Kaum muda bangkitlah!

Persiapan rohani penganjur SYD-6

May 31, 2024


KENINGAU:
Persiapan Rohani Penganjur SYD-6 yang pertama telah diadakan di Rumah Retret Keuskupan Keningau Tatal (RRKKT).

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula Mei 10 - 12 lalu. Seramai 162 orang penganjur dari tiga Keuskupan/Agung di Sabah.

Turut hadir ialah para paderi rohani belia Keuskupan iaitu Fr Ronnie Luni (Keningau), Fr Wiandigool Runsab (Kota Kinabalu) Fr Isidore Gilbert selaku pembimbing Rohani SYD- 6, Friar Gerald Terence OFM (Kota Kinabalu), Roney Alfred Eming (Ko-ordinator SYD-6), Sr Noemi Mejia FSIC (Timbalan Ko-ordinator SYD-6), Sr Dora Obod FSIC dan beberapa religius.

Objektif utama SYD-6 yang dijelaskan dalam persiapan rohani adalah agar para penganjur dapat menyedari, menghargai, menerima diri sebagai ciptaan Tuhan yang indah (Ini Aku), merayakan sukacita dengan penuh sukacita dan syukur (PENUHI AKU) dan bangkit dengan penuh semangat untuk pergi meneruskan misi Kristus (UTUSLAH AKU).

Fr Ronnie Luni dalam homilinya semasa Misa Kudus pembukaan, menyatakan setiap belia yang hadir pada persiapan itu, sangat rindu untuk bertemu dengan sesama serta mahu bangkit untuk bergiat aktif semula dalam program belia khususnya acara SYD-6 pada bulan September kelak — menjadikan persiapan itu sebuah ‘Pertemuan yang indah’.

Hari kedua, dimulakan dengan Misa Kudus. Fr Isidore Gilbert berpesan kepada para belia agar menerima bahawa kita semua adalah peribadi yang berbeza dan unik, namun kita semua tetap satu, kerana kita semua adalah milik Tuhan.

Selepas Misa, Dennis Patrick membawa para penganjur untuk mengenali keperibadian masing-masing dan orang lain agar lebih mudah untuk menerima kekuatan serta kelemahan masing-masing.

Sesi berikutnya oleh Friar Gerald Terence menjelaskan tentang walaupun terdapat perbezaan dalam expectation vs realiti peribadi namun ia adalah kebebasan kita untuk memilih sesuatu yang membawa sukacita kepada kita.

Bagaimana untuk bermula agar saling menerima peribadi sendiri dan orang lain? Mulakan dengan 'kerendahan hati', ujar Alex Paulus.

Oleh kerana kita ini milik Tuhan, kita seharusnya melakukan kehendak Tuhan dengan penuh cintakasih agar kita dapat berdamai dengan diri sendiri dan sesama.

Maka, pada malam “Celebration of Light”, para penganjur diajak untuk berdamai dengan diri sendiri dan sesama.

Sungguh mengharukan ketika Friar Gerald Terence mengatakan “hari ini anda menangis setelah berdamai dengan diri sendiri dan sesama. Namun sebenarnya anda semua telah membuatkan saya menangis.”

Pada hari ketiga, Misa perutusan untuk persiapan rohani SYD-6, dipimpin oleh Msgr Gilbert Lasius.

Dalam homilinya, Msgr Gilbert mengajak belia untuk belajar cinta kasih Tuhan kerana Dia sentiasa menyatukan kita bersama.

Pada hari itu juga, Mei 12, beberapa peristiwa penting berlaku seperti Hari Jururawat, Hari Ibu dan Hari Komunikasi Sedunia-58 diraikan dalam Misa.

Ini mengingatkan para penganjur agar sentiasa aktif dan bekerjasama dengan komiti lain dalam menyebarkan cinta kasih Tuhan.

Selesai Misa, para penganjur kembali berkumpul bersama TIM MOT, SUBMOT, LOT, SUBLOT, dan Tugas Khas, untuk membincangkan persiapan SYD-6.

Selepas perbincangan berakhir, Friar Gerald Terence menutup tirai dengan satu ayat renungan ini, “Bagaimana untuk menyebarkan Cinta Kasih Tuhan?” Friar Gerald mengatakan, “Lakukan ia melalui teladan kepada Bonda Maria!”

Total Comments:0

Name
Email
Comments