Hari keluarga Pemimpin Ibadat Sabda di Menumbok
Tiga orang pemimpin Ibadat Sabda (PIS) yang baharu, telah diutus pada Hari Keluarga Pemimpin Ibadat Sabda peringkat paroki St Peter Bundu, di Gereja St Ambrose pada September 16 lalu.
Oct 12, 2024

MENUMBOK: Tiga orang pemimpin Ibadat Sabda (PIS) yang baharu, telah diutus pada Hari Keluarga Pemimpin Ibadat Sabda peringkat paroki St Peter Bundu, di Gereja St Ambrose pada September 16 lalu.
Sambutan Hari Keluarga itu bertambah meriah dengan kehadiran Ketua Keuskupan Keningau, Uskup Cornelius Piong.
Prelatus itu turut memberkati dan merasmikan Gereja St Ambrose dan dewan yang baharu. Gereja dan dewan tersebut mampu menampung lebih kurang 50 umat, menunjukkan perkembangan iman Katolik yang semakin bertambah di daerah yang hanya 5% bukan Islam.
Selain tiga PIS yang baharu, 19 orang PIS dan pemimpin pelbagai upacara (PUD) yang sedia ada turut diberkati dan diutus oleh Uskup Cornelius Piong.
Perayaan Ekaristi dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong, bersama paderi paroki Kuala Penyu, Fr Roney Mailap.
Dalam homilinya, Uskup Cornelius menekankan semangat kesatuan yang berpandu dan bersumberkan daripada Tuhan.
Diinspirasikan perjalanan apostolik Bapa Suci Fransiksus ke Asia dan Oceania pada September 6 hingga 13 lalu, yang telah memberi penghiburan dan peningkatan iman, paderi itu berharap agar lawatan pastoral Bapa Uskup ke Gereja St Ambrose dapat mendorong umat Katolik di sini, menghasilkan iman berkualiti dan semangat pelayanan yang bersungguh-sungguh.
Bapa Uskup dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada umat di Menumbok yang telah menpunyai tiga kemudahan yang penting iaitu bangunan Gereja sebagai tempat untuk menyembah Tuhan; Dewan sebagai tempat untuk melakukan pelbagai aktiviti dan kemudahan dapur bagi acara-acara sosial.
Kepada para pemimpin Ibadat Sabda dan pelbagai upacara, Uskup Cornelius mengingatkan mereka untuk melalui tiga proses dalam pelayanan iaitu mengenal, mencintai dan melayani.
Pengerusi Komiti Katekis Paroki St Peter, Sdra Raymond Misin dalam ucapannya mengajak umat agar berziarah ke Gereja St Ambrose, untuk memberi semangat, dorongan dan kekuatan kepada umat Katolik minoriti di Menumbok.
Pada hari itu juga, umat meraikan Hari Malaysia dengan memalu gong 11 kali oleh Uskup Cornelius.
Bapa Uskup seterusnya mengumumkan tuan rumah bagi Hari Keluarga Pemimpin Ibadat Sabda pada tahun 2025 ialah Gereja St Peter, Bundu. --Stella Eming
Total Comments:0