Hubungan pertaubatan dan keadilan
Dalam Injil pada Hari Minggu Adven ketiga ini, Yohanes Pembaptis memberitahu dan menyiapkan kedatangan Yesus sebagai Almasih.
Dec 14, 2024
HARI MINGGU
KETIGA
ADVEN
ZEFANYA 3:14-18A
FILIPI 4:4-7
INJIL LUKAS 3:10-18
Dalam Injil pada Hari Minggu Adven ketiga ini, Yohanes Pembaptis memberitahu dan menyiapkan kedatangan Yesus sebagai Almasih.
Syaratnya ialah pertaubatan! Pertaubatan ialah metanoia atau perubahan pandangan total. Orang-orang yang mendengar Yohanes lalu bertanya-tanya, “Jika demikian, apakah yang harus kami perbuat?” Mereka tertanya-tanya bagaimana mereka harus bertaubat!
Pertaubatan sejati adalah suatu cara hidup yang sederhana. Kehidupan sederhana itu diperlihatkan melalui hidup Yohanes Pembaptis sendiri dengan hidupnya yang istimewa.
Dari apa yang dikatakan oleh Yohanes Pembaptis mahupun dari pertanyaan yang disampaikan oleh beberapa kumpulan orang baik, pemungut cukai, mahupun sebagai parajurit, ternyata pertaubatan sejati mempunyai hubungan erat dengan keadilan sosial.
Bertaubat bererti hidup dan berbuat adil. Dan hidup adil itu sebenarnya sederhana iaitu rela berbahagi dengan sesama, terutama yang berkekurangan.
Secara konkrit, apabila kita mempunyai kelebihan hendaknya rela untuk memberikannya kepada orang lain. Ternyata pertaubatan yang dimaksudkan oleh Yohanes bukan hanya soal batin atau rohaniah sahaja tetapi juga diungkapkan dalam perbuatan sosial kepada sesama.
Tuhan menyediakan kekayaan bumi kita ini untuk mencukupi keperluan segenap penduduknya. Namun sayangnya, masih begitu ramai dalam kalangan penduduk dunia atau bumi kita ini, walaupun pada umumnya memeluk agama atau kepercayaan, yang sangat baik dan suci ajarannya, namun pertaubatan yang harus dimiliki setiap orang itu belum merupakan kenyataan.
Orang berusaha ibaratnya bersaing mengumpulkan kekayaan pelbagai rupa seperti wang, benda-benda seperti logam, rumah, kereta, tanah, perusahaan dan banyak lagi.
Meskipun memiliki segalanya yang kita perlukan malah berlebihan, dapatkah kita berasa bahagia dan bersukacita, apabila kita melihat keadaan masih begitu ramai orang, yang semartabat dengan kita di depan Tuhan tetapi belum dapat hidup sebagai manusia secara wajar dan keperluan hidup mereka juga tidak mencukupi?
Kita semua diciptakan menurut citra Tuhan sendiri. Citra Tuhan asli ialah Yesus Almasih kita, yang disiapkan kedatangan- Nya oleh Yohanes Pembaptis.
Dan jawapan Yohanes Pembaptis tentang persoalan yang diajukan oleh pemungut cukai mahupun tentera-tentera Romawi, dapat dilihat melalui kehidupan Yesus.
Yesus tidak memiliki rumah sendiri, Dia tidak hanya bergaul dan berkecimpung dalam kalangan orang-orang besar. Sebaliknya Dia mengunjungi orang-orang miskin, orang-orang sakit, orang-orang yang berkekurangan.
Inilah sumber kegembiraan dan sukacita Yesus yang sebenarnya iaitu bersama mereka yang sakit, serba kekurangan, bersama kanak-kanak dan mereka yang terabai.
Berbelaskasih kepada sesama khususnya kepada siapa pun yang berkekurangan, di situlah letaknya sukacita atau kegembiraan sejati.
Sukacita sejati tidak akan hilang. Biar pun mungkin kita kehilangan harta atau ditinggalkan oleh seseorang yang kita percayai, sukacita tetap dirasai kerana ia berasal daripada Tuhan. Sukacita daripada Tuhan tidak terbatas.
Kebahagiaan dan sukacita tidak akan berhenti dalam hidup kita kerana ia datang dari syurga.
Kesucian atau kekudusan sejati tidak mungkin dicapai tanpa pertaubatan. Tetapi pertaubatan apabila ia dilakukan kerana kepentingan diri sendiri atau kerana hanya mengikut trend orang sekarang, maka ia bukan pertaubatan sejati malah palsu.
Maka palsulah juga kegembiraan dan sukacita hidupnya. Kebaikan dan amal kasih, itulah sukacita sejati yang disiapkan oleh Yohanes Pembaptis, dan menjadi kenyataan dalam hidup, kata dan perbuatan Yesus. --Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm.
Total Comments:0