Dua jenis kejahilan
Hipokrasi yang halus! Betapa mudahnya kita tidak menyedari ketidakkonsistenan kita sen-diri, tetapi kita begitu jelas melihat kesalahan orang lain.
Sep 22, 2023
Hipokrasi yang halus! Betapa mudahnya kita tidak menyedari ketidakkonsistenan kita sen-diri, tetapi kita begitu jelas melihat kesalahan orang lain.
Adakah kita sengaja buta, atau adakah kita hanya tidak melihat? Adakah ini masalah moral atau visual? Cuba renungkan contoh berikut:
Dalam pengembaraannya, penjelajah abad kelapan belas, Kapten James Cook, pernah menghabiskan beberapa tahun di Kepulauan Polinesia.
Dia belajar bahasa ibunda dan berkawan dengan ramai orang. Suatu hari, mereka membawanya untuk menyaksikan pengorbanan manusia.
Puak itu masih mengamalkan animisme tertentu dan kadangkala mempersembahkan seseorang sebagai korban kepada tuhan mereka. Cook, seorang lelaki Inggeris yang canggih, dikatakan amat terkejut.
Dia menulis dalam diarinya yang menyatakan kemarahannya kepada ketua, dan menulis: Ini sangat mengerikan! Anda adalah orang primitif. Di England kami akan menggantung kamu kerana kesalahan ini!
Ironi reaksi Cook ini tidak terlepas dari pandangan ahli-ahli pengkali sains kemanusiaan.
Apabila kita membunuh se-seorang atas nama Tuhan, tidak kira sama ada kita memanggilnya pengorbanan manusia atau hukuman mati ia melibatkan tindakan mengorbankan nyawa manusia dan membenarkannya atas nama Tuhan.
Contoh kedua pula diambil da-ripada tulisan Bill Plotkin yang pernah menghabiskan masa mengkaji pelbagai upacara inisiasi yang diamalkan oleh puak pra-moden.
Upacara inisiasi ini merayakan permulaan hidup anak lelaki dan perempuan muda memasuki usia baligh.
Seperti yang kita tahu, akil baligh boleh menjadi masa yang berbahaya bagi seorang remaja.
Akil baligh melanda orang muda dengan keganasan tertentu, yang menyebabkan tubuh dan jiwa orang muda sentiasa ‘panas’.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa kuasa ‘panas’ yang mengganggu anak-anak muda ini telah direka oleh Tuhan dan alam semula jadi yang jelas bermatlamat ‘menghalau’ atau menyiapkan anak-anak muda itu untuk keluar dari rumah keluarga mereka, untuk mendorong mereka mencari rumah untuk diri mereka sendiri, dan untuk menamatkan zaman kanak-kanak sehingga memasuki alam dewasa. Maklumlah, tenaga yang kuat diperlukan untuk mencapainya.
Tetapi tenaga-tenaga ini sukar dibendung dan sukar berjalan ke laluan kedewasaan dengan baik.
Hampir semua budaya pra-moden mempunyai upacara inisiasi untuk membantu anak-anak muda berjalan ke arah proses kedewasaan.
Hari ini kebanyakan budaya (tidak kurangnya budaya kita sendiri) kurang menghormati atau mengadakan upacara inisiasi ini.
Menurut Plotkin, kajiannya mendapati upacara inisiasi pra-moden melibatkan tuntutan semua keluarga dan masyarakat, dari segi fizikal, dan emosi, terhadap anak muda yang memasuki alam keremajaan sehingga kadangkala seorang belia yang menjalaninya ‘mati’ semasa proses itu.
Melihat perkara ini, Plotkin mengulas bahawa sensitiviti moden kita tersinggung dengan upacara yang dilihat kejam dan primitif ini.
Secara moral, kita marah dan melihat amalan ini sebagai mundur dan kuno.
Walau bagaimanapun, Plotkin menegaskan, puak-puak ini sebenarnya jarang kehilangan orang muda dalam proses akil baligh hingga dewasa — manakala kita, yang berbudaya moden yang canggih, kehilangan beribu-ribu orang muda setiap tahun, yang sedang dalam proses menuju kedewasaan, kecundang akibat dadah, alkohol, seks, kereta, kumpulan samseng dan tingkah laku berisiko.
Ya, seperti yang pernah Yesus katakan, adalah mudah untuk melihat kotoran di mata orang lain walaupun kita tidak menyedari di mata kita juga terdapat kotoran yang besar. Sekarang saya menyatakan semua ini dengan nada lebih bersimpati bukan menghakimi kerana hipokrasi terdapat pelbagai jenis.
Ada hipokrasi di mana buta itu disengajakan, dan ada hipokrasi di mana buta itu lebih kepada kepolosan atau jahil.
Thomas Aquinas pernah membezakan antara dua jenis kejahilan. Bagi Aquinas, ada kejahilan sengaja dan ada kejahilan tidak sengaja, iaitu, kadang-kadang kita ‘tidak melihat kerana kita sengaja tidak mahu melihat’, dan kadang-kadang kita ‘tidak melihat kerana kita gagal memahami’.
Kita lebih mengenal kejahilan sengaja di mana kita enggan melihat sesuatu kerana kita tidak mahu melihat kebenaran.
Ketidakupayaan kita untuk melihat adalah berdasarkan rasionalisasi dan ketakutan, keengganan sengaja ini menyebabkan kita kurang memahami apa yang kita lihat lebih-lebih lagi, dalam hal kebenaran yang kurang menyenangkan, maka kita sengaja tidak mahu ‘melihat’ atau mengerti.
Dalam kejahilan yang disengajakan, kita tidak melihat persamaan antara pengorbanan manusia dan hukuman mati kerana mungkin kita secara emosi menyangka animisme lebih kejam daripada hukuman mati, padahal kedua-duanya juga melibatkan perbuatan kejam meragut nyawa manusia.
Dalam kejahilan bukan sengaja (bukan tindakan sukarela) ia berlaku contohnya kurangnya pengetahuan undang-undang, fakta kes, sejarah dan sebagainya.
Kekurangan kita ini ada kaitan dengan batas kemanusiaan kita, latar belakang dan pengalaman kita. Kita tidak takut melihat realiti. Kita melihat, tetapi kita tidak memahami.
Seperti Kapten Cook, meskipun tulus dan ikhlas tetapi dia dan kita, tidak melihat persamaan antara pengorbanan manusia dan hukuman mati iaitu melibatkan perbuatan membunuh manusia, dan, seperti kata Bill Plotkin, kita dengan mudah menilai upacara inisiasi pra-moden sebagai kejam dan mengerikan, sedangkan beribu-ribu anak kita sendiri mati secara ngeri yang tidak masuk akal dalam usaha mereka mencari laluan kehidupan dari akil baligh ke alam dewasa.
Kita semua, liberal atau konservatif, mempunyai titik buta dari segi cara kita melihat dan menilai pelbagai isu keadilan sosial, sama ada perubahan iklim, kemiskinan, pengguguran bayi, imigresen, pelarian, perkauman, kesaksamaan wanita atau isu jantina. Berhadapan isu-isu kompleks ini, adakah kita sanggup melihatnya secara langsung, atau adakah kita tidak mahu melihatnya kerana kita sudah memahami apa yang mungkin kita lihat?
Adakah kebutaan kita, kemunafikan kita, sengaja atau tidak sengaja? — Hakcipta Terpelihara 1999-2023 @ Fr Ron Rolhaiser
Total Comments:0