Gereja baharu di Kg Mailo suntik semangat teruskan tiga misi Kristus

Seluruh umat Katolik di Mission Kemabong gembira kerana bangunan baharu Gereja Kristus Raja akhirnya diberkati dan dirasmikan oleh Uskup Cornelius pada 13 Mac lalu.

Apr 03, 2021

KEMABONG: Seluruh umat Katolik di Mission Kemabong gembira kerana bangunan baharu Gereja Kristus Raja akhirnya diberkati dan dirasmikan oleh Uskup Cornelius pada 13 Mac lalu.

Gereja Kristus Raja, yang terletak di Kg Mailo itu siap dibina pada akhir Nov 2020 dengan bantuan kewangan daripada kerajaan dan dibangunkan oleh pihak kontraktor Datuk Victor Paul, menggantikan gereja lama Kg Mailo yang kini dijadikan sebagai dewan gereja.

Dengan adanya bangunan gereja yang baharu ini, perayaan Misa dan Ibadat Sabda akan dapat dilaksanakan dengan lebih selesa, ujar Rulis Amui selaku pengerusi penganjur upacara perasmian Gereja Kristus Raja.

Dalam keterujaan memiliki bangunan gereja baharu, Uskup Cornelius menyeru umat untuk sama-sama mengubah persepsi tentang gereja bahawa gereja bukan setakat bangunan.

Gereja berasal dari kata Yunani ekklesia, atau dalam bahasa Ibrani qahal. Ertinya adalah kumpulan orang-orang atau komuniti untuk berdoa. Maka, Gereja adalah kumpulan jemaat dari orang-orang yangsudah dibaptis, yang disatukan dalam iman sejati yang satu, dalam liturgi dan sakramen-sakramen yang sama,  di bawah autoriti Sri Paus dan para uskup dalam persekutuan dengan Sri Paus.

Dalam nada gurau, sempat berseloroh dengan umat yang hadir supaya “Mailo” dalam mengikuti Yesus.

Perkataan ‘Mailo’ yang bermaksud “keras kepala” dalam Bahasa Murut Tahol, perlu diteladani dari sudut positif iaitu sikap keras kepala kita untuk tetap setia kepada Kristus Raja, dengan tidak mudah tergugat dengan kuasa jahat, kata Bapa Uskup.

Di samping itu, Uskup mengajak umatagar menggunakan kesempatan Pra-Paskah dalam membentuk relasi dengan Tuhan, melalui sikap belas kasihan dan sikap kerendahan hati dengan sentiasa mengakui dan menyedari bahawa kita sentiasa memerlukan belas kasih Tuhan.

Ketua Keuskupan Keningau itu  juga mengingatkan umat agar jangan sekali-kali membawa sikap sombong kerana doa orang sombong tidak akan didengar oleh Tuhan.

Prelatus itu berpesan agar bangunan gereja perlu digunakan bersama untuk tujuan menyembah di samping menambah dan mempertingkatkan hubungan dengan Tuhan dan sesama.

Dalam pada itu, Paderi Paroki Tenom, Fr Ronny Alfred Luni dalam ucapannya berkata, “Semoga peristiwa pemberkatan bangunan ke-tiga di Mission Kemabong akan menjadi batu loncatan untuk lebih komited dan efektif membangun kerajaan Tuhan di Tenom dan Kemabong.”

Pengerusi MPM, Tony Madan pula berkata, “penat lelah dalam membuat persiapan untuk perayaan ini akhirnya bertukar menjadi sukacita apabila kita melakukannya untuk Tuhan.” — Aloy (KOMSOS GBMPAK)

Total Comments:0

Name
Email
Comments