Formula Alkitabiah untuk memaafkan

Tiada yang sepenting memaafkan. Ia adalah kunci kebahagiaan dan keperluan rohani yang paling penting dalam hidup kita.

Sep 16, 2022

Tiada yang sepenting memaafkan. Ia adalah kunci kebahagiaan dan keperluan rohani yang paling penting dalam hidup kita.

Kita perlu memaafkan, berdamai dengan kelukaan dan ketidakadilan yang kita alami agar tidak mati dalam keadaan marah dan pahit.

Sebelum kita mati, kita perlu memaafkan — orang lain, diri kita sendiri, dan Tuhan, atas apa yang berlaku kepada kita dalam hidup ini.

Tetapi, itu tidak mudah dilakukan; memang kadang-kadang tidak dapat dilaksanakan.

Ini perlu dibicarakan dengan mendalam kerana hari ini terdapat banyak kesusasteraan di sekeliling kita yang bertujuan baik, di setiap lingkaran, yang memberikan gambaran bahawa pengampunan hanyalah persoalan kerelaan memaafkan dan meneruskan kehidupan. Biarkan ia pergi dan terus hidup!

Ia tidak berfungsi seperti itu, seperti yang kita semua tahu. Luka pada jiwa memerlukan masa, tempoh yang lama, untuk sembuh, dan prosesnya sangat perlahan, sesuatu yang tidak boleh dicepatkan.

Sesungguhnya, trauma akibat luka emosi sering menjejaskan kesihatan fizikal kita. Penyembuhan memerlukan masa.

Dalam menelusuri persoalan penyembuhan dan pengampunan, kita boleh mendapatkan pandangan berharga yang telah lama terabai daripada kerohanian Yahudi dan Kristian mengenai hari Sabat.

Mengekalkan Sabat bukan sekadar menghormati hari tertentu dalam seminggu; ia sebenarnya satu formula untuk pengampunan. Caranya berfungsi begini:

Teologi dan kerohanian Sabat mengajar kita bahawa Tuhan menciptakan dunia dalam enam hari dan kemudian berehat pada hari ketujuh, hari Sabat.

Malah, bukan sahaja Tuhan berehat pada hari Sabat, Tuhan secara kekal mengisytiharkan ini sebagai hari rehat untuk semua orang, dan dengan itu Tuhan menetapkan irama tertentu untuk hidup kita. Irama itu sepatutnya berfungsi dengan cara berikut:

--Kita bekerja selama enam hari, kemudian berehat selama satu hari.

--Kita bekerja selama tujuh kali tujuh tahun, empat puluh sembilan tahun, kemudian mempunyai jubli di mana dunia merayakan sabatikal.

-- Kita bekerja selama tujuh tahun, kemudian berehat selama satu tahun (sabatikal). Sekarang, irama itu juga memberi erti sebagai irama bagaimana kita bergerak ke arah pengampunan:

-- Kita boleh menyimpan dendam kecil selama tujuh hari, tetapi kemudian kita perlu melepaskan dendamnya.

-- Kita boleh menyimpan dendam besar selama tujuh tahun, tetapi kemudian kita perlu melepaskannya. (“had statut” adalah berdasarkan ini.)

-- Kita boleh menahan luka yang menyayat jiwa selama empat puluh sembilan tahun, tetapi kemudian kita perlu melepaskannya.

-- Kita boleh menahan luka besar yang menghancurkan jiwa sehingga kematian kita, tetapi kemudian kita perlu melepaskannya.

Ini menyerlahkan sesuatu yang terlalu kerap ‘hilang’ di kalangan terapeutik dan rohani hari ini, iaitu, kita memerlukan masa untuk da- pat memaafkan, dan tempoh masa yang diperlukan adalah bergantung kepada kedalaman kelukaan. Oleh itu, sebagai contoh:

-- Apabila kita dihina oleh rakan sekerja semasa mesyuarat, kita memerlukan sedikit masa untuk merajuk tentang ketidakadilan itu, tetapi biasanya dalam beberapa hari kita boleh mengenepikan perasaan rajuk itu dan melupakannya.

-- Apabila kita diberhentikan kerja dengan dingin oleh majikan yang tidak adil, tujuh hari atau tujuh minggu selalunya tidak cukup bagi kita untuk memaafkan, apatah lagi melupakan kelukaan. Tujuh tahun adalah jangka masa yang lebih realistik. (Perhatikan bahawa ‘statut batasan’ berbanding dengan pandangan alkitabiah ini.)

-- Ada trauma yang kita alami menyebabkan luka amat dalam pada diri kita, yang mungkin disebabkan oleh majikan yang tidak adil, yang melayan kita secara tidak adil.

-- Terdapat luka yang kita alami akibat penderaan, diabaikan, dan ketidakadilan bertahun-tahun yang memerlukan lebih daripada tujuh tahun untuk diproses. Ia mungkin mengambil masa empat puluh sembilan tahun, setengah abad, untuk berdamai dengan kenyataan bahawa kita dibuli semasa kanak-kanak atau didera secara emosi atau seksual pada masa muda kita.

-- Terdapat luka yang begitu dalam dan traumatik yang hanya dapat dilepaskan semasa kita di ambang maut, di mana kita dapat berdamai dengan fakta bahawa ia telah menimpa kita, membenarkan ia pergi, memaafkan individu tersebut atau pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atasnya.

-- Akhir sekali, mungkin terdapat luka yang terlalu dalam, terlalu lemah, dan terlalu menyakitkan untuk diproses dalam hidup ini. Bagi semua ini, syukur kita mendapat rangkulan penyembuhan yang penuh belas kasihan Tuhan selepas kematian.

Keupayaan untuk memaafkan lebih bergantung pada rahmat daripada kemahuan.

Pepatah mengatakan, melakukan kesilapan ia adalah manusiawi, tetapi memaafkan adalah ilahi. Slogan kecil ini mengandungi kebenaran yang mendalam.

Apa yang menjadikan pengampunan begitu sukar, kadang-kadang mustahil, bukan disebabkan kerana ego kita yang cedera dan terluka.

Sebaliknya, kesukaran sebenar mengampuni ialah luka pada jiwa berfungsi sama seperti luka pada badan; ia melemahkan sistem kekuatan kita.

Ini adalah benar terutamanya untuk trauma yang menyayat jiwa dan menghancurkan jiwa yang mengambil masa empat puluh sembilan tahun atau seumur hidup untuk sembuh, atau kadang-kadang tidak dapat diubati seumur hidup ini.

Luka seperti ini secara radikal melemahkan kita, terutamanya terhadap orang yang melakukan ini kepada kita, menjadikannya sangat sukar untuk kita memaafkan.

Kita memerlukan kerohanian Sabat untuk membantu kita. — Hakcipta Terpelira 1999-2022 @ Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments