Kanak-kanak hargai peluang melayani dalam Misa Kudus
Kanak-kanak dari Kelas Pertemuan Minggu Gembira (PMG) di Holy Rosary Limbahau (HRL) melayani sebagai ahli koir, pewarta, pemungut kolekte dan sebagai warden pada November 17 yang lalu.
Dec 06, 2024
LIMBAHAU: Kanak-kanak dari Kelas Pertemuan Minggu Gembira (PMG) di Holy Rosary Limbahau (HRL) melayani sebagai ahli koir, pewarta, pemungut kolekte dan sebagai warden pada November 17 yang lalu.
Misa Kudus Hari Minggu Biasa ke-33 itu dipimpin oleh pembantu paderi paroki HRL, Fr Joshua Liew.
Dalam homilinya, Fr Joshua menerangkan bahawa beberapa minggu ini, pembacaan Injil pada hari Minggu mengajak umat merenung ajaran tentang akhirat.
Pada pembacaan sebelumnya, Yesus telah memberi peringatan bahawa menjadi murid-murid-Nya akan menghadapi pelbagai cabaran. Namun Berita Baiknya ialah, Yesus sentiasa bersama dengan kita hingga akhir zaman.
Menurut Fr Joshua, Injil pada hari tersebut mengajak kita untuk membaca tanda-tanda kedatangan Yesus yang semakin dekat.
Yesus juga mengajar tidak ada seorang pun tahu bila akhirat itu tiba kecuali Bapa di syurga.
“ Yesus bukan mahu menakutnakutkan tentang akhirat sebaliknya Dia mahu kita bersedia untuk menghadapi perubahan-perubahan yang kita akan alami dalam hidup kita.
“Tidak ada sesiapa yang terkecuali dalam mengalami perubahan. Misalnya ada adik-adik yang akan menerima Komuni Suci buat pertama kalinya pada Hari Minggu Kristus Raja. Hidup rohani mereka telah berubah! Dari zaman kanak-kanak menuju kedewasaan.”
“Antara perubahan yang dialami oleh kanak-kanak ialah mereka tidak selamanya berada di sekolah rendah, tetapi akan ke sekolah menengah seterusnya ke peringkat yang lain. Oleh itu, sentiasa hargai masa yang diberikan Tuhan oleh kita.”
Tegasnya, “Dalam setiap perubahan, ada satu yang tidak berubah iaitu kasih Tuhan! Kasih-Nya tetap kekal dan abadi untuk kita selamalamanya,” kata Fr Joshua.
Total Comments:0