Kanak-kanak sebagai agen damai
“Berdamai adalah perkara yang paling indah dalam hidup dan kita mesti belajar untuk berdamai di rumah, apabila kita bergaduh, dengan adik-beradik kita.
Jul 26, 2024

VATIKAN: “Berdamai adalah perkara yang paling indah dalam hidup dan kita mesti belajar untuk berdamai di rumah, apabila kita bergaduh, dengan adik-beradik kita. Jangan sekali-kali tidur tanpa berdamai! Jangan sesekali tidur dengan semangat perang” seru Sri Paus Fransiskus semasa melawat Kem Musim Panas Kanak-Kanak yang dianjurkan di Vatikan, Julai 18 lalu.
Sri Paus Fransiskus mengunjungi kanakkanak berusia lima hingga 13 tahun, yang mengambil bahagian dalam kem musim panas tahunan Vatikan pada pagi Khamis, sambil menjawab soalan mereka dan melepaskan belon terbiodegradasi ke langit.
Kem tahunan yang kali keempat itu dihadiri oleh anak-anak pekerja Vatikan berlangsung di sebuah pusat yang baru dibina dengan kemudahan sukan dan kolam renang, yang didedikasikan untuk Sto Yosef.
Sri Paus menjawab beberapa soalan dan komen kanak-kanak serta bercakap tentang kepentingan mempunyai hubungan keluarga yang baik, termasuk dengan datuk dan nenek.
Bapa Suci juga menggesa kanak-kanak agar bekerja untuk keamanan, kerana mempromosikan keamanan “adalah perkara paling indah dalam hidup.”
Salah seorang kanak-kanak, Paolo bertanya kepada Bapa Suci, “Siapa wira Bapa Suci semasa anda kecil?” Fransiskus segera menjawab, “Ibu bapa saya!”
Kemudian Bapa Suci berkongsi beberapa kenangan zaman kanak-kanaknya di Argentina. “Ibu dan ayah mengajar saya dan adik beradik saya akan sesuatu. Mereka hebat!” tegasnya.
Sentiasa luangkan masa dengan datuk dan nenek
Topik datuk dan nenek diajukan oleh peserta kem yang lain, Matilde yang mencetuskan kenangan musim panas Sri Paus bersama datuk nenek, bapa dan ibu yang merupakan saat-saat gembira bagi beliau.
Sangti Papa kemudiannya bertanya kepada Matilde dan rakan-rakannya,“Apa pendapat anda tentang datuk dan nenek?”
“Mereka membawa kegembiraan ... Datuk dan nenek membantu kami membuat keputusan ...” demikian antara jawaban kanakkanak tersebut.
“Betul,” kata Sri Paus sambil menambah, “anda mesti rapat dengan datuk dan nenek anda, okay?”
Tahun Jubli
Soalan terakhir, diajukan oleh Michele menyentuh mengenai Tahun Jubli yang akan datang, “Bagaimanakah kita orang muda boleh bersedia untuk Jubli?”
Sri Paus menjawab, “Jubli berasal dari perkataan kegembiraan dan kegembiraan adalah sukacita.
“Oleh itu, kita harus sentiasa bersedia dengan kegembiraan. Kegembiraan ini adalah berbeza daripada “keseronokan,” yang tidak selalunya merupakan perkara yang “baik”.
Sebelum pertemuan dengan Bapa Suci berakhir, seorang kanak-kanak perempuan bernama Alice membaca surat bagi pihak seluruh peserta kem musim panas, yang sepakat mengatakan ia merupakan “pengalaman yang luar biasa.”
Pertemuan itu diakhiri dengan doa seketika, diikuti dengan pelepasan belon getah semula jadi terbiodegradasi pelbagai warna, termasuk yang berwarna putih untuk Bapa Suci, yang mempunyai cetakan “Kepadamu, anak perempuan dan lelaki yang dikasihi: kamu berharga di mata Tuhan.” — media Vatikan
Total Comments:0