Kaamatan – pesta meraikan budaya dan semangat keperihatinan

Sekitar 700 umat Paroki St Edmund hadir bagi merayakan Pesta Menuai peringkat Paroki pada 11 Jun yang lalu.

Jun 17, 2022


KOTA BELUD: Sekitar 700 umat Paroki St Edmund hadir bagi merayakan Pesta Menuai peringkat Paroki pada 11 Jun yang lalu.

Dengan tema yang diadaptasi dari Paroki Limbahau, “Meluhuri Keaslian Alam, Menghidupi Budaya Melalui Ekaristi”, Pesta Menuai Paroki itu dianjurkan oleh komuniti umat katolik Zon Tambulion yang merangkumi umat Katolik St Dominik, Tambulion, St William, Tempasuk 1, dan St Augustine, Tempasuk 2.

Pesta tersebut bermula pada jam 9.00 pagi dengan merayakan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Ambrose Atang, paderi paroki St Edmund, Kota Belud dan dibantu oleh Fr Florian Markus.

Sesuai dengan pesta, Misa Kudus bermula dengan tarian perarakan oleh Belia dari Zon Tambulion yang diiringi dengan paluan gong dari suku Dusun Tebilung, mengiring masuk Fr Ambrose yang mengenakan kasula keemasan bermotifkan busana tradisi KadazanDusun dengan ‘sigar’ di kepala.

Kawasan altari turut dihiasi dengan rentangan kain bercorak sulaman tradisi, manakala ruang depan meja altari diletakkan seberkas padi matang, sayuran serta buah-buahan yang memperlihatkan hasil-hasil tanah.
Misa kudus tersebut dirayakan sepenuhnya dalam Bahasa Suku Dusun.

Umat yang hadir turut mengenakan pakaian tradisi dan ada diantaranya yang mengenakan baju T-shirt moden bermotifkan baju tradisi.

Dalam ucapan perasmian, Fr Ambrose menekankan bahawa perayaan Menuai atau Kaamatan itu penting untuk dirayakan dalam Gereja bagi memperlihatkan dan merayakan budaya dan semangat ‘keperihatinan’ dan ‘menjaga satu sama lain… sesama manusia dan ciptaan yang lain’.

Katanya, “menguasai ( Kej 1:26) dengan maksud yang sempurna, adalah menjaga dengan segenap hati, segenap jiwa dan segenap akal budi bangsa manusia mahupun ciptaan yang lain”… namun kepentingan diri manusia ketika ini makin lama makin kuat sehingga soal keperihatinan kepada ciptaan yang lain tidak lagi diberi keutamaan.

Harapan yang tinggal hanyalah kembali kepada Bapa, duduk dan mendengar semula amanat-Nya kepada manusia sewaktu ciptakan. ‘Duduk Bersama’ yang terbaik adalah melalui Ekarisiti’, jelas Fr Ambrose.

Selepas ucapannya, Fr Ambrose mengumumkan tuan rumah penganjuran pesta bagi tahun seterusnya iaitu Zon Timbang.

Total Comments:0

Name
Email
Comments