Jangan menambah atau mengurangi apa yang telah diperintahkan oleh Tuhan
Sebagai manusia, kita memang memerlukan suatu pegangan, adat atau kebiasaan tertentu bagi menolong kita untuk melaksanakan penghayatan hidup kita.
Aug 31, 2024
HARI MINGGU
BIASA KE-22
TAHUN B
ULANGAN 4:1-2.6-8
YAKOBUS 1:17-18.21B-22.27
INJIL MARKUS 7:1-8.14-15.21-23
Sebagai manusia, kita memang memerlukan suatu pegangan, adat atau kebiasaan tertentu bagi menolong kita untuk melaksanakan penghayatan hidup kita.
Hal ini juga berlaku dalam melaksanakan hidup keagamaan kita dengan baik. Misalnya membuat tanda salib, berdoa sebelum makan atau minum, sebelum tidur sesudah bangun, atau sebelum bekerja.
Selain itu, terdapat kewajipan untuk ke Gereja bagi menghadiri perayaan Ekaristi dan sebagainya. Ketentuan atau perintah seperti itu memang sangat penting agar hidup keagamaan kita dihayati dengan teratur.
Yesus sama sekali tidak menentang adat istiadat atau peraturan, sebab ia memang diperlukan. Apa yang ditentang Yesus ialah formalisme yang menentang suara hati dengan melakukan sesuatu yang bukan berdasarkan agama.
Dalam Injil Markus hari ini, Yesus mengingatkan kita akan adanya bahaya serius, yang dapat timbul, apabila tujuan adat, kebiasaan, ketentuan atau peraturan apa pun tidak difahami dan dilaksanakan dengan benar.
Pelaksanaan peraturan itu hanya berupa pelaksanaan lahiriah, namun hasil atau maknanya ialah kosong.
Apa yang dilakukan tidak ada hubungannya dengan hati atau batin. Ia hanya dilakukan kerana tuntutan. Itulah yang disebut formalisme dan legalisme. Adat demi adat, hukum demi hukum.
Hal hakiki, fundamental atau mendasar yang harus diperhatikan ialah adanya ketentuan, peraturan, hukum yang bersifat ilahi dan manusiawi. Perintah Tuhan harus selalu diutamakan.
Akibat mental sangat negatif yang dapat timbul dalam diri kita ialah, bahawa kita cenderung memandang dan menilai orang lain menurut adat, kebiasaan atau peraturan manusiawi belaka.
Apabila ada orang yang tidak berbuat menurut kebiasaan yang sama dengan kebiasaan kita, orang itu kita dinilai negatif.
Orang yang bukan seperti kita, dinilai kurang berbudaya, kurang beradab, sangat terbelakang. Atau dalam bidang rohani, dia dianggap kurang hidup beragama seperti seharusnya.
Kita mudah menilai sesama kita hanya dengan memperhatikan hal-hal lahiriah. Kita tidak memperhatikan batin atau hati orang tersebut. Kita tidak mengenal keyakinan dan kehendak baiknya, yang mendorong dia bersikap dan berbuat demikian.
Sikap dan cara hidup yang lebih mengutamakan pelaksanaan lahiriah adat, kebiasaan mahupun peraturan sahaja, bertentangan dengan perintah Tuhan.
Dan perintah Ilahi yang paling utama ialah perintah kasih: kasih kepada Tuhan sekaligus kepada sesama.
Tuhan menghendaki agar kita saling menghormati dan mengasihi. Jangan sampai perintah atau hukum Tuhan dilanggar kerana lebih memperhatikan dan melakukan peraturan manusia!
Kaum Farisi mahupun ahli-ahli Taurat seperti digambarkan dalam Injil Markus sekarang masih berlaku.
Ada orang-orang yang sangat berusaha taat dalam menghayati kehidupannya sebagai pengikut Kristus.
Namun kita perlu ingat, kehidupan keagamaan kita perlu sejajar dengan tindakan kita. Hidup keagamaan sebagai orang Kristian sejati bukan hanya terdiri dari hubungan kita dengan Tuhan sahaja, melainkan juga dengan sesama kita.
Hubungan kita dengan Tuhan dan sesama tidak boleh dipisahkan.
Yesus tidak menentang peraturan, adat istiadat atau hukum bagi setiap orang yang mahu hidup sebagai orang beragama.
Untuk hidup sebagai orang beragama secara benar, diperlukan kesakmaan antara apa yang kita lakukan atau lafazkan dalam agama, perlu diterjemahkan dalam bentuk lahiriah. Jangan hanya memuji Tuhan tetapi pada masa yang sama, mengutuk saudara dan saudari kita! — Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm
Total Comments:0