Enam FSIC sambut jubli

Sejak ditubuhkan oleh Msgr August Wachter pada tahun 1936, umat Katolik di Sabah telah diberkati dan dipengaruhi dengan kehadiran kongregasi tempatan, Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC).

Nov 22, 2024

Merayakan jubli emas. Dari kiri, Sr Felicity Moduying, Sr Leonie Jokinin dan Sr Emily William Tangah.


Liza Magnus

Sejak ditubuhkan oleh Msgr August Wachter pada tahun 1936, umat Katolik di Sabah telah diberkati dan dipengaruhi dengan kehadiran kongregasi tempatan, Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC).

Kini anggota FSIC bukan sahaja melayani untuk Gereja tempatan tetapi juga di tiga keuskupan/agung di Semenanjung.
Baru-baru ini, pada November 9, 2024, hampir seribu umat datang untuk menghadiri perayaan 25 tahun dan perayaan 50 tahun, enam orang religius FSIC di Gereja Holy Rosary, Limbahau.

Sr Emily William Tangah, Sr Felicity Moduying dan Sr Leonie Jokinin menyambut perayaan ke-50 sebagai religius manakala Sr Julianah Bating, Sr Maria Thomas Pusing dan Sr Juliana Jalius ulang tahun religius mereka yang ke-25 tahun.

Perayaan Ekaristi dipimpin oleh Uskup Agung John Wong dan Uskup Cornelius Piong dari Keningau, bersama para paderi dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu serta Keningau. Seorang paderi OFM dari Filipina dan Keuskupan Agung Kuching, turut hadir.

“Pada hari ini juga merupakan Pesta Pemberkatan Basilika St John Lateran yang dikenali sebagai “ibu dan ketua semua Gereja di Kota dan Dunia.” Perayaan ini bukan sekadar memperingati bangunan basilika itu tetapi merayakan kehadiran Tuhan di tengah umat-Nya dan persatuan seluruh Gereja Katolik,” kata Uskup John Wong dalam homilinya.

Uskup Agung John menambah, “Pada hari ini juga, kita menyaksikan berkat Tuhan melalui perayaan 25 tahun dan 50 tahun enam orang religius FSIC. Mereka adalah saksi kehadiran Tuhan, yang mengingatkan kita akan belas kasihan dan cinta kasih Tuhan kita.”

Sr Julianah Bating, mewakili para jubilarian mengucapkan terima kasih kepada semua yang berjalan bersama mereka dalam iman. Katanya, ulang tahun perak dan emas pada hari tersebut bukanlah noktah atau memperlahankan rentak pelayanan mereka sebaliknya menjadi pendorong bagi mereka untuk meneruskan misi kongregasi FSIC, “Memperkenalkan Kristus kepada semua.”

Enam jubilarian berkarya di sekolah kerajaan, swasta
Keenam-enam jubilarian pernah dan bertugas sebagai pendidik. Para Sister FSIC memang terkenal sebagai pendidik di sekolah-sekolah kerajaan. Mereka bukan sahaja mendidik para murid berlainan bangsa dan agama, tetapi tentang moral dan gaya hidup sihat.

Hal ini disebut oleh Pemimpin Umum FSIC, Sr Francisca Wong dalam ucapannya. Secara kebetulan, anda berenam pernah atau masih bergelar pendidik! Kita meraikan komitmen kekal anda, yang menjadi sukacita dan saksi atas panggilan Tuhan yang telah banyak menyentuh kehidupan ramai orang, seperti yang dinyatakan oleh slogan FSIC, “Memperkenalkan Kristus kepada semua orang.”

Tuhan, perisai dan kekuatan enam jubilarian
Dilahirkan di Limbahau Papar, Valilia William Tangah, anak perempuan William Tangah dan Julitah Bustan Khan, menyertai kongregasi FSIC pada tahun 1972, melafazkan kaul pertama pada tahun 1974. Beliau menasihati para wanita muda, “Jangan takut untuk menyahut panggilan Tuhan menjadi religius. Tuhan akan sentiasa menyertai kita hingga akhir hayat kita.”

Dilahirkan di Penampang, Johana Oswin Moduying, anak kepada Oswin Moduying dan Flora Sipulah, menyertai kongregasi FSIC 1972, melafazkan kaul pertama 1974 dan dikenali sebagai Sr Mary Felicity of the Blessed Sacrament.

Mengimbas kembali selama 50 tahun yang lalu, Sr Felicity berkata, “Menyambut Jubli Emas adalah saat yang paling menggembirakan, tetapi apa maknanya “emas” itu? Ia merupakan batu yang dibentuk di dalam relau dan menjadi emas yang berharga di sisi Tuhan. Ini adalah renungan mendalam untuk saya.”

Helen S Jokinin, berasal dari Penampang, merupakan anak kepada pasangan Julse Jokinin dan Loura Lojinggu.
Menyertai kongregasi FSIC pada usia 19 tahun, melafazkan kaul pertamanya pada tahun 1974 dan mengambil nama religius, Sr Leonie.

Beliau menyambut ulang tahun perak sebagai religius pada Disember, 1999. Dalam renungannya, Sr Leonie berkongsi, “Apabila saya melihat ke belakang selama 50 tahun yang lalu, saya tidak dapat berhenti mengagumi kebaikan dan berkat Tuhan. Kasih sayang dan rahmat-Nya yang berterusan menyokong saya selama tahun-tahun dan membolehkan saya memelihara kehidupan religius saya.”

Berasal dari Kg Pamilaan, Tenom, Sr Julianah J Bating, anak kepada Jonas Bating Kilam dan Beatrice@Saitim Ajiloh, menyertai FSIC pada tahun 1996, mengucapkan kaul pertamanya pada tahun 1999 dan kaul kekal pada tahun 2004.

“Saya melihat cinta Tuhan yang agung apabila saya melihat kembali perjalanan religius saya: saya mengalami cinta-Nya yang kukuh, tidak terbatas, tanpa syarat dan tidak terhingga.”

Anak ketujuh dari lapan orang beradik, Sr Maria Thomas Pusing, berasal dari Kg Kalanggan, Bosusung, Kuala Penyu. Anak kepada pasangan Thomas Pusing Engah dan Winnie Ninih Ajau, memasuki konven FSIC pada tahun 1996, mengucapkan kaul pertama pada tahun 1999 dan kaul kekal pada tahun 2000. “Seperti Bonda Maria dan wanita kudus dalam Alkitab, saya mahu terus mewartakan Yesus agar Dia dikenali oleh semua orang.”

Mengenali Yesus pada usia sembilan tahun dan dibaptis ketika berusia 20 tahun, Sr Juliana Julius dari Kg Purak, Papar, menyertai kongregasi FSIC pada tahun 1996. Anak kepada pasangan Jalius Nandu and Maria Santioi Lampayung itu melafazkan kaul pertama pada tahun 2000 dan kaul kekal pada tahun 2004.

“Selama 25 tahun sebagai religius, saya lebih suka melihat ke hadapan dalam hal melayani dan menjadikan Yesus sebagai pusat kepada panggilan saya. Kadang-kadang, ada orang yang bertanya kepada saya, “Tidak pernahkah anda berasa menyesal kerana menjadi religius yang berkaul kemiskinan” Saya menjawab,, “Tidak kerana Dia tidak pernah meninggalkan saya. Kasih-Nya amat dalam sehingga sanggup menderita, wafat dan bangkit semula demi kita semua.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments