Hari Malaysia: Kesempatan untuk menegakkan keadilan, intergriti

Malaysia dilahirkan lima puluh lapan tahun yang lalu pada 16 September 1963. Kita bersyukur kepada Tuhan selama bertahun-tahun, negara ini telah membuktikan bahawa pembangunan negara dapat dilakukan dalam lingkungan yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.

Sep 11, 2021

Malaysia dilahirkan lima puluh lapan tahun yang lalu pada 16 September 1963. Kita bersyukur kepada Tuhan selama bertahun-tahun, negara ini telah membuktikan bahawa pembangunan negara dapat dilakukan dalam lingkungan yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.

Tidak dapat dinafikan, kewujudan pelbagai budaya, tuntutan dan aspirasi 32.7 juta penduduknya telah memberi tekanan kepada hubungan antara etnik dan antara agama, dan kadang-kala, ini telah menimbulkan ketegangan.

Tetapi, puji Tuhan, akal budi dan semangat toleransi telah membuat kita terus maju ke hadapan. Marilah kita berdoa agar keharmonian yang kita alami diteruskan sambil kita menuju ke arah status negara maju sepenuhnya.

Ini adalah tahun kedua Hari Malaysia disambut dengan cara sederhana, kebanyakannya dilakukan secara maya. Pandemik ini telah menghalang kita daripada perayaan sebenar yang dapat dinyatakan melalui pertemuan dan interaksi sosial.

Dengan kenaikan kes positif dan korban jiwa, COVID-19 telah mengalihkan dan menguras banyak tenaga, sumber daya dan perhatian kita. Sistem kesihatan awam kita telah mencapai batasnya dan barisan hadapan sangat lelah dan kepenatan. Sektor ekonomi sangat terkesan dan ramai orang kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Satu-satunya bentuk komunikasi yang sangat bergantung pada teknologi media, jurang digital di kalangan rakyat semakin meluas, terutama antara kawasan luar bandar dan bandar. Pertengkaran politik juga tidak membantu kepada keadaan yang sudah tertekan.

Pandemik yang berpanjangan ini mengakibatkan hidup menjadi terumbang-ambing. Terdapat ketidakpastian dalam setiap dimensi kehidupan. Bagi kebanyakan orang, norma-norma baharu adalah “tidak normal” kerana ianya sangat asing kepada sifat manusia sebagai makhluk sosial.

Dalam suasana seperti inilah Hari Malaysia akan disambut tahun ini. Akan tetapi, kita perlu bangkit dari semua ini dan mencari jalan alternatif untuk menyatakan rasa kebangsaan kita terutama ke arah pemulihan dan perpaduan nasional.

Sebagai kaum beriman, marilah kita berpaling kepada Tuhan memohon penghiburan dan kebijaksanaan-Nya. Teks Kitab Suci 1 Korintus 2:9-12; Santo Paulus mengingatkan kita untuk membaca tandatanda zaman dengan beralih kepada Roh Tuhan, yang “menyelidiki segala sesuatu, bahkan hal-hal yang tersembunyi dalam diri Tuhan”

Percubaan dan penderitaan yang kita lalui sebagai individu, keluarga atau bangsa kadang-kala berada di luar pemahaman kita.

Dalam keadaan tertentu, analisis sosial kita mungkin mendorong kita untuk mengenal pasti punca-punca keadaan. Tetapi melainkan jika kita menjangkau fikiran dan menggunakan iman kita untuk menolong kita pada saat yang sukar ini, ‘permainan menyalahkan’ tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Sebagai murid-murid Kristus, kita dipanggil untuk menjadi “garam dan terang dunia”. Daripada mengutuk kegelapan, mari kita masing-masing menyalakan lilin kita sendiri dan bersama-sama mencari jalan keluar.

Saya berdoa agar dengan bantuan Roh Kudus, Hari Malaysia dapat menjadi kesempatan untuk membuat perbezaan. Di mana ada pembohongan dan tipu daya, marilah kita menegakkan kebenaran dan integriti. Di mana ada kebencian dan dendam, marilah kita menunjukkan pengampunan.

Di mana ada pembuli dan eksploitasi, marilah kita berdiri teguh dan mempertahankan maruah setiap orang tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan. Di mana terdapat kuasa negatif yang beroperasi, marilah kita mengalahkannya dengan kuasa kasih.

Semoga cinta kasih kita terhadap negara kita menghasilkan yang terbaik dalam diri kita sambil kita bergerak maju dan melepasi wabak COVID-19. Semoga Tuhan memberkati Malaysia! Uskup Agung John Wong Keuskupan Agung Kota Kinabalu 31 Ogos 2021

Total Comments:0

Name
Email
Comments