Kesalehan dan akademik teologi
Saya hidup di tengah-tengah sempadan. Saya tidak bercakap mengenai geografi, tetapi yang memisahkan bangku gereja dalam dewan akademik teologi.
Dec 01, 2023
Saya hidup di tengah-tengah sempadan. Saya tidak bercakap mengenai geografi, tetapi yang memisahkan bangku gereja dalam dewan akademik teologi.
Saya dibesarkan sebagai Katolik Roman yang konservatif. Walaupun ayah saya bekerja dalam bidang politik untuk parti Liberal, kebanyakan perkara dalam didikan saya adalah konservatif, terutamanya yang berkaitan dengan agama.
Dalam sehala hal, saya adalah seorang Roman Katolik yang teguh dan taat. Saya membesar semasa kepausan Bapa Suci Pius XII (sehingga nama adik bongsu saya juga bernama Pius, yang menunjukkan betapa setianya kami kepada Sri Paus dan ajaran Katolik).
Kami percaya bahawa Roman Katolik adalah satu-satunya agama yang benar dan percaya bahawa agama Protestan serta Evangelis perlu menukar dan kembali kepada kepercayaan yang benar. Saya menghafal katekismus Roman Katolik dan mempertahankan setiap perkataannya.
Lebih-lebih lagi, selain menjadi orang yang setia kepada gereja, keluarga saya sangat taat kepada kebaktian kesalehan (piety) dan devosi-devosi: kami berdoa rosari bersama-sama sebagai sebuah keluarga setiap hari; mempunyai patung dan gambar orang kudus di sekeliling rumah kami; memakai medali yang diberkati di leher kami; berdoa litani kepada Maria, Yosef dan Hati Kudus pada bulan-bulan tertentu; dan mengamalkan pengabdian yang khusyuk kepada orang-orang kudus. Dan kebaktian-kebaktian itu sangat indah. Saya, selama-lamanya akan bersyukur di atas praktik-praktik asas agama itu.
Saya meninggalkan rumah keluarga saya untuk ke seminari pada usia muda tujuh belas tahun dan tahun-tahun awal di seminari, te-lah menguatkan apa yang keluarga saya telah berikan kepada saya.
Ahli akademik yang saya temui adalah orang-orang yang baik dan bijaksana serta kami digalakkan untuk membaca buku yang ditulis oleh para pemikir yang hebat dalam pelbagai disiplin.
Tetapi pengajian tinggi ini masih berdasarkan dengan kukuh akan etos Roman Katolik yang menghormati latar belakang agama dan kebaktian saya. Pengajian awal universiti saya masih sejalan dengan kesalehan saya.
Fikiran saya berkembang, tetapi ketakwaan saya tetap utuh.
Cara saya dibesarkan memberi pengaruh yang kuat dalam diri saya. Tetapi, secara beransur-ansur, selama bertahun-tahun, dunia saya telah berubah.
Belajar di pelbagai sekolah siswazah, mengajar di fakulti siswazah, berhubung setiap hari dengan mereka yang berbeza iman, membaca novelis dan pemikir kontemporari, dan mem-punyai rakan-rakan akademik yang sangat saya hargai, saya akui, memberi sedikit tekanan pada ketakwaan masa muda saya. Sejujurnya, kami tidak sering berdoa rosari atau litani kepada Maria atau Hati Kudus di dalam kelas siswazah atau di perhimpunan fakulti.
Walau bagaimanapun bilik darjah akademik dan perhimpunan fakulti membawa sesuatu yang lain, sesuatu yang amat diperlukan di bangku gereja dan dalam kalangan orang-orang saleh iaitu visi dan prinsip teologi yang kritikal untuk mengawal ketakwaan yang liar, fundamentalisme yang naif, dan semangat keagamaan yang sesat.
Apa yang saya pelajari dalam kalangan akademik juga mengagumkan dan saya sentiasa bersyukur atas keistimewaan berada dalam kalangan akademik sepanjang hayat dewasa saya.
Tetapi, sudah tentu, itu boleh mencetuskan ketegangan, walaupun yang sihat. Izinkan saya menggunakan suara orang lain untuk menyatakan perkara ini.
Dalam bukunya Silence and Beauty oleh artis Jepun Amerika, Makoto Fujimura, berkongsi tentang kejadian ini yang terjadi dalam hidupnya.
Pada suatu Hari Minggu, beliau ke Gereja dan dia diminta oleh paderinya untuk menulis namanya dalam senarai memboikot filem, The Last Temptation of Christ.
Fujimura menyukai paderinya dan ingin menggembirakannya dengan menandatangani petisyen itu, tetapi berasa teragak-agak untuk menandatangani atas sebab-sebab yang pada masa itu, dia tidak dapat menyatakannya.
Tetapi isterinya telah mengatakan sesuatu. Sebelum beliau menandatangani, isterinya mencelah, “Artis mungkin ada peranan lain bukan setakat memboikot filem sahaja.”
Fujimura faham apa yang isterinya maksudkan dan tidak menandatangani petisyen itu.
Tetapi kejadian itu menyebabkan dia memikirkan ketidakselesaannya antara memboikot filem sedemikian dan peranannya sebagai seorang artis.
Maka dia menulis seperti ber-ikut: Seorang artis sering ditarik ke dua arah. Orang yang konservatif agama cenderung melihat budaya sebagai suspek paling baik, dan apabila kenyataan budaya dibuat untuk melanggar realiti normatif yang mereka sayangi, tindak balas mereka yang lalai adalah untuk menentang dan memboikot.
Orang dalam komuniti artistik yang lebih liberal melihat langkah-langkah yang melampaui batas ini sebagai perlu untuk ‘kebebasan bersuara’ mereka. Seniman seperti saya, yang menghargai agama dan seni, tidak akan diterima oleh mereka.
Namun, saya cuba untuk berpegang kepada kedua-dua komitmen ini, tetapi ia tidak mudah.
Selain itu, saya juga menghadapi pergelutan lain. Ajaran agama semasa saya remaja, yang diturunkan oleh bapa saya, dan cabang Katolik yang kaya itu, sesungguhnya adalah nyata dan memberi kehidupan; tetapi begitu juga teologi ikonoklastik akademi yang kritikal (kadang-kadang meresahkan).
Kedua-duanya amat memerlukan antara satu sama lain; namun seseorang yang cuba setia kepada kedua-duanya seperti Fujimura, akhirnya merasa diasingkan daripada kedua-duanya. Ahli teologi juga mempunyai peranan lain selain memboikot filem.
Orang yang saya ambil sebagai mentor dalam bidang ini adalah lelaki dan wanita yang, pada pandangan saya, boleh melakukan kedua-duanya.
Contohnya seperti Dorothy Day, yang selesa dengan kedua-dua aliran, yang boleh mengetahui rosari dan perarakan keamanan; atau seperti Jim Wallis, yang boleh menyokong penglibatan sosial radikal dan pada masa yang sama, mendekatkan diri dengan Yesus; dan seperti Thomas Aquinas, yang inteleknya boleh menakut-nakutkan para intelek, tetapi dia boleh berdoa dengan ketakwaan seorang kanak-kanak.
Lingkaran kesalehan dan akademi teologi bukanlah musuh. Kedua-duanya perlu ‘bersahabat’ antara satu sama lain. — Hakcipta Terpelihara 1999-2023 @ Fr Ron Rolheiser
Total Comments:0