Kem Rohani Tawau perkasakan remaja tangani cabaran zaman moden

Kem Rohani 2024 baru-baru ini bukan sahaja menyediakan sesi-sesi yang memantapkan iman tetapi turut menyuntik semangat penginjil dalam kalangan peserta apabila mereka dihantar ke beberapa chapel di bawah jagaan Holy Trinity Tawau.

Nov 02, 2024


TAWAU:
Kem Rohani 2024 baru-baru ini bukan sahaja menyediakan sesi-sesi yang memantapkan iman tetapi turut menyuntik semangat penginjil dalam kalangan peserta apabila mereka dihantar ke beberapa chapel di bawah jagaan Holy Trinity Tawau.

Pertemuan Minggu Gembira (PMG) Gereja Katolik Holy Trinity telah menganjurkan Kem Rohani baru-baru ini yang disertai 258 peserta, berusia antara 12 hingga 17 tahun. Para peserta tersebut merupakan pelajar Komuni Pertama, Pra Penguatan dan Penguatan sesi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Objektif utama penganjuran kem ini adalah untuk menyedarkan para peserta kepentingan menghayati Sabda Tuhan dalam kehidupan harian. Selain itu, para peserta juga belajar dan meneladani iman Bonda Maria yang hidup dalam kekudusan. Pada masa yang sama, para penganjur berharap agar penganjuran kem itu mampu melahirkan belia Katolik yang berani bersaksi sekali gus menjadi pengikut Kristus yang sejati pada masa ini.

Pada hari pertama, melalui sesi “ice breaking”, para peserta saling berkenalan dan berbual mesra dengan sesama. Kemudian, Tim Doa Kelompok Bahasa Melayu mengetuai sesi “Malam Puji-Pujian.”

Koordinator Kem Rohani PMG 2024, Sdri Rolina Kinupal menyampaikan pengenalan kem rohani itu secara ringkas.

Program hari kedua bermula dengan doa. Selepas sarapan, para peserta mengikuti sesi pertama oleh Fr David Garaman, bertajuk, “Firman, Doa dan Iman”.

Semasa sesi jangkauan stasi luar, para peserta telah dibahagikan kepada tiga kumpulan yang dihantar ke tiga lokasi.

Pelajar kelas Komuni melawat Chapel St Nicholas, Sin Onn manakala para pelajar kelas pra-Penguatan mengunjungi Chapel St. Stephen, Tass. Para pelajar Penguatan pula melawat Chapel St, Paul, Balung.

Sebanyak empat buah bas dan beberapa buah kenderaan persendirian lain telah digunakan untuk membawa para peserta ke destinasi masing-masing.

Setibanya di destinasi, para peserta memimpin doa pembukaan dan lagu pujian tatkala katekis pembimbing menyampaikan katekesis tentang “Mengenali Bonda Maria sebagai Ibu dalam Kehidupan Kita”. Para peserta juga diajar membuat seutas rosari.

Selepas makan tengah hari dan rehat, program diteruskan dengan sesi “Speak up”. Sebelum kembali ke Tawau, para peserta berdoa rosari bersama umat tempatan.

Pada sebelah malam, ibu bapa turut menyertai anak-anak mereka untuk sesi Rekonsiliasi. Acara ini dilakukan dengan upacara “pembasuhan kaki” yang menyentuh ramai keluarga. Selepas anak-anak membasuh kaki ibu bapa mereka, setiap keluarga berdoa bersama di bawah Salib Yesus .

Sr Mary How FSIC, pada hari terakhir kem, menyampaikan katekesis tentang seorang kudus remaja iaitu Carlos Acutis. Carlos, 15, meninggal dunia pada tahun 2006 kerana penyakit leukemia, merupakan pendevosi taat kepada Bonda Maria dan Ekaristi.

Kemudian, para peserta menghadiri perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Fr. Nicholas Ong.

Selepas Misa, para peserta kembali ke dewan untuk makan tengah hari seterusnya menjalani sesi terakhir, “Dunia Hari Ini” oleh Sdra Antoine.

Sebagai penutup, para peserta menonton video ringkas tentang aktiviti-aktiviti yang berlaku sepanjang kem rohani tersebut yang disediakan oleh Sdri Ernestina. --SOCCOM Tawau

Total Comments:0

Name
Email
Comments