Kanak-kanak pimpin doa rosari, berdoa untuk karya-karya misi

Dewan Kepausan Kanak-kanak Suci di bawah Persatuan-Persatuan Misi Pontifikal untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, telah menganjurkan Saat Teduh Ekaristi Kanak-kanak Sedunia ke-19 pada 1 Oktober lalu.

Oct 09, 2021

KUCHING: Dewan Kepausan Kanak-kanak Suci di bawah Persatuan-Persatuan Misi Pontifikal untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, telah menganjurkan Saat Teduh Ekaristi Kanak-kanak Sedunia ke-19 pada 1 Oktober lalu. Ia disiarkan secara langsung dari Katedral St Joseph, Kuching. Acara ini merupakan kali kedua dirayakan dalam talian kerana pandemik Covid-19.

Saat Teduh Kanak-kanak ini dianjurkan sempena bulan Oktober, yang dikhaskan untuk karya-karya misi dan devosi rosari. Kemuncak perayaan ialah pada 24 Oktober, yang memperingati dan mendoakan para misionari di seluruh dunia.

Sebagai Presiden Episcopal untuk Persatuan-persatuan Misi Kepausan untuk Malaysia-Singapura-Brunei, Uskup Metropolitan Kuching, Uskup Agung Simon Poh, bersama dengan para direktur Pontifical Societies Keuskupan, mengalu-alukan semua anakanak yang mengikuti Saat Teduh dalam talian.

SOP melarang anak-anak kecil berada di dalam Gereja, jadi kanak-kanak dari pelbagai keuskupan di Malaysia dan Brunei merakam video di mana mereka memimpin Rosari Misi dalam bahasa masing-masing misalnya bahasa Iban, Tagalog, Kadazan, Murut, Melanau, Kantonis di samping Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Fr Galvin Richard Ngumbang, Fr Benard Jim Bujang dan Diakon Mark Bonchol membacakan lima Misterium Cahaya diikuti doa Bapa Kami, Salam Maria dan Kemuliaan dari pelbagai Paroki di Malaysia dan Brunei.

Uskup Agung Simon Poh menyatakan bahawa dalam Bulan Misi ini, “kita merenungkan kehidupan Yesus yang dimulai dengan Pembaptisan-Nya, mukjizat pertama-Nya di Kana, pewartaan-pewartaan Yesus tentang Khabar Gembira, Transfigurasi dan Perjamuan Terakhir, di mana Dia menyatakan cinta-Nya sebelum wafat di kayu Salib.” Kata Uskup Agung Simon, “Semasa berdoa Rosari di hadapan Sakramen Mahakudus, renungkanlah kehidupan Yesus kerana Dia sungguh Hidup!”

Selain berdoa rosari, doa kepada St Jacinta dan St Francisco, serta doa untuk kedamaian dan kepercayaan juga dibacakan. Pada akhir Saat Teduh, Uskup Agung Simon mengajak kanak-kanak agar mengambil bahagian dalam projek ‘Children Helping Children’ iaitu menyumbang dan sumbangan itu akan dihantar oleh Paderi Paroki ke Roma bagi kegunaan kegiatan-kegiatan misionari di seluruh dunia.

Total Comments:0

Name
Email
Comments