Harapan tidak mengecewakan
Tahun Jubli 2025 bagi Gereja Katolik diisytiharkan secara rasmi pada Mei 9, 2024 oleh Sri Paus Fransiskus, yang mengetuai pembacaan rasmi papal bull atau titah kepausan.
May 18, 2024
TAKHTA SUCI: Tahun Jubli 2025 bagi Gereja Katolik diisytiharkan secara rasmi pada Mei 9, 2024 oleh Sri Paus Fransiskus, yang mengetuai pembacaan rasmi papal bull atau titah kepausan. Titah kepausan bertajuk “Spes Non Confudit” (Harapan Tidak Mengecewakan) mengisytiharkan bahawa Tahun Jubli secara rasmi akan bermula dengan pembukaan Pintu Suci Basilika Sto Petrus pada pada malam Natal 2024.
Sri Paus Fransiskus seterusnya memutuskan bahawa setiap katedral Katolik di seluruh dunia harus mengadakan Misa pada Disember 29, 2024, sebagai pembukaan besar-besaran Tahun Jubli untuk komuniti tempatan mereka.
Bapa Suci turut menggalakkan setiap keuskupan untuk menganjurkan ziarah ke katedral untuk acara tersebut. Jubli 2025 akan diakhiri secara rasmi dengan penutupan Pintu Suci Basilika Sto Petrus pada Januari 6, 2026, pada hari raya Epifani.
“Semoga Tahun Jubli menjadi momen perjumpaan peribadi yang asli dengan Tuhan Yesus iaitu ‘pintu’ keselamatan kita (Yoh 10:7,9), yang ditugaskan Gereja untuk memberitakan selalu, di mana-mana sahaja dan kepada semua orang sebagai ‘harapan kita’ (1 Tim 1:1),” tulis Sri Paus Fransiskus dalam titah kepausannya.
Harapan menopang kita dalam
perjalanan hidup Menggambarkan konsep dan realiti harapan Kristian yang “tidak boleh binasa” dan “tidak pudar”, Sri Paus berkata harapan mengekalkan kita dalam perjalanan hidup kita, walaupun mengharungi detik dan masa yang paling gelap dan paling sukar. Harapan membuka mata kita kepada kemungkinan masa depan dan membuat kita melihat janji kebaikan pada masa-masa kejahatan kelihatan menang.
“Harapan Kristian menjadikan kita mengimpikan manusia baharu dan memberi kita keberanian untuk membina dunia persaudaraan dan damai, walaupun ia kelihatan hampir mustahil.”
Harapan diperlukan oleh Gereja
“Harapan diperlukan oleh Gereja,” tambah Sri Paus Fransiskus. Harapan menjadikan Gereja tidak pernah lupa bahawa “sebagai Pengantin Kristus, dia dikasihi dengan kasih yang kekal dan setia, dipanggil untuk menjunjung tinggi terang Injil dan diutus dengan semangat merasul kepada semua bangsa. ”
Pada masa-masa kegelapan, walaupun ketika kita berasa tertekan disebabkan oleh keputusasaan dan tanpa disedari mendambakan kehadiran Tuhan, kita diingatkan akan kata-kata seorang ahli teologi iaitu Fr Romano Guardini yang menulis bahawa apabila kegelapan menyelubungi kita, orang bertanya: “Tuhan, di manakah Engkau? Mereka sekali lagi akan mendengar jawapannya: ‘Lebih dekat dengan kamu daripada sebelumnya!”
“Saudara-saudara, semoga Tuhan, yang telah bangkit dari antara orang mati dan telah naik ke Syurga, memberikan kita rahmat untuk menemukan kembali harapan, untuk mewartakan harapan dan untuk membina harapan.
Dalam titah kepausannya, Bapa Suci Fransiskus juga menggesa keperluan untuk keamanan di dunia, yang katanya pada masa ini “tenggelam dalam tragedi perang.”
“Semoga Jubli mengingatkan kita bahawa mereka yang membawa damai akan dipanggil ‘anak-anak Tuhan’ (Mat 5:9). Keperluan untuk keamanan mencabar kita semua dan menuntut mengambil langkah konkrit. Semoga diplomasi tidak jemu mencari, komited, berani dan kreatif, menggunakan setiap peluang untuk menjalankan rundingan yang bertujuan untuk keamanan yang berkekalan.”
Jubli adalah tahun suci khas rahmat dan ziarah dalam Gereja Katolik. Ia biasanya berlaku sekali pada setiap 25 tahun, namun Sri Paus boleh menganjurkan tahun jubli luar biasa dengan lebih kerap, contohnya Tahun Belas Kasihan pada tahun 2016 dan Tahun Iman 2013. — CNA/media Vatikan
Total Comments:0