Dua pemuda Katolik, bakal Santo untuk Jubli 2025
Sri Paus Fransiskus membuat pengumuman mengejutkan pada November 20, bahawa Beato Carlo Acutis dan Beato Pier Giorgio Frassati, dua orang muda Katolik yang dikasihi kerana iman mereka yang menyerlah dan kekudusan mereka, akan dikanonisasi semasa dua perayaan jubli utama yang didedikasikan untuk golongan muda.
Dec 01, 2024
TAKHTA SUCI: Sri Paus Fransiskus membuat pengumuman mengejutkan pada November 20, bahawa Beato Carlo Acutis dan Beato Pier Giorgio Frassati, dua orang muda Katolik yang dikasihi kerana iman mereka yang menyerlah dan kekudusan mereka, akan dikanonisasi semasa dua perayaan jubli utama yang didedikasikan untuk golongan muda.
Pengumuman menggembirakan itu dibuat pada akhir audiensi umum mingguan Sri Paus, di Dataran Sto Petrus, yang juga jatuh pada Hari Kanak-Kanak Sedunia.
Jurucakap Vatikan, Matteo Bruni kemudiannya mengesahkan bahawa kanonisasi Carlo Acutis akan berlaku semasa Jubli Remaja Gereja yang berlangsung pada April 25–27, 2025, dan kanonisasi Pier Giogio Frassati akan berlangsung semasa Jubli Belia dari Julai 28 - Ogos 3, 2025.
Menurut Keuskupan Assisi, Misa kanonisasi Carlo Acutis dijangka berlangsung pada hari Ahad, April 27, jam 10.30 pagi waktu tempatan di Dataran Sto Peter. Kedua-dua bakal orang kudus itu sesungguhnya sangat dikasihi oleh ramai orang muda Katolik yang bersemangat mahu meneladani kekudusan mereka.
Kedua-dua kanonisasi itu juga dijangka membawa ramai orang muda ke Kota Abadi pada tahun 2025 untuk Jubli Harapan Gereja Katolik.
Carlo Acutis: orang kudus milenium pertama
Carlo Acutis, seorang remaja pengekod komputer Itali yang meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2006, terkenal dengan pengabdian mendalamnya terhadap kehadiran sebenar Yesus dalam Ekaristi.
Dilahirkan pada tahun 1991, Carlo merupakan santo milenium pertama yang dibeatifikasi dalam Gereja Katolik. Tidak lama selepas Komuni pertamanya pada usia tujuh tahun, Carlo memberitahu ibunya: “Inilah rancangan hidup saya iaitu untuk sentiasa bersatu dengan Yesus.”
Untuk mencapai matlamat ini, Carlo berusaha untuk menghadiri Misa harian seberapa kerap yang boleh di Gereja yang terletak di seberang jalan dari sekolah rendahnya di Milan. Carlo mengatakan Ekaristi adalah “laluan ke syurga” dan dia melakukan semua yang terdaya agar ramai orang tahu kehadiran Yesus dalam Ekaristi.
Kesaksian Carlo memberi inspirasi kepada ibu bapanya sendiri untuk kembali mengamalkan iman Katolik dan dibaptis. Carlo Acutis ialah seorang kanak-kanak yang mahir teknologi, menyukai komputer, haiwan dan permainan video. Penasihat rohani Carlo mengatakan bahawa Carlo percaya bukti mukjizat Ekaristi terjadi apabila kita membantu orang ramai menyedari bahawa Yesus hadir pada setiap Misa.
Sepanjang dua tahun setengah, Carlo dengan keluarganya merancang sebuah pameran tentang keajaiban Ekaristi yang diadakan pada tahun 2005 semasa Tahun Ekaristi yang diisytiharkan oleh Sri Paus Yohanes Paulus II.
Pameran mukjizat Ekaristi itu telah dipamerkan di ribuan paroki, di lima benua. Ramai rakan sekelas, sabahat dan ahli keluarga Carlo telah memberi kesaksian bagaimana dia membawa mereka lebih dekat kepada Tuhan.
Carlo, seorang yang sangat terbuka dan tidak segan bercakap dengan rakan sekelasnya dan sesiapa sahaja yang dia temui tentang perkara yang dia suka iaitu Misa, kehadiran Yesus dalam Ekaristi, dan syurga.
Dia diingati kerana berkata: “Orang yang menempatkan dirinya di bawah matahari mendapat kulit sawo matang; orang yang menempatkan diri mereka di hadapan Ekaristi, menjadi orang kudus.”
Carlo meninggal dunia pada usia 15 tahun pada 2006, sejurus selepas disahkan menghidap leukemia. Sebelum meninggal dunia, Carlo memberitahu ibunya, “Saya mempersembahkan semua penderitaan saya kepada Tuhan untuk Sri Paus dan untuk Gereja agar tidak ke api penyucian tetapi terus ke syurga.”
Beribu-ribu orang melawat makam Carlo Acutis di Assisi selepas beatifikasinya di Basilika St Francis of Assisi pada Oktober 10, 2020. Sejak beatifikasinya, banyak sekolah Katolik dari pedalaman Australia hinggalah ke England telah mengambil nama Carlo Acutis. Bapa Suci Fransiskus, dalam pesannya untuk Hari Belia Seduia, menggalakkan orang muda untuk meniru Carlo Acutis dalam menghayati “anugerah besar Ekaristi”.
Pier Giorgio Frassati: Beato lapan sabda bahagia
Pier Giorgio Frassati , meninggal dunia pada usia 24 tahun pada tahun 1925, juga disayangi oleh ramai orang dewasa ini kerana kesaksiannya yang mengagumkan.
Berasal dari Turin, Itali, Pier merupakan seorang pendaki gunung dan menyertai Ordo Ketiga Dominican yang terkenal dengan usaha amalnya.
Dilahirkan pada Sabtu Suci, April 6, 1901, Pier adalah anak kepada pengasas dan pengarah akhbar Itali, La Stampa. Pada usia 17 tahun, beliau menyertai Persatuan St Vincent de Paul dan mendedikasikan banyak masa lapangnya untuk melayani golongan miskin, gelandangan dan orang sakit serta anggota tentera yang bersara dari Perang Dunia I.
Pier juga terlibat dalam Kerasulan Doa dan Tindakan Katolik. Dia mendapat kebenaran untuk menerima Komuni setiap hari. Pada gambar pendakian terakhirnya, Pier menulis frasa “Verso L'Alto” yang secara harfiah bermaksud “menuju ke puncak”.
Frasa tersebut telah menjadi moto bagi umat Katolik yang diilhamkan oleh Frassati untuk berusaha mencapai puncak kehidupan kekal bersama Kristus. Pier meninggal dunia akibat polio pada Julai 4, 1925. Kemungkinan besar, beliau terkena polio semasa melayani orang sakit.
Yohanes Paulus II, semasa membeatifikasikan Pier pada tahun 1990, menggelarnya sebagai “pemuda lapan ucapan bahagia” dan “pemuda yang sangat kagum dengan misteri Tuhan serta benar-benar berdedikasi dalam melayani sesama.”
Vatikan masih belum mengumumkan pengiktirafan keajaiban kedua yang dikaitkan dengan Pier, yang membolehkan kanonisasinya. Pengesahan keajaiban dari Vatikan, bersamasama dengan pengumuman tarikh Misa kanonisasi Pier Frassati, dijangka akan diumumkan kelak. --CNA
Total Comments:0