Kepercayaan ilusi yang menghalang kita daripada berkembang
Salah satu tragedi besar dalam semua kesusasteraan kisah alkitabiah ialah Saul. Tragedi Saul lebih dahsyat daripada Hamlet.
Aug 02, 2024
Salah satu tragedi besar dalam semua kesusasteraan kisah alkitabiah ialah Saul. Tragedi Saul lebih dahsyat daripada Hamlet.
Hamlet, sekurang-kurangnya, mempunyai sebab yang kukuh atas bencana yang menimpanya. Manakala Saul, yang pada mulanya sangat berbakat, seharusnya menjadi lebih matang dan jauh lebih baik.
Kisahnya bermula dengan pengumuman bahawa di seluruh Israel bahawa tidak ada yang setanding, setinggi, sekuat, sebaik Saul. Hanya Saul yang layak untuk semua pujian.
Beliau seorang pemimpin semulajadi, putera raja di kalangan rakan sebaya, wataknya yang luar biasa diakui dan dicanang oleh rakyat. Permulaan ceritanya sangat indah seperti cerita dongeng. Namun hanya seketika.
Pada suatu ketika, keadaan mula menjadi “gelap”. Permulaan rasa cemburu dan berasa dirinya tergugat dengan kehadiran Daud, seorang pemuda yang lebih muda, lebih kacak, lebih berbakat dan lebih terkenal.
Rasa iri hati, marah, tidak puas hati dan dengki perlahan-lahan meracuni jiwa Saul.
Melihat Daud, dia hanya melihat populariti Daud yang melampaui dirinya sendiri, bukan kebaikan Daud dan tidak merenung mengapa serta bagaimana kebaikan itu boleh menjadi hadiah dan kegembiraan bagi ramai orang.
Saul berubah menjadi seorang yang pemarah, iri hati, dingin serta cuba membunuh Daud tetapi Saul akhirnya mati akibat perbuatannya sendiri. Saul, seorang lelaki baik semasa muda, berubah menjadi lelaki pemarah dan jahat.
Apa yang berlaku pada Saul? Bagaimanakah seseorang yang mempunyai banyak kebaikan, bakat, kuasa dan berkat, bertukar menjadi seorang yang pemarah dan berhasad dengki sehingga dirinya terbunuh akibat perbuatan sendiri?Bagaimana ini berlaku?
Mendiang Margaret Laurence, dalam novelnya yang agak berani dan bijak, The Stone Angel, memberi kita penerangan yang menarik tentang bagaimana seorang yang baik seperti Saul, berubah menjadi jahat.
Dalam novel itu, Margaret Laurence menampilkan watak utama, Hagar Shipley, yang agak mirip dengan kisah Saul dalam Perjanjian Lama.
Kisah Hagar bermula seperti Saul: Semasa muda, dia sangat baik dan penuh potensi. Apa yang terjadi dengan wanita muda yang cantik, berkulit cerah, berbakat dan muda itu?
Malangnya, tidak banyak yang menggembirakan. Hagar hanyut dalam segala hal: semasa meniti usia dewasa, perkahwinan yang tidak bahagi, dan menghadapi kekecewaan mendalam yang tidak disedarinya. Tanpa menyedari, Hagar menjadi seorang yang selamba, dingin, tidak peduli, tanpa tenaga atau cita-cita.
Apa yang menyedihkan ialah dia tidak menyedari perkara yang telah mengubah fizikal dan kerohaniannya.
Lebih malang lagi, Hagar sentiasa berfikir bahawa dia masih seorang gadis muda, baik, peramah, popular, menarik seperti semasa di sekolah menengah.
Dia tidak perasan betapa kecilnya dunianya, betapa sedikitnya kawan-kawan di sekelilingnya, betapa sedikitnya dia mengagumi apa-apa atau sesiapa sahaja bahkan betapa dia telah membiarkan dirinya menjadi kucar-kacir secara fizikal.
Tetapi, Hagar disedarkan dengan realiti ini. Tetapi kesedaran itu berlaku dengan tiba-tiba dan kejam.
Pada suatu hari semasa musim sejuk, dengan berpakaian lusuh, dia membunyikan loceng pintu rumah tempat dia selalu menghantar telur.
Seorang anak kecil membuka pintu, melihat Hagar dan kanak-kanak itu berlari mendapatkan ibunya. Hagar terdengar kata-kata kanak-kanak itu, “Ibu, wanita tua yang mengerikan itu ada di depan pintu!” Hagar sangat terkejut!
Terkedu, dia meninggalkan rumah dan menuju ke bilik mandi awam di mana dia memasang semua lampu dan meneliti wajahnya di cermin.
Dari cermin, Hagar melihat wajah seseorang yang tidak dikenalinya, seseorang yang menyedihkan bertentangan dengan apa yang dibayangkan tentang dirinya.
Dia melihat dialah wanita tua penghantar telur yang mengerikan yang dilihat oleh kanak-kanak tadi.
Keadaannya sangat jauh berbeza semasa dia masih muda, peramah, menarik, berjiwa besar dan dia masih mengingati bahawa dia masih cantik seperti dulu.
Bagaimana ini boleh berlaku? Hagar bertanya kepada dirinya sendiri.
Bagaimanakah kita, yang jarang perasan akan “kegelapan” jiwa kita sendiri, menyedari bahawa kita tidak sebaik dahulu malah menjadi seseorang yang tidak kita kenali?
Ini boleh berlaku kepada kita semua. Bukan mudah untuk menerima dan melihat golongan muda mengambil alih, menerima populariti dan pujian yang pernah menjadi milik kita.
Seperti Saul, kita boleh dengan mudah dipenuhi dengan kecemburuan dan kemarahan yang membabi buta dan seperti Hagar, kita tidak menyedari diri kita semakin hilang cahaya. Tetapi hal ini dapat dilihat oleh orang lain.
Tetapi semasa hal ini berlaku, mungkin kita kekal sebagai orang yang baik dan pemurah, kecuali kita lebih sinis, celupar dan menghakimi, berbanding dahulu.
Kita tetap orang yang baik, tetapi terlalu banyak merungut, terlalu banyak penyesalan diri sendiri, lebih mengutuk berbanding memberkati mereka yang telah menggantikan kita, yang muda, popular dan istimewa.
Oleh sebab itu, salah satu tugas utama manusia dan kerohanian ialah, pada tahap separuh kedua kehidupan, adalah tepat untuk mengenali sifat-sifat cemburu, keburukan dan kejahatan dalam diri kita dan kembali semula kepada cinta dan kesegaran masa muda kita, untuk mengalami kenaifan peringkat kedua dan untuk memulakan sekali, memberi atau memandang orang lain, terutamanya yang muda, pandangan kekaguman.
Pada permulaan Kitab Wahyu, penulis, menulis sabda Tuhan yang memberi nasihat ini untuk kita, terutama bagi kita yang berada di luar garis masa kemudaan: “Aku telah melihat betapa kerasnya kamu bekerja. Aku mengiktiraf kemurahan hati anda dan semua kerja baik yang anda lakukan.
Tetapi Aku menentang kalian yang mempunyai kurang kasih sayang dalam diri anda sekarang berbanding semasa anda masih muda! Lihatlah kembali, di mana anda telah jatuh!”
Lebih baik kita mendengar nasihat ini dari Kitab Suci sebelum kita mendengarnya daripada seorang kanak-kanak yang memberitahu ibunya bahawa ada orang tua yang jahat, hodoh dan tua ada di depan pintu! — Hakcipta Terpelihara 1999-2024 @ Fr Ron Rolheiser
Total Comments:0