Ekaristi jalan pertama bertemu dengan Kristus
Tuhan memberinya roti dan air agar Elia terus kuat meneruskan pelaksanaan perutusannya.
Aug 10, 2024
HARI MINGGU
BIASA KE-19
TAHUN B
1 RAJA 19:4-8
EFESUS 4:30-5:2
INJIL YOHANES 6:41-52
Elia ialah seorang nabi yang melawan nabi-nabi palsu yang menyembah berhala.
Usahanya kerap tidak berhasil. Dia hampir putus asa dan ingin mati lalu berseru: “Cukuplah sudah! Sekarang, ya Tuhan, ambillah nyawaku, sebab aku ini tidak lebih baik daripada nenek moyangku”.
Elia menghadapi kesukaran hidup di padang gurun. Tetapi ternyata Tuhan yang mengutusnya juga menolongnya.
Tuhan memberinya roti dan air agar Elia terus kuat meneruskan pelaksanaan perutusannya.
Sebab Tuhan tahu, bahawa Elia tidak mencari dirinya sendiri, sebaliknya melaksanakan perintah-Nya. Maka Tuhan melindungi dan menolongnya.
Dengan latar belakang ini ternyata, sama ada Elia atau kita, roti ialah landasan hidup manusia.
Roti ialah pusat kehidupan kita. Roti ialah kehidupan. Dan dalam Injil Yohanes hari ini kita mendengar bahawa Yesus ialah roti hidup, Kristus ialah kehidupan!
Maka makan tubuh dan minum darah Yesus lebih mendalam ertinya daripada sekadar hanya percaya kepada-Nya!
Gambaran Yesus sebagai “Roti Hidup” merupakan intisari makna hidup kita sebagai orang Kristian sejati.
Semasa Yesus berkata “Aku ialah roti hidup” Dia bukan hanya ingin menunjukkan roti itu sendiri, melainkan lebih menunjukkan Diri Peribadi-Nya sendiri.
Yesus mahu mengatakan bahawa kelaparan, yang mahu kita beri makan, ialah kelaparan akan Diri-Nya sendiri.
Diri-Nya sendiri itulah roti yang diberikan-Nya. Yesus bukanlah sekadar roti untuk memenuhi keperluan tubuh. Juga bukan terbatas untuk memenuhi keperluan perasaan.
Yesus ialah roti untuk memenuhi kelaparan akan kebenaran. Sungguh roti untuk memenuhi segenap kelaparan insani kita sebagai manusia.
Bagi kita umat yang telah dibaptis, Ekaristi merupakan jalan pertama untuk bertemu dengan Kristus, sebagai Tuhan kita yang telah bangkit.
Secara simbolik, Yesus mengambil roti iaitu Dia mengambil roti itu dari hidup kita dan disatukan dengan roti dari hidup diri-Nya sendiri.
Roti itu diberkati-Nya. Jadi Yesus memberkati kita dengan hidup-Nya sendiri. Dan baptis merupakan saat pertama dari pemberkatan itu.
Dan sesudah baptis, setiap hubungan kita dengan Yesus Kristus ialah suatu penghayatan dan pendalaman pemberkatan itu lebih lanjut.
Di dalam Misa Kudus, semasa konsekrasi, Yesus memecah-mecahkan roti. Seperti Yesus, di dalam hidup kita masing-masing, ada masanya di mana kita berasa terpukul, berasa jatuh, kecewa, tersingkir, kehilangan kekuatan dan harapan.
Kita juga berasa seperti yang dirasakan oleh Elia, semasa Dia kehilangan harapan, sehingga memohon Tuhan mengambil nyawa kita.
Namun pada saat-saat di dalam hidup yang terpecah-pecah itu, Yesus Tuhan sesungguhnya hadir bersama kita.
Yesus memecah-mecah roti. Dia memecah-mecah diri-Nya. Dia memberi dorongan, keberanian dan cabaran kepada kita sekaligus, Dia memberikan sabda dan roti sebagai bekal dan makanan.
Namun, hal yang terutama ialah Dia memberikan diri-Nya sendiri! Tanpa henti, sepenuhnya selama hidup-Nya, sampai akhirnya di kayu salib Dia berseru: “Sudah selesai!” (Yoh 19:30).
Sama ada dalam hidup, kematian mahupun kebangkitan, Yesus telah memberi teladan dan cabaran kepada kita supaya kita melakukan yang sama.
Ucapan “Pergilah dan lakukanlah yang sama” merupakan cabaran sekaligus perutusan, iaitu suatu perintah untuk melaksanakan kerelaan dan kesanggupan untuk menjadi roti yang dipecah-pecahkan dan diberikan kepada sesama.
Marilah kita berdoa, agar keikutsertaan kita dalam perayaan Ekaristi, roti dan anggur yang kita terima, dapat mengubah kita menjadi apa yang kita makan dan minum itu, iaitu sebagai tubuh dan darah Kristus, dan dengan demikian kita dapat menjadi roti hidup, yang dipecah-pecah dan dibahagikan kepada sesama. — Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm.
Total Comments:0