Erti kedukaan kita

Kita menjalani kehidupan ini dengan “berkabung dan menangis di lembah air mata.” Ini adalah sebahagian daripada doa yang ibu bapa saya doakan setiap hari seperti yang dilakukan oleh ramai orang lain dalam generasi mereka.

Jul 20, 2024


Kita menjalani kehidupan ini dengan “berkabung dan menangis di lembah air mata.” Ini adalah sebahagian daripada doa yang ibu bapa saya doakan setiap hari seperti yang dilakukan oleh ramai orang lain dalam generasi mereka.

Berdasarkan sensitiviti kontemporari (dan kerohanian berat sebelah), ini mungkin kedengaran tidak baik.

Adakah kita perlu menerima kehidupan kita sebagai masa berduka dan tidak akan mendapat kebahagiaan? Betulkah ini yang dikehendaki oleh Tuhan daripada kita?

Mengambil perkataan ini dan memahaminya secara harfiah, boleh menjadikan kita gerun. Namun, Tuhan tidak meletakkan kita ke dunia ini untuk menderita demi masuk syurga. Tidak!

Tuhan adalah ibu bapa yang baik. Ibu bapa yang baik membawa anak-anak ke dunia ini dengan tujuan agar mereka berkembang dan mencari kebahagiaan.

Tetapi mengapa iman Kristian kita meminta kita untuk memahami diri kita sebagai berkabung dan menangis di lembah air mata?

Bagi ibu bapa saya, frasa itu membawa penghiburan tertentu, iaitu, kehidupan mereka tidak sempurna.

Doa itu memberi mereka “izin rohani” untuk menerima bahawa dalam hidup akan ada kekecewaan, penderitaan, kemiskinan, penyakit, kehilangan, impian yang kecewa, sakit hati, salah faham dan kematian.

Mereka tidak pernah terlalu menjangkakan atau mengharapkan dan memahami bahawa adalah mengalami kesakitan dan kekecewaan adalah perkara biasa.

Secara paradoks, dengan menerima kenyataan ini, mereka dapat memberi izin kepada diri mereka sendiri untuk menikmati detik-detik indah dalam hidup tanpa rasa bersalah.

Namun, apa yang merisaukan saya ialah kita tidak melengkapkan diri kita mahupun generasi akan datang dengan sarana atau bantuan yang diperlukan bagi menghadapi kekecewaan, putus asa dan patah hati tanpa kehilangan iman (dan kadang-kadang juga dalam jiwa dan nyawa).

Hari ini, sebahagian besar jangkaan biasa kita adalah bahawa kita tidak sepatutnya mendapati diri kita berkabung dan menangis, sebaliknya kehidupan harus menyampaikan simfoni penuh.

Kita tidak lagi merasakan bahawa kita perlu izin rohani untuk menangis.

Kerohanian yang kita hirup hari ini daripada Gereja, ahli teologi, dan penulis rohani, mempunyai banyak kelebihan.

Walau bagaimanapun, pada fikiran saya, sebahagian besar kerohanian hari ini tidak meninggalkan ruang yang mencukupi untuk berduka dan menyebabkan ramai orang di dunia sekular mengalami kekosongan.

Kita tidak menyediakan ruang yang cukup untuk kesedihan, sama ada di Gereja kita atau dalam kehidupan kita.

Kita juga tidak memberi orang bantuan atau sarana yang mereka perlukan dalam menangani kekecewaan, kehilangan dan kesedihan, mahupun cara berduka apabila ditimpa musibah.

Selain upacara pengebumian, kita sebenarnya menyediakan sedikit ruang untuk kesedihan. Lebih teruk lagi, kita cenderung untuk memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam hidup kita jika kita bersedih. Apakah nilai dan manfaatnya bersedih?

Pertama, seperti yang dijelaskan secara puitis oleh Karl Rahner, ia adalah satu cara untuk menerima bahawa dalam penderitaan akibat keterbatasan segala yang boleh dicapai, kita akhirnya belajar bahawa dalam kehidupan ini tidak ada simfoni yang selesai.

Rachel Naomi Remen menulis bahawa berkabung adalah cara kritikal untuk menjaga diri. Untuk tidak bersedih, katanya, adalah penafian akan diri sendiri.

Seseorang boleh merasa lesu kerana mereka tidak bersedih. Novelis Inggeris, Anita Brookner mengulangi kata-kata ini dalam beberapa bukunya.

Mengulas mengenai perkahwinan, Anita menyatakan bahawa tugas pertama dalam perkahwinan adalah: pasangan itu perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak selama-lamanya bahagia, pasti ada masa berduka dan berkabung.

Ibu bapa saya tidak membaca karya Karl Rahner, Rachel Naomi Remen atau Anita Brookner, tetapi dalam doa harian mereka, mereka mengingatkan diri mereka bahawa dalam kehidupan ini tiada simfoni yang selesai, bahawa kesedihan adalah penjagaan diri yang sihat, dan menerima air mata dan kesedihan akan membuat mereka memahami bahawa hanya Tuhan yang boleh menyediakan segala-galanya.

Apa yang perlu kita sedihkan?

Keadaan manusia kita dan segala yang datang bersamanya, iaitu, ketidak kekalan, kehilangan masa muda kita, kehilangan keremajaan kita, luka, pengkhianatan, mimpi kecewa, patah hati, kehilangan orang yang disayangi, kematian bulan madu kita, tempat dan institusi kita mulai hilang, ketidakupayaan kita untuk tidak mengecewakan orang lain, kehilangan kesihatan kita dan akhirnya kematian kita, itulah yang perlu kita sedihkan.

Dan bagaimana kita bersedih? Yesus memberikan kita contoh iaitu semasa Dia berduka di taman Getsemani.

Seperti yang diceritakan dalam Injil, Dia “berpeluh darah” semasa menghadapi kematiannya sendiri yang semakin hampir.

Dia berdoa, berdoa secara terbuka dan jujur menyatakan penderitaannya, yang tahu bahawa Dia akan ditinggalkan dalam penderitaan ini, yang mengakui ketidakberdayaan-Nya sendiri untuk melakukan apa sahaja bagi mengubah keadaan, Dia berulang kali memohon kepada Tuhan untuk mengubah keadaan, tetapi tetap minum cawan penderitaan dan menyatakan kepercayaan kepada Tuhan walaupun dalam kedukaan yang amat dalam. Itulah cara Yesus menangis.

Jika Yesus menangis, kita juga harus menangis. Murid seharusnya merendahkan hati di hadapan Guru. Selain itu, kita boleh belajar daripada Yesus bahawa berkabung dan menangis dalam hidup kita tidak semestinya bermakna ada sesuatu yang tidak kena. Ini mungkin bermakna bahawa ada rahmat selepas tempoh “perkabungan” itu.

Adakalanya, kita mendapat izin kudus untuk mengalami penderitaan rohani. — Hakcipta Terpelihara 1999-2024 @ Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments