Gereja tidak berfungsi tanpa paderi

Pertemuan antarabangsa “Paderi paroki untuk Sinode”, Apr 29-Mei 2, 2024 di Roma

May 11, 2024

Fr David Garaman (tiga dari kiri) dari Sandakan, mewakili Konferensi para Uskup Katolik Malaysia, Singapura, Brunei ke Pertemuan Antarabangsa Paderi Paroki di Sacrafano, Itali. Gambar: Synod.va.


SACROFANO, Itali: Gereja tidak dapat meneruskan karyanya tanpa dedikasi dan khidmat pastoral anda ... dengan kata-kata ini, Sri Paus Fransiskus mengucapkan terima kasih yang tulus kepada para paderi paroki dalam surat yang diutusnya kepada para peserta Pertemuan Antarabangsa “Paderi Paroki untuk Sinode.”

Kira-kira tiga ratus paderi paroki dari seluruh dunia berkumpul minggu ini di Sacrofano, Itali bagi pertemuan lima hari yang didedikasikan untuk mendengar, berdoa dan berbicara untuk menangani persoalan bagaimana menjadi Gereja sinodal tempatan dalam misi.

Perkongsian kisah Yesus masih berkarya di paroki masing-masing
Semasa pembukaan perhimpunan itu, Kardinal Mario Grech, Setiausaha Agung Sinode berkata, “Kamu tidak datang ke sini untuk menerima beberapa pengajaran atau eksposisi tentang sinodal sebaliknya untuk memberitahu kami kisah kamu, kerana kisah setiap kamu adalah penting.”

“Kami ingin mendengar cerita anda, kami ingin mendengar bagaimana Yesus bekerja di paroki kamu pada hari ini,” jelas Kardinal Mario, seraya menerangkan bahawa pertemuan para paderi antarabangsa itu adalah mengenai “perkongsian cerita, membantu satu sama lain melihat kehadiran Tuhan dalam pengalaman para paderi, memahami bahawa pemeliharaan-Nya masih berkarya dalam Gereja hari ini.”

Cabaran boleh memperkaya proses sinodaliti
Pada hari terakhir pertemuan antarabangsa itu, Bapa Suci menyatakan rasa terima kasih dan penghargaannya atas karya-karya murah hati para paderi paroki, pelayanan yang mereka lakukan setiap hari untuk menumbuhkan benih Injil bertunas dan berakar di seluruh dunia.

Bapa Suci mengakui pelbagai cabaran besar yang dihadapi oleh para paderi namun bagi Bapa Suci Fransiskus, dari sudut positifnya, realiti itu dapat membawa pelbagai perspektif serta pengalaman dan memperkayakan proses sinodaliti.

Paderi mengetahui kehidupan umat Tuhan
Sri Paus Fransiskus menegaskan paderi paroki mengetahui dan memahami kehidupan umat Tuhan, kegembiraan mereka, kesusahan, sumber dan keperluan mereka.

“Atas sebab ini, sebuah Gereja sinodal memerlukan paderi parokinya,” tegas Sri Paus, seraya menegaskan bahawa tanpa paderi, kita tidak akan pernah dapat belajar bagaimana untuk berjalan bersama-sama dan menuju ke jalan sinodal.”

Sri Paus mengingatkan bahawa “Jika paroki tidak sinodal dan bersifat misi, Gereja tidak akan berkembang.”

Oleh itu, Sri Paus menyeru para paderi untuk menemani masyarakat yang mereka layani dalam proses sinodal dan pada masa yang sama, komited dalam doa, kebijaksanaan dan semangat memberitakan Khabar Baik Tuhan.

Tiga inspirasi daripada Sri Paus Fransiskus untuk para paderi paroki
Tuhan, meminta kita hari ini untuk mendengar suara Roh-Nya dan untuk berjalan ke arah yang Dia tunjukkan kepada kita.

“Satu perkara yang pasti, yang tidak akan berubah: Dia tidak akan meninggalkan kita tanpa rahmat-Nya.”

Sri Paus Fransiskus juga menawarkan tiga cadangan yang memberi inspirasi kepada paderi paroki dalam aktiviti dan misi mereka.

Pertama, Sri Paus menggesa para paderi untuk menghidupkan karisma pelayanan di mana Roh Kudus telah mengurniakan pelbagai karunia di kalangan Umat Tuhan.

Cadangan kedua ialah belajar mengamalkan seni kebijaksanaan komunal dengan menggunakan “perbualan dalam Roh” seperti yang digunakan semasa perhimpunan Sinode Oktober tahun lalu.

Terakhir, Sri Paus Fransiskus menggalakkan para paderi untuk mendasarkan segala yang mereka lakukan “dalam semangat perkongsian dan persaudaraan” di kalangan sesama paderi dan uskup mereka.

Gereja sinodal dan misi adalah proses berterusan Sinode 2021-2024 yang bertema, “Untuk Gereja Sinodal: Perjamuan, Penyertaan, Misi” di mana proses ini memerlukan paderi paroki dan suara mereka, tegas Sri Paus.

Wakil Konferensi para Uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei, Fr David Garaman dari Keuskupan Sandakan, telah dipilih untuk menghadiri acara antarabangsa tersebut.

“Perhimpunan antarabangsa ini memberikan peluang untuk berkongsi pengalaman hidup sinodaliti di setiap lokaliti dan realiti pelayanan kepaderian. Memberi, mendengar dan berkongsi pengalaman sama ada yang positif atau negatif memberikan saya suntikan harapan tentang keperluan hidup bersinodal sebagai Gereja yang wujud untuk misi,” kata Fr David. — CNA/ media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments