KEMBARA III, menghapus prejudis terhadap kaum migran
“Prasangka terhadap pendatang dalam diri saya sangat tebal sebelum saya menyertai program ini. Entah bagaimana saya terdorong untuk melayani dalam komiti ini.
Dec 14, 2024

BUNDU TUHAN, Sabah: “Prasangka terhadap pendatang dalam diri saya sangat tebal sebelum saya menyertai program ini. Entah bagaimana saya terdorong untuk melayani dalam komiti ini.
“Tetapi sekarang, saya boleh mengatakan bahawa perasaan negatif saya terhadap komuniti migran semakin berkurangan. Program ini membantu saya untuk menerima mereka kerana mereka juga dicipta oleh Tuhan dan bermartabat sama seperti kita,” demikian antara laporan semasa penggulungan Perbualan Rohani program KEMBARA III, pada November 22-24 lalu di Pusat Retret Bundu Tuhan.
Hasil seperti itulah yang sangat diingini daripada program pembentukan yang dianjurkan oleh Komisi Pelayanan Migran dan Orang yang Berpindah Randah Keuskupan Agung Kota Kinabalu (ACMI).
KEMBARA III mengambil tema Hari Minggu Migran, “Tuhan berjalan bersama umat-Nya”, menghimpunkan 68 peserta dari paroki di bawah naungan Keuskupan Agung Kota Kinabalu, yang terlibat dalam pelayanan pastoral migran paroki.
Program bermula pada petang November 22 dengan Misa yang dipimpin oleh Fr Ambrose Atang, Penasihat Rohani bagi ACMI.
Uskup Agung John Wong turut mengirimkan pesan melalui klip video untuk menyampaikan kata-kata semangat kepada para peserta. Ini diikuti dengan pengenalan dan orientasi program. Pada keesokan harinya, program memfokuskan pada Perbualan Roh dalam kumpulan. Sebelum itu, Fr Ambrose menyampaikan sesi “Tuhan berjalan bersama umat-Nya” dan Sdra Dominic Lim, Ko-ordinator ACMI KK, menyampaikan dokumen Sri Paus Fransiskus, “Fratelli Tutti”.
Dalam Perbualan Roh yang diperkenalkan buat pertama kali dalam program KEMBARA, beberapa peserta mendapati sesi tersebut telah membantu mereka untuk lebih menghargai pelayanan yang melibatkan kaum migran.
Para peserta juga merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk mempromosi pelayanan pastoral komiti migran ini kepada orang ramai bagi menghapus prasangka dan membantu golongan migran.
Pada hari terakhir KEMBARA III, para peserta diberikan maklumat daripada tiga panel penceramah,
Sr Imelda dari Sister Gembala Baik yang menjelaskan tentang Migrant Desk, Sr Anita James, Pengarah CARITAS Kota Kinabalu yang berkongsi tentang misi CARITAS, dan Peter Zeter, Naib Pengerusi Komisi Episkopal untuk Pelayanan Pastoral Migran dan Orang yang Berpindah Randah, Malaysia, Singapura dan Brunei (ECMI), berbicara tentang “networking”. KEMBARA III diakhiri dengan sesi Soal Jawab.
Total Comments:0