Katedral St John rayakan Hari Orang Miskin Sedunia

Sri Paus Fransiskus semasa menyampaikan ucapannya di Assisi sempena Hari Orang Miskin Sedunia berkata, “Setiap daripada kita memerlukan orang lain, dan meskipun dalam keadaan lemah, jika dialami bersama, boleh menjadi kekuatan yang akan menjadikan dunia lebih baik.”

Nov 20, 2021

KUALA LUMPUR: Sri Paus Fransiskus semasa menyampaikan ucapannya di Assisi sempena Hari Orang Miskin Sedunia berkata, “Setiap daripada kita memerlukan orang lain, dan meskipun dalam keadaan lemah, jika dialami bersama, boleh menjadi kekuatan yang akan menjadikan dunia lebih baik.”

“Kita tidak menghadapi kesukaran bersendirian tetapi bersama-sama, dan hanya dengan bersama-sama, kita dapat mengatasinya, tanpa menyerah kepada godaan untuk berputus asa dan jatuh ke dalam kesunyian atau kesedihan.

Bapa Suci mendorong kita untuk, “Tahu bagaimana untuk berpuas hati dengan apa yang kita miliki dan berkongsi dengan orang lain,” juga adalah motivasi penting bagi kita untuk terus melakukan kehendakNya, melayani orang miskin dan dengan perbuatan-perbuatan kecil ini diharapkan membawa perubahan baik.

Inilah yang cuba diusahakan oleh Komiti Pembangunan Insan Integral Paroki (PIHD) Katedral St John.

Mary Teoh, penyelaras baharu PIHD, telah mengumpul 25 pek makanan daripada Persatuan Makanan Percuma (FFS).

Pasukan PIHD kemudiannya mengisi bungkusan keperluan harian dari FFS kepada mereka yang memerlukan. Bungkusan itu diisi dengan pelbagai barangan yang disumbangkan oleh ahli-ahli KED yang bermurah hati.

Ramai yang membantu semasa proses pengagihan bungkusan keperluan. Beberapa pek bungkusan telah dihantar oleh ahli KED yang tinggal berhampiran dengan orang-orang yang memerlukan.

Bagi mereka yang tidak dapat datang ke Katedral, bungkusan telah dihantar kepada mereka.

Pada pagi yang sama, tidak terlalu jauh dari Katedral, tim Project Handyman, di bawah naungan PIHD, turut membantu. Rich Kavanaugh, yang memulakan Project Handyman dan Theresia, wakil PIHD, bersama-sama sukarelawan dari komuniti Amerika dan Myanmar, dan sukarelawan lain, membantu penghuni Rumah Harapan Samaritan ke lokasi yang lebih besar dan lebih baik.

Total Comments:0

Name
Email
Comments