Gereja sesungguhnya rumah anda!

Sri Paus Fransiskus memberi keyakinan kepada orang kurang upaya bahawa Gereja adalah rumah mereka.

Nov 27, 2021


VATIKAN:
Sri Paus Fransiskus memberi keyakinan kepada orang kurang upaya bahawa Gereja adalah rumah mereka. Katanya, Gereja adalah komuniti orang yang tidak sempurna dan pendosa yang memerlukan pengampunan Tuhan.

Ini dinyatakan oleh Bapa Suci dalam perutusan sempena Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan diperingati pada 3 Disember.

Mesej Paus, yang dikeluarkan oleh Vatikan pada sidang akhbar pada 25 Nov, mempunyai temanya, “Kamu adalah sahabatKu” (Yoh 15:14).

“Gereja sesungguhnya rumah kalian! Kita semua, bersama-sama, adalah Gereja, kerana Yesus memilih untuk menjadi sahabat kita.

"Setiap orang mempunyai peranan untuk dilaksanakan; tiada siapa yang sekadar menjadi ‘pemain tambahan’ semata-mata. "Oleh itu, setiap daripada kamu, juga dipanggil untuk membuat sumbangan dalam perjalanan sinode, proses gereja yang berpartisipatif dan inklusif.”

“Malangnya,” kata Bapa Suci, “ramai orang kurang upaya dilayan sebagai ‘badan asing’ dalam masyarakat. Ini menyebabkan anda merasa anda wujud tetapi kehadiran anda tidak diakui dan diabaikan. Dan terdapat banyak perkara yang menghalang anda daripada mendapat hak sepenuhnya.

“Diskriminasi,” katanya, “terus berlaku di pelbagai peringkat masyarakat; ia mendorong kepada prasangka, kejahilan, dan budaya yang sukar untuk menghargai martabat setiap orang.”

“Ini juga menyebabkan kecenderungan berterusan yang menganggap ketidakupayaan sebagai sejenis penyakit,” keluhnya.

Dalam Gereja, ujar Sangti Papa, “bentuk diskriminasi yang paling teruk . . . adalah kekurangan penjagaan rohani” misalnya menafikan hak orang kurang upaya untuk menerima sakramen. Dalam hal ini, Sri Paus menekankan ajaran Gereja bahawa “tiada siapa boleh menafikan Sakramen kepada orang kurang upaya” — kerana Yesus tidak memanggil kita hamba, Dia tidak menganggap martabat wanita dan lelaki itu berbeza tetapi memandang kita semua sebagai sahabat-Nya.

Kata Uskup Roma itu lagi, persahabatan Yesus melindungi kita pada saat-saat kesukaran, seperti semasa pandemik Covid-19, yang telah memberi kesan yang teruk kepada ramai orang kurang upaya.

"Ramai daripada mereka terpaksa tinggal di rumah untuk jangka masa yang lama; ramai pelajar kurang upaya menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan bagi pembelajaran jarak jauh; gangguan dalam perkhidmatan penjagaan sosial yang berpanjangan; dan kesusahan lain.

“Ketahuilah bahawa Sri Paus dan Gereja sangat dekat dengan anda, mengasihi dan menyayangi anda,” kata Sri Paus Fransiskus.

Prelatus itu menyatakan bahawa Gereja sentiasa “menegaskan bahawa setiap orang harus diberikan rawatan, dan ketidakupayaan bukan halangan dalam memberikan penjagaan terbaik.”

Dalam hal ini, Bapa Suci memuji Konferensi para Uskup di Amerika Syarikat, England dan Wales, yang menuntut penghormatan terhadap hak rawatan perubatan bagi setiap orang, tanpa diskriminasi.

Paus Fransiskus juga menggesa para kurang upaya untuk berdoa, meyakinkan mereka bahawa Tuhan mendengar dengan penuh perhatian doa mereka yang percaya kepada-Nya.

“Doa adalah misi, misi yang boleh diakses oleh semua orang, dan saya ingin mempercayakan misi itu dengan cara tertentu kepada anda. Tidak ada orang yang lemah sehingga dia tidak dapat berdoa, menyembah Tuhan, memuliakan Nama-Nya yang kudus, dan berdoa untuk keselamatan dunia.”

Pada akhir perutusannya, Sri Paus Fransiskus mengingatkan semua bahawa pandemik jelas menunjukkan kepada kita bahawa kita semua lemah dan rapuh; kita semua berada dalam perahu yang sama, rapuh dan keliru, tetapi pada masa yang sama, kita semua dipanggil untuk mendayung bersama. Dan “cara utama untuk melakukannya adalah dengan berdoa”. — Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments