Katolik China beri kesaksian tentang iman dan belas kasihan

Universiti Kepausan Urban di Roma menganjurkan persidangan pada Mei 21 lalu untuk merayakan ulang tahun ke- 100 Concilium Sinense, satu-satunya Majlis Gereja Katolik China, yang ditubuhkan serta pernah diadakan di Shanghai pada Mei dan Jun 1924.

May 31, 2024

Pesan Sri Paus Fransiskus disiarkan semasa ulang tahun ke-100 Concilium Sinense,


ROMA:
Universiti Kepausan Urban di Roma menganjurkan persidangan pada Mei 21 lalu untuk merayakan ulang tahun ke- 100 Concilium Sinense, satu-satunya Majlis Gereja Katolik China, yang ditubuhkan serta pernah diadakan di Shanghai pada Mei dan Jun 1924.

Sri Paus Fransiskus menghantar pesan video kepada para peserta yang menghadiri acara itu dan menyatakan bahawa ulang tahun adalah “majlis yang berharga untuk banyak sebab.”

Prelatus itu menegaskan bahawa Majlis Sinense menandakan satu langkah penting ke hadapan bagi Gereja Katolik di China.

“Roh Kudus menyatukan mereka, mengizinkan keharmonian bertumbuh di antara mereka, memimpin mereka di sepanjang jalan yang tidak diduga oleh kebanyakan mereka bahkan mengatasi kebingungan dan pertentangan.”

Pada awal penubuhannya, ramai yang menentang idea membenarkan paderi dan uskup kelahiran China memimpin keuskupan.

Walau bagaimanapun, mereka bersetuju bahawa Gereja di China harus mempunyai “wajah China” kerana pewartaan keselamatan Kristus hanya boleh mencapai setiap komuniti manusia dan setiap orang jika ia bercakap dalam ‘bahasa ibunda’ mereka.”

Bapa Suci Fransiskus turut mengimbau kembali sumbangan penting Uskup Agung Celso Costantini, Delegasi Kerasulan Pertama ke China, yang diamanahkan oleh Sri Paus Pius XI untuk mengatur Majlis.

Usaha Uskup Agung Costantini membolehkan persekutuan antara Takhta Suci dan Gereja di China memanifestasikan “buahbuahan yang baik untuk semua orang China.”

Majlis Sinense, kata Paus, “bukan soal ‘mengubah strategi’, tetapi mengikuti jalan yang paling sesuai dengan sifat Gereja dan misinya.”

Para peserta percaya pada rahmat Kristus, dan pandangan mereka ke arah masa depan telah menjadi masa kini Gereja moden. Menghargai karya-karya Concilium Sinense, Sri Paus Fransiskus berkata umat Katolik China, dalam persekutuan dengan Uskup Roma, berjalan pada masa sekarang.

Bapa Suci menyeru ahli-ahli majlis ini untuk memberi kesaksian tentang iman melalui perbuatan belas kasihan dan amal, dengan itu menyumbang kepada “keharmonian hidup bersama dalam komuniti.” — media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments