joshua Liew dan Fr Lasius Gantis.

Dalam Misa yang jatuh pada Hari Peringatan Sto Yohanes dari Salib, Msgr Nicholas memperkenalkan Sto Yohanes dari Salib, seorang doktor Gereja yang bersama Sta Teresa dari Avila, telah memperbaharui Ordo Karmelit.

Msgr Nicholas juga menyebut Sto Pio, seorang lagi orang kudus terkenal dalam Gereja kerana beliau merupakan Santo yang dikaruniakan stigmata. Sto Pio mengingatkan kita bahawa kita tidak bersendirian dalam menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran kerana Yesus sentiasa hadir.

Dalam homilinya, Msgr Nicholas juga menjelaskan mengenai lambang-lambang dalam Logo Tahun Jubli 2025. Antaranya ialah empat figura yang saling memeluk satu sama lain sebagai tanda perpaduan dan persaudaraan.

Figura pertama berpaut pada Salib di mana pada dasar Salib itu terdapat ombak bergelora. Ini menunjukkan bahawa ziarah kehidupan tidak selalunya tenang tetapi dengan berpaut kepada Salib, ia menjadi sauh kuat yang mengawal pergerakan hidup kita.

Msgr Nicholas juga mengingatkan para penziarah bahawa “Kita adalah penziarah kerana kita telah dipanggil untuk mengasihi Tuhan dan untuk mengasihi satu sama lain”.

Rasul Paulus memberitahu kita bahawa, “dengan harapan kita telah diselamatkan” (Roma 8:24, AVB). Kita adalah penziarah harapan kerana kita terus maju ke hadapan, ke arah masa depan yang lebih baik, komited pada setiap langkah.

Total Comments:0

Name
Email
Comments