Kanak-kanak Myanmar kehilangan impian, lebih 13,000 sekolah ditutup akibat perang
Masyarakat di Myanmar menyatakan kekecewaan mereka kerana lebih dari seperempat sekolah di negara tersebut ditutup akibat konflik yang masih berterusan, menyebabkan puluhan ribu kanak-kanak tidak memiliki peluang pendidikan, lapor Radio Free Asia (RFA) pada Julai 8 lalu.
Jul 20, 2024
YANGON: Masyarakat di Myanmar menyatakan kekecewaan mereka kerana lebih dari seperempat sekolah di negara tersebut ditutup akibat konflik yang masih berterusan, menyebabkan puluhan ribu kanak-kanak tidak memiliki peluang pendidikan, lapor Radio Free Asia (RFA) pada Julai 8 lalu.
Sekitar 13,700 dari 48,753 sekolah di Myanmar telah ditutup akibat perang di negara tersebut.
“Kanak-kanak di Myanmar telah kehilangan impian mereka. Potensi mereka untuk menjadi warganegara yang cemerlang sedang dimusnahkan,” kata U Htay, seorang penduduk desa Ma Taw, di Mingin Sagaing, kepada RFA.
Junta tentera Myanmar telah merampas kuasa dengan menggulingkan kerajaan Liga Kebangsaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi. Rampasan kuasa itu telah mencetuskan kecaman antarabangsa.
Tentera junta sering menyasarkan rumah orang awam, bangunan , termasuk sekolah dan Gereja, semasa atau selepas bertempur dengan penunjuk perasaan serta pejuang demokrasi.
Kebanyakan sekolah masih dibuka di ibu kota komersial Yangon dan wilayah Ayeyarwady yang berdekatan.
“Tetapi sekolah-sekolah itu juga telah menjadi sasaran serangan udara junta,” kata Sai Khine Myo Tun, timbalan menteri pendidikan.
Sekolah-sekolah di Myanmar ditutup selama 532 hari antara Februari 2020 dan 2022, menjadikannya negara dengan penutupan sekolah terlama di kawasan Asia Timur dan Pasifik (EAP).
Rejim junta telah mengarahkan pembukaan kembali sekolah pada November 2021, namun hampir 30 peratus tenaga pengajar bergabung dengan gerakan membantah kerajaan junta sehingga mereka diberhentikan dan menyebabkan sekolah ditutup kerana ketiadaan guru.
World Bank Group mencatatkan jumlah kanak-kanak berusia enam hingga 22 tahun yang bersekolah di Myanmar menurun dari 69.2 peratus pada tahun 2017 menjadi 56.8 peratus pada tahun 2023, — ucanews.com
Total Comments:0