Jubli Harapan: Upacara ‘Recognitio’ di Basilika Sto Petrus

Pada Disember 2 lalu, kedengaran bunyi tukul dan pahat di Basilika Sto Petrus untuk memecahkan dinding bagi mengambil kotak yang mengandungi kunci yang akan membolehkan Sri Paus Fransiskus membuka Pintu Suci dan merasmikan Jubli pada malam Disember 24 nanti.

Dec 14, 2024

Kardinal Gambetti memimpin upacara recognitio di Basilikas Sto Petrus iaitu upacara mengeluarkan kotak logam yang berisi kunci Pintu Jubli. Gambar: Media Vatikan.


KOTA VATIKAN: Pada Disember 2 lalu, kedengaran bunyi tukul dan pahat di Basilika Sto Petrus untuk memecahkan dinding bagi mengambil kotak yang mengandungi kunci yang akan membolehkan Sri Paus Fransiskus membuka Pintu Suci dan merasmikan Jubli pada malam Disember 24 nanti.

Upacara yang dinamakan recognitio, meningkatkan rasa teruja menantikan pembukaan Jubli pada malam Natal.

Recognitio atau Pengiktirafan merupakan istilah Latin untuk mengesahkan bahawa Pintu Suci, yang ditutup pada penghujung Jubli terakhir, sedia untuk dibuka semula untuk Tahun Suci 2025.

Kardinal Mauro Gambetti, Paderi Agung Basilika Vatikan, memulakan upacara itu dengan doa.

Selepas berdoa, beberapa orang “sampietrini” (pekerja penyelenggaraan di Sto Petrus) membongkar dinding yang menutup Pintu Suci dari dalam Basilika dan mengeluarkan kotak logam yang disimpan di situ sejak November 20, 2016, semasa Tahun Jubli Belas Kasihan berakhir.

Di dalam kotak logam itu terdapat kunci Pintu Suci, pemegang kunci, cebisan dokumen Rogito, empat bata emas dan beberapa pingat kepausan Fransiskus, Benediktus XVI dan Yohanes Paulus II.

Upacara itu juga dihadiri oleh Uskup Agung Rino Fisichella, Pro-Prefek Dikasteri untuk Penginjilan dan Uskup Agung Diego Ravelli, Ketua Perayaan Liturgi Kepausan.

Mereka menerima dokumen dan item daripada upacara recognitio dan kemudian menyerahkannya kepada Sri Paus Fransiskus.

Upacara recognitio juga dilakukan di Basilika St John Lateran pada Disember 3, St Paul di Luar Tembok pada Disember 5 dan St Mary Major pada Disember 6. Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments