Gereja wujud untuk menginjil

Meskipun kedudukan Gereja Katolik di dunia telah berubah, tetapi misi penginjilannya “tidak berubah dengan budaya, atau politik, atau semangat zaman,” kata Uskup Agung José H. Gomez dari Los Angeles dalam sebuah perhimpunan para Uskup pada 16 November lalu.

Nov 20, 2021

Misi Gereja tetap sama pada setiap masa dan tempat iaitu untuk memberitakan Khabar Gembira kepada seluruh bangsa. Gambar: Raul Dancel.


BALTIMORE:
Meskipun kedudukan Gereja Katolik di dunia telah berubah, tetapi misi penginjilannya “tidak berubah dengan budaya, atau politik, atau semangat zaman,” kata Uskup Agung José H. Gomez dari Los Angeles dalam sebuah perhimpunan para Uskup pada 16 November lalu.

“Bapa Suci berulang kali mengingatkan kita: Gereja wujud untuk menginjil. Menjadi seorang Kristian adalah menjadi seorang murid misionari. Tidak ada definisi lain,” kata Uskup Agung Gomez, presiden Persidangan Uskup Katolik Amerika Syarikat.

"Kedudukan Gereja dalam masyarakat telah berubah. Kita tidak boleh bergantung pada bilangan atau pengaruh kita dalam masyarakat. Bilangan dan pengaruh kita bukanlah perkara penting. Kita berada di sini untuk menyelamatkan jiwa-jiwa. Dan Yesus berjanji kepada kita bahawa jika kita pertama-tama mencari Kerajaan-Nya, segala yang kita perlukan akan diberikan kepada kita.”

“Apakah cara terbaik untuk membantu umat kita untuk hidup, bekerja dan melayani sebagai Katolik pada masa ini? Bagaimana kita boleh membantu umat kita untuk membesarkan anak-anak mereka, agar mereka terlibat dalam masyarakat dan budaya? Sebagai sebuah Gereja, bagaimana kita harus menginjil dan menjalankan tugas memperjuangkan keadilan dan pembaharuan masyarakat kita?” soal Uskup Agung Gomez.

Ucapan Uskup Agung itu menyentuh beberapa tema serupa yang pernah dibangkitkannya dalam Kongres Katolik dan Kehidupan Awam di Madrid, Sepanyol pada 4 November lalu. Kenyataannya mengundang pujian dan kritikan kerana kritikannya terhadap “kebangunan rohani” dan gerakan keadilan sosial ideologi lain, yang menurut beliau bertentangan dengan ajaran Gereja tentang martabat dan kebebasan yang diberikan Tuhan kepada manusia.

“Bagi kebanyakan sejarah kita, kisah yang memberi makna kepada kehidupan kita, berakar umbi dalam pandangan dunia alkitabiah dan nilai-nilai warisan Judeo-Kristian kita. Ia adalah kisah tentang manusia yang dicipta mengikut imej Tuhan dan menyumbang kepada panggilan dunia untuk membangun masyarakat di mana orang boleh hidup dalam kebebasan, saksama dan bermaruah,” ujar Gomez.

“Apa yang kita lihat di sekeliling kita sekarang, adalah tanda-tanda kebinasaan martabat manusia dan alam ciptaan Tuhan. Inilah antara akibat hidup dalam masyarakat sekular. Kita semua memerlukan Tuhan untuk membantu kita memahami kehidupan kita, jadi apabila kita cuba hidup tanpa Tuhan, kita boleh menjadi keliru,” katanya. “Ramai orang-orang sekeliling kita sedang mencari. Mereka sedang mencari cerita baharu untuk memberi makna kepada kehidupan mereka, untuk memberitahu mereka, untuk apa mereka hidup dan mengapa,” kata Gomez.

“Tetapi saudara-saudaraku, jiran kita tidak memerlukan cerita baharu. Apa yang mereka perlukan ialah mendengar kisah benar — kisah indah tentang kasih Kristus kepada kita, kematian dan kebangkitan-Nya untuk kita, dan harapan yang dibawa-Nya dalam kehidupan kita.”

“Misi Gereja tetap sama pada setiap masa dan tempat,” kata Gomez. “Iaitu untuk memberitakan Yesus Kristus dan membantu setiap orang untuk mencari Dia dan berjalan bersama-Nya.” -- CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments