Hidup ini tidak selalunya selesa dan aman

Seorang biarawati bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital. Dia menjadi pembantu kepada seorang doktor pakar bedah yang berpengalaman.

Nov 27, 2021

HARI MINGGU PERTAMA
ADVEN ( TAHUN C )
YEREMIA 33:14-16 1 TESSLONIKS. 3:12 – 4:2
INJIL LUK.21:25-28,34-36

Seorang biarawati bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital. Dia menjadi pembantu kepada seorang doktor pakar bedah yang berpengalaman. Setiap kali pembedahan selesai, doktor tersebut selalu mengejek biarawati itu dengan kata-kata ini, “Lucu kan Sister? setiap kali kita membedah orang, kita tidak pernah menemukan jiwanya.”

Biarawati itu dengan sabar menjawab, “Doktor, engkau akan menemui jiwamu sebelum mati. Saya akan sentiasa mendoakanmu.” Dan seperti biasa doktor tersebut memberi jawapan yang sama: “Lebih baik Sister simpan doa sister tersebut untuk orang lain, bukan saya.”

Suatu hari sang doktor tiba-tiba jatuh sakit lalu meninggal dunia. Biarawati itu terus ke chapel dan berdoa, “Tuhan, saya pasti Engkau telah menyelamatkan jiwanya …” dan pada penghujung doanya, biarawati itu menambah, “Tetapi bolehkah Engkau memberikan saya kepastian sama ada dia sudah Engkau selamatkan atau belum?”

Tuhan telah memberikan jawaban kepada biarawati itu. Selepas kematian doctor bedah itu, tersebar berita bahawa doktor tersebut telah dibawa ke rumah sakit di mana terdapat ramai biarawati bertugas sebagai jururawat.

Dan doktor itu sendiri telah meminta agar paderi datang membaptisnya. Dia sempat dibaptis dan menerima Sakramen yang terakhir lalu meninggal dunia.

Jelas dalam kisah yang menarik ini mengatakan bahawa doa seorang biarawati yang tekun, sabar dan tanpa putus-putus itu telah menyelamatkan jiwa seorang doktor yang pada mulanya tidak percaya pada Tuhan itu.

Masa Adven yang kita mulakan pada minggu ini dan berterusan hingga ke hari Krismas, adalah merupakan perayaan ketekunan, kesabaran dan tidak kenal putus asa. Dalam masa empat minggu Adven ini, kita diajak untuk merenungi kembali tentang masa yang berabad-abad lamanya menunggu kedatangan Yesus ke dunia ini.

Semangat ketabahan dan kesabaran akan dapat membantu kepada mereka yang selalu dalam keadaan tergesa-gesa dalam segala perkara termasuk dalam hal beribadah kepada Tuhan.

Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita melayani Tuhan yang berada di tempat yang abadi di mana terdapat kehidupan yang tidak tergesa-gesa. Tetapi kita yang berada di dunia fana ini selalu diajar dan dikejar oleh masa. Untuk mengenal Tuhan dan juga diri kita sendiri agar menjadi dekat, maka kita perlu sentiasa berfikir dan berdoa kepada-Nya di dalam keadaan yang aman dan ketenangan. Bukan di dalam keadaan tergesa-gesa atau ala kadar belaka.

Tuhan perlu diutamakan di dalam hidup ini. Lebih dari segalanya. Namun kita mesti sentiasa ingat bahawa walaupun Tuhan itu akan datang, tapi kita tidak tahu bila masanya.

Maka tidak hairanlah ramai yang mengeluh: “Mengapa semasa hidup menantikan kedatangan Tuhan saya mengalami pelbagai masalah?” Tuhan, di dalam kebijaksanaan dan kebaikan-Nya, memberi kita pelbagai cabaran yang bukan hanya membuat kita menjadi peribadi yang mantap, tetapi juga mencabar kita untuk mengalami hidup yang tidak selalu selesa.

Apa yang dimaksudkan di sini, bahawa orang-orang yang hidup selesa dan tidak mempunyai apaapa masalah akan menghadapi bahaya untuk melupakan Tuhan. Dia merasakan begitu selesa di dunia ini sehingga lupa akan kehidupan kekal yang sedang menunggunya.

Yesus di dalam Injil hari ini menegur kita dengan lantang. “Jagalah dirimu, supaya hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingankepentingan duniawi dan supaya hari Tuhan jangan tiba-tiba jatuh ke atas dirimu seperti mata jerat” (Luk 21:34).

Peringatan untuk berjaga-jaga ini sangat jelas kita lihat dalam bentuk dugaan-dugaan kehidupan seharian dan malah kadangkadang dalam kejadian-kejadian yang menyayat hati untuk membuat kita agar sentiasa berwaspada bahawa tanpa Tuhan kita tidak boleh berbuat apa-apa.

Apapun yang kita alami dalam kehidupan ini, janganlah membuat kita berputus asa sebab hari Krismas yang kita nanti-nantikan itu bererti Sang Juruselamat datang memberikan kita kekuatan dan penyelamatan. — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments