Gereja Katolik anjur Majlis Doa Ekumenikal Sarawak 2024
Sempena Sambutan Hari Sarawak Ke-61, Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) telah menganjurkan Majlis Doa Ekumenikal di Pusat Ibadah Ekumenikal Kristian, Jalan Stampin pada Julai 18 lalu.
Aug 10, 2024
KUCHING: Sempena Sambutan Hari Sarawak Ke-61, Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) telah menganjurkan Majlis Doa Ekumenikal di Pusat Ibadah Ekumenikal Kristian, Jalan Stampin pada Julai 18 lalu.
Majlis Doa Ekumenikal pada tahun ini dianjurkan oleh Gereja Katolik Romawi dengan tema: Supaya mereka semua menjadi satu (Yohanes 17: 21).
Program pada malam itu dimulakan dengan menyanyikan Lagu Kebangsaan dan Negeri Sarawak oleh gabungan koir ACS dan mengibarkan bendera oleh Boys and Girls Brigades.
Pengerusi penganjur, Fr Davie Entalai dari Gereja Katolik, mengalu-alukan kehadiran semua ketua Gereja, tetamu kehormat khas, pembesar negeri, paderi dan religius serta semua hadirin dari pelbagai agama.
Bercakap mengenai tema Majlis Doa Ekumenikal, Fr Davie menyatakan, “Semoga kita semua menjadi satu, yang ditandai dengan cinta antara satu sama lain tanpa mengira agama, dan cinta kepada tanah air kita, bumi Kenyalang.”
Pengerusi ACS, Datuk Danald Jute, Uskup Gereja Anglikan Sarawak dan Brunei, mengetuai doa pembukaan, diikuti bacaan Kitab Suci bahasa Malaysia, Iban, Mandarin dan Bidayuh Jagoi dan Injil dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Uskup Agung Kuching, Dr Simon Poh menyampaikan renungan berdasarkan tema majlis ekumenikal tersebut.
Renungan yang disampaikan dalam bahasa Malaysia dan Mandarin itu, dimulakan dengan topik cinta kasih Tuhan dan dosa manusia.
Memetik kitab Kejadian bagaimana dosa keangkuhan, tamak, membunuh, sikap mementingkan diri dan mengeksploitasi ekologi sehingga membawa kemusnahan alam — telah memutuskan hubungan sesama dan Tuhan.
“Sebab itulah Tuhan mengutus Anak-Nya ke dunia untuk menyelamatkan kita,” katanya.
Prelatus itu juga mengajak hadirin untuk menunjukkan belas kasihan, kemurahan hati dan memetik kata daripada Sri Paus Fransiskus yang menegaskan, “Nama Tuhan ialah Belas Kasihan.”
Majlis Doa Ekumenikal diakhiri dengan doa Benediktus yang diketuai oleh Datuk Danald Jute.— Today’s Catholic
Total Comments:0