Dosa asal, tidak adil?
Dosa asal tidak bererti bahawa seluruh umat manusia telah melakukan dosa yang sama seperti dosa yang dilakukan oleh Adam. Bukan itu yang diajarkan oleh Gereja Katolik.
Aug 02, 2024
Beberapa kritikus berpendapat bahawa hukuman ke atas dosa peribadi, boleh dimengerti, tetapi hukuman terhadap jiwa-jiwa yang meninggal dengan dosa asal, tidak melakukan kesalahan apa pun, tidak dapat diterima. Bukankah ini tidak adil dan bertentangan dengan Yehezkiel 18:20-21?
Orang yang berbuat dosa, dialah yang harus mati. Anak tidak akan ikut menanggung kesalahan ayahnya dan ayah tidak akan ikut menanggung kesalahan anaknya. Orang benar akan menerima buah kebenarannya, dan orang jahat akan menanggung akibat kejahatannya. Tetapi, apabila orang jahat bertobat dari segala dosa yang dilakukannya dan berpegang pada segala ketetapan-Ku serta melakukan keadilan dan kebenaran, maka dia pasti hidup, dia tidak akan mati ( Yehezkiel 18:20-21).
Persoalan ini sebenarnya timbul akibat salah faham tentang doktrin dosa asal.
Dosa asal tidak bererti bahawa seluruh umat manusia telah melakukan dosa yang sama seperti dosa yang dilakukan oleh Adam. Bukan itu yang diajarkan oleh Gereja Katolik.
Dalam ilham Roh Kudus, nabi Yehezkiel menjelaskan bahawa seorang anak tidak dapat dikatakan bersalah atas dosa yang dilakukan oleh ayahnya sendiri. Bahkan, tidak ada orang yang dituduh bersalah atas dosa yang tidak dilakukannya sendiri. Dalam hal Adam, satu-satunya orang yang bersalah atas dosa Adam adalah Adam sendiri.
Dogma Katolik tentang dosa asal tidak mengajarkan atau menyifatkan bahawa seseorang itu bersalah atas dosa ibu bapanya.
Katekismus Gereja Katolik (KGK) 404 menjelaskan bagaimanakah dosa Adam menjadi dosa semua keturunannya: Tuhan telah menentukan bahawa di dalam Adam, seluruh umat manusia adalah “sebagai satu tubuh dari satu manusia”. Me-lalui “kesatuan umat manusia” ini, semua manusia terlibat dalam dosa Adam, sebagaimana semua terlibat dalam keadilan Kristus.
Namun, penularan dosa asal adalah misteri yang tidak dapat kita fahami sepenuhnya. Tetapi kita tahu melalui kitab Wahyu, Adam telah menerima kekudusan dan keadilan asal bukan untuk dirinya sahaja, tetapi untuk semua sifat manusia.
Tuhan mengkehendaki Adam menjadi ketua umat manusia namun gagal. Maka kegagalannya untuk taat pada Tuhan membawa pengaruh kepada semua keturunannya. Oleh sebab itu, dosa asal Adam adalah dosa yang diterima semua manusia sebagai suatu keadaan dan bukan sebagai perbuatan (Katekismus Gereja Katolik 404).
Akibat dosa Adam dan Hawa, seluruh umat manusia, termasuk kita, kehilangan kekudusan dan keadilan. Kita kehilangan rahmat pengudusan dan rahmat khusus.
Dengan kehilangan rahmat pengudusan ketika kita lahir, kita mewarisi hukuman atas dosa asal, yang tidak akan terjadi seandainya Adam tidak jatuh ke dalam dosa.
Dosa asal, walaupun tidak secara total merosakkan sifat semulajadi manusia, tetapi melukai sifat semulajadi manusia yang dicipta menurut gambar Tuhan.
Istilah “hukuman” dalam dokumen-dokumen Gereja seperti Nequaquam sine dolore oleh Sri Paus Yohanes XXII dan Laetentur Caeli oleh Sri Paus Urban IV juga telah mengelirukan bagi sebahagian orang.
Namun, yang dimaksud oleh Gereja dengan “hukuman” adalah fakta bahawa ada pelbagai bentuk penderitaan dan kelemahan yang menimpa kehidupan anak-anak manusia yang tidak melakukan dosa. “Hukuman” yang dimaksudkan ialah akibat dosa atau kesalahan orang tua mereka.
Namun, bukan bererti bahawa anak itu bersalah atas dosa-dosa ibu bapanya tetapi anak-anak sering terkena atau mendapat kesan dosa akibat kesalahan ibu bapanya. Contohnya, penggunaan kokain atau merokok oleh ibu hamil boleh memberi kesan buruk terhadap bayinya.
Dalam hal ini, bayi itu jelas tidak bersalah tetapi mereka telah terkena kesan dosa atau kesalahan ibu bapanya.
Apakah semua orang bersalah kerana dosa Adam? Tidak. Tetapi apakah semua manusia menderita akibat dosa Adam? Ya, sudah tentu!
Oleh sebab itu, Tuhan Yesus telah mewujudkan Sakramen Pembaptisan untuk mengembalikan manusia kepada keadaan rahmat, yang telah hilang akibat dosa asal tersebut. — Katolisitas, Catholic.com
Total Comments:0