Kardinal Malaysia umum proses beatifikasi, kanonisasi Sybil Kathigasu

Kardinal Sebastian Francis, menggesa beatifikasi dan kanonisasi Sybil Kathigasu, seorang wirawati dan martir awam yang melindungi maklumat, menempatkan serta merawat anggota anti-Jepun.

Jul 13, 2024

Sybil Kathigasu, wirawati pertama dan satusatunya wanita Malaya yang menerima Pingat George kerana keberaniannya.


PULAU PINANG: Kardinal Sebastian Francis, menggesa beatifikasi dan kanonisasi Sybil Kathigasu, seorang wirawati dan martir awam yang melindungi maklumat, menempatkan serta merawat anggota anti-Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu dalam Perang Dunia II, Sybil — seorang isteri, ibu kepada tiga orang anak, jururawat dan penganut Katolik yang taat — telah dipenjarakan, dipukul hampir mati dan dibiarkan lumpuh kerana merawat seorang pejuang gerila anti-Jepun yang terluka akibat tembakan.

Melalui notis pemberitahuan terbaharu keuskupan Pulau Pinang yang diterbitkan pada hari Julai 1, 2024, Kardinal Francis berkata selepas berbincang dan menerima restu daripada Uskup Agung Kuala Lumpur, Julian Leow mengenai perkara itu, Kardinal Sebastian telah melantik Fr Eugene Benedict dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur untuk membantu proses awal.

“Saya melihat ini sebagai peluang untuk membawa kita bersama dan untuk kita merenung kehidupan Sybil sebagai orang yang beriman.

“Saya berharap kita akan mengambil perjuangan Sybil sebagai contoh dan inspirasi untuk hidup berpandukan Injil. Proses ini akan dilakukan dengna teliti dengan meninjau semula, mencari inspirasi untuk masa kini melalui kehidupan Sybil,” katanya.

Sybil adalah seorang jururawat kelahiran Indonesia yang menjalankan klinik percuma di Papan, Perak, bersama suaminya Dr Abdon Clement Kathigasu, semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Seorang wanita yang berpendidikan tinggi, dia fasih berbahasa Kantonis, yang membolehkannya berkomunikasi dengan gerila anti-Jepun. Bagaimanapun, dia telah ditangkap pada Ogos 1943 oleh polis rahsia Jepun.

Sybil enggan memberikan maklumat tentang pejuang anti-Jepun meskipun diseksa dengan kejam. Sybil hanya dapat dibebaskan ketika Jepun menyerah kalah pada tahun 1945.

Pada Jun 12, 1948, pada usia 49 tahun, Kathigasu meninggal dunia akibat sepsis — jangkitan kuman pada darah di rahangnya.

Dia dikebumikan di Scotland tetapi jenazahnya dikembalikan ke Ipoh setahun kemudian, dan dia dikebumikan semula di Gereja St Michael.

Sybil kekal sebagai satu-satunya wanita Malaya yang menerima Pingat George, penghormatan awam kedua tertinggi di UK untuk keberanian, yang dianugerahkan oleh Raja George VI di Istana Buckingham. -- CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments