Jadilah garam dan terang untuk kerajaan Tuhan dan Malaysia

Pesan Hari Malaysia Uskup Cornelius Piong

Sep 16, 2022

Uskup Cornelius Piong bersama para paderi dan umat selepas merayakan Misa Kudus Hari Malaysia di Katedral St Francis Xavier, Keningau tahun lalu. Foto: Didiroy Joneh

Syukur dan puji Tuhan kerana penyertaan dan perlindungan-Nya maka kita rakyat Malaysia dapat hidup bersama dengan aman walaupun kita terdiri dari pelbagai keturunan, agama, budaya dan bangsa.

Kita bersyukur kepada Tuhan kerana walaupun ada masa-masanya timbul perselisihan faham di antara kita, akan tetapi kita lebih dapat melihat kepelbagaian kita ini secara positif dan sebagai kekuatan bagi bangsa kita Malaysia.

Kita juga bersyukur kerana Perdana Menteri Malaysia YAB Dato Sri Ismail Sabri Yakob telah melancarkan satu kempen untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya dengan slogan yang bertemakan, “Keluarga Malaysia teguh bersama”.

Untuk merealisasikan cita-cita murni ini, semua rakyat Malaysia perlu turut serta dan ambil peduli mulai dari keluarga kita sendiri, kerana keluarga adalah unit dan permulaan masyarakat. Amalan dan budaya baik atau buruk akan ditentukan dalam keluarga kita.

Membangun keluarga Malaysia memerlukan fahaman yang terbuka didorong oleh semangat komuniti, keturutsertaan dan perjuangan dalam keluarga.

Ibubapa, tidak kira kaum, agama dan budaya perlu membantu mengajar anakanak bersikap terbuka dan menghormati sesamanya manusia sebagai ciptaan Tuhan tanpa mengira keturunan, agama dan budaya sesamanya itu. Hanya dengan cara demikian slogan yang murni tersebut dapat direalisasikan bermula dalam keluarga dan komuniti setempat.

Sebagai Umat Kristian, kita adalah warganegara Kerajaan Tuhan dan Kerajaan Malaysia. Kita hidup bagaikan garam dan cahaya membawa pengaruh yang baik kepada sekeliling kita di mana kita berada (Mat. 5:13-16).

Sama-samalah kita merelisasikan citacita murni ini, “Keluarga Malaysia Teguh Bersama.”

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-59.

“Kebahagiaan adalah Kekitaan”




Uskup Datuk Cornelius Piong

Total Comments:0

Name
Email
Comments