‘Kebutaan’ yang menyebabkan kita tidak dapat melihat sukacita Paskah
Pada pertengahan usia 20-an, saya menghabiskan setahun belajar di Universiti San Francisco. Saya baharu sahaja ditahbiskan sebagai paderi dan sedang menamatkan ijazah sarjana dalam teologi.
May 04, 2025

Pada pertengahan usia 20-an, saya menghabiskan setahun belajar di Universiti San Francisco. Saya baharu sahaja ditahbiskan sebagai paderi dan sedang menamatkan ijazah sarjana dalam teologi.
Pada Hari Minggu Paskah tahun itu, musim bunga sedang bersemi. Suasana amat cantik dan matahari bersinar cerah, tetapi ia tidak memberikan keceriaan dalam hati saya.
Saya jauh dari rumah, jauh dari keluarga dan komuniti saya, merindui kampung halaman dan sendirian di kota besar itu.
Hampir semua rakan pengajian saya pada ketika itu dan pelajar siswazah dari kelas lain, telah pulang meraikan Paskah bersama keluarga mereka.
Kerinduan dan kesunyian saya pada ketika itu begitu menusuk, apatah lagi saya masih muda pada ketika itu. Perasaan saya tidak dapat diubah oleh keindahan musim bunga dan sukacita Paskah.
Saya pergi bersiar-siar petang itu namun udara musim bunga, matahari dan Paskah tidak sedikit pun dapat menghiburkan saya atau membantu mengurangi rasa sunyi dalam diri saya.
Tetapi ada cara yang berbeza untuk keluar daripada perasaan yang membungkam ini. Leonard Cohen pernah menulis bahawa dalam keretakan, cahaya matahari dapat menyelinap masuk.
Ketika itu, saya memerlukan sedikit kebangkitan untuk keluar daripada perasaan sedih dan akhirnya saya mendapatnya. Di pintu masuk sebuah taman, saya melihat seorang pengemis buta duduk dengan tanda kadbod di hadapannya yang bertulis: Sekarang ialah musim bunga dan saya buta!
Ironinya, saya tidak buta tetapi bagaikan buta seperti pengemis itu! Ketika itu, meskipun pada hari Paskah, persaan saya bagaikan merayakan Jumaat Agung, yang dingin, pilu dan kehujanan.
Matahari bercahaya indah, musim bunga dan Paskah telah saya sia-siakan pada hari itu. Namun akhirnya, momen itu menjadi berkat dan saya selalu mengenang pertemuan dengan pengemis itu kerana ia menyedarkan saya sesuatu.
Saya masih ingat, pada ketika itu, selepas berjalan, saya pulang ke rumah untuk makan malam. Pada tahun itu, saya merupakan seorang penaung bagi sebuah biara yang mempunyai asrama belia berdekatan namun peraturan pada ketika itu mewajibkan penaung harus makan sendirian di ruang makan peribadi yang dikhaskan.
Jadi, walaupun ia menambahkan lagi kesedihan dan kesunyian, saya tetap makan malam sendirian pada petang Paskah tersebut.
Semangat kebangkitan saya rasai pada Hari Minggu Paskah meskipun agak lewat. Ini terjadi apabila saya dan dua orang pelajar siswazah lain membuat rancangan untuk bertemu di laut pada waktu malam, untuk menyalakan api dan meraikan versi peribadi Vigil Paskah.
Jadi, sebelum gelap, saya menaiki bas untuk ke laut agar dapat bertemu dengan kawan-kawan saya (seorang biarawati dan paderi).
Kami menyalakan api unggun yang besar (masih dibenarkan pada masa itu), duduk mengelilingi unggun api selama beberapa jam, dan akhirnya mengaku satu sama lain bahawa kami masing-masing mempunyai Paskah yang menyedihkan.
Unggun api itu telah memberikan kami berkat seperti dalam upacara Vigil Paskah, ia telah memutuskan rantaian kegelisahan dan kesedihan yang membutakan mata kami untuk melihat terhadap segala yang indah di luar diri kita sendiri.
Ketika kami melihat unggun api dan bercakap tentang semua perasaan sedih, perasaan saya mulai beralih, kegelisahan saya menjadi tenang dan beban berat yang dirasai, mulai ringan. Saya mula merasakan musim bunga dan Paskah.
Dalam Injil Yohanes tentang kebangkitan, dia menceritakan kisah bagaimana pada pagi Paskah pertama, murid-murid yang dikasihi berjalan ke kubur di mana Yesus telah dikebumikan dan melihat ke dalamnya.
Dia melihatnya kosong dan semua yang tersisa hanyalah pakaian yang membaluti jenazah Yesus telah kemas dilipat.
Tetapi kerana dia seorang murid yang melihat dengan mata cinta, dia memahami apa maksudnya: Dia memahami realiti kebangkitan dan tahu bahawa Yesus telah bangkit. Dia melihat musim bunga. Dia faham dengan matanya.
Hugo dari St Victor pernah berkata: Cinta berpunca daripada mata. Apabila kita melihat dengan cinta kita bukan sahaja melihat lurus dan jelas, kita juga melihat kedalaman dan makna. Sebaliknya juga benar.
Ini adalah penerangan yang baik bahawa selepas Yesus bangkit dari orang mati, ada yang dapat melihat-Nya dan ada orang lain yang tidak dapat melihat-Nya. Cinta berpunca daripada mata.
Mereka yang mencari kehidupan melalui mata cinta, seperti Maria dari Magdala mencari Yesus di taman pada pagi Hari Minggu Paskah, melihat musim bunga dan Kebangkitan. Lain-lain mata, seperti kami, buta untuk melihat musim bunga!
Ketika saya bersiar-siar pada petang Paskah beberapa tahun lalu di San Francisco, saya bukanlah seperti Maria dari Magdala yang mencari Yesus di taman, ataupun seperti murid Yang Dikasihi yang berlari atas dorongan cinta untuk melihat ke dalam makam Yesus.
Pada ketika itu, saya masih muda dan cepat diserang rasa gelisah serta sedih. Kebanyakan masa, saya hanya mencari diri saya sendiri dan menyedari saya selalu berasa cemas..
Dan itulah kebutaan. Apabila kita terperangkap dalam diri sendiri, kita buta, buta untuk melihat keindahan musim bunga dan kemuliaan kebangkitan.
Saya belajar daripada pengalaman itu, bukan dalam Gereja atau kelas tetapi pada Hari Minggu Paskah yang sepi dan gelisah di San Francisco ketika saya terlihat seorang pengemis buta dan kemudian pulang ke rumah dan makan malam Paskah bersendirian. Hakcipta Terpelihara 1999-2025 @ Fr Ron Rolheiser
Total Comments:0