Keselamatan bagi mereka yang meninggal di luar pangkuan Gereja

Lebih-lebih lagi, dalam bahasa abstrak teologi akademik, Tuhan mempunyai kehendak universal untuk keselamatan, dan ini ditujukan kepada semua orang, termasuk agnostik dan ateis.

Sep 11, 2021

Baru-baru ini di sebuah bengkel, seorang wanita berkongsi kegelisahannya mengenai kematian abangnya.

Abangnya telah meninggal dunia akibat virus Covid sebelum vaksin sempat dicipta, dan telah meninggal kerana terdedah dengan serangan virus mematikan itu. Namun, punca si abang terdedah pada bahaya virus itu kerana alasan yang mulia. Beliau seorang veteran tentera, yang tinggal bersendirian, menggunakan sebahagian besar gaji dan simpanannya untuk memasak makanan dan membawa makanan itu untuk dibahagi-bahagikan kepada para gelandangan yang tinggal di bawah jambatan, di pekan kelahirannya, Austin, Texas.

Sudah tentu kematiannya sangat mulia, mati sebagai Kristian sejati, namun semasa menginjak usia dewasa, dia pernah kehilangan kepercayaan yang jelas terhadap Tuhan dan Yesus, lalu mengisytiharkan dirinya sebagai agnostik (namun dia tidak membenci agama).

Dia tidak lagi percaya kepada Tuhan atau ke gereja. Si adik menceritakan bahawa dia sangat menyayangi abangnya, kagum melihat usaha abangnya yang memberi makan orang-orang kehilangan tempat tinggal, dan pada masa yang sama, bimbang akan kematiannya di luar kepercayaan dan gereja.

Kerisauan si adik ini meningkat kerana salah seorang abangnya, merupakan fundamentali s Kristian, yang tegas dan sangat percaya bahawa mati di luar gereja bermaksud tidak ada keselamatan; secara ringkas, mati di luar pangkuan gereja akan berakhir di neraka.

Tetapi, si adik memahami bahawa ini mungkin tidak benar. Namun dia masih merasa bimbang akan hal itu dan ingin mengatakan bahawa saudara fundamentalisnya adalah salah dan berharap agar rasa cemasnya tentang keselamatan abadi untuk abangnya yang sudah meninggal, hanyalah kegelisahan yang sia-sia.

Apa yang dapat kita katakan di sini? Beberapa perkara boleh diperkatakan. Pertama, bahawa Tuhan yang diinkarnasi dan diturunkan oleh Yesus adalah Tuhan yang sangat bertentangan dengan fundamentalisme dan ketakutan tentang keselamatan itu adalah sia-sia. Yesus menegaskan kepada kita bahawa Tuhan membaca hati kita yang penuh rumit dan semua yang sukar.

Seorang fundamentalis hanya membaca apa yang tertera pada teks atau dokumen, bukan kebaikan hati. Juga, kitab suci menggambarkan Tuhan sebagai 'Tuhan yang cemburu' tetapi ini tidak bermaksud Tuhan menjadi cemburu dan marah ketika kita sibuk dengan perkara kita sendiri atau ketika kita mengkhianati Tuhan kerana kelemahan dan dosa. Sebaliknya, ini bermaksud bahawa Tuhan, seperti ibu bapa yang bersungguh-sungguh, tidak pernah mahu kehilangan kita dan mencari dengan segala cara yang mungkin agar kita tidak jauh daripada-Nya dan sekali-kali tidak mahu menyakiti kita.

Lebih-lebih lagi, dalam bahasa abstrak teologi akademik, Tuhan mempunyai kehendak universal untuk keselamatan, dan ini ditujukan kepada semua orang, termasuk agnostik dan ateis. Lebih khusus lagi, Yesus memberi kita tiga perspektif yang saling mempengaruhi, yang memperlihatkan betapa sempitnya semua pemikiran fundamentalis mengenai siapa yang dapat pergi ke syurga dan siapa yang masuk neraka.

Pertama, Dia memberi kita perumpamaan tentang seorang lelaki yang mempunyai dua anak lelaki dan dia meminta mereka berdua bekerja di ladangnya. Anak lelaki pertama mengatakan bahawa dia tidak akan melakukannya, tetapi akhirnya dia melakukan pekerjaan itu. Anak kedua pula mengatakan bahawa dia akan melakukan kerja itu, tetapi akhirnya tidak melakukannya. Jadi, mana satu anak lelaki yang bersikap benar? Jawapannya jelas, dan Yesus menjelaskan perumpamaan ini seperti beikut: Tidak semestinya mereka yang mengatakan 'Tuhan, Tuhan' akan memasuki kerajaan syurga, tetapi mereka yang melakukan kehendak Tuhan di bumi.

Apa yang disoroti oleh perumpamaan ini adalah apa yang telah diajarkan oleh para teologi (dari John Henry Newman hingga Karl Rahner), iaitu, bahawa seseorang dapat memiliki iman pengertian yang menjadi suluh atau terang iman sejati.

Sebaliknya, seseorang secara terang-terangan menyangkal apa yang kita percaya dalam pengertian iman kita namun berdasarkan apa yang dituntut oleh iman sejati, memiliki iman yang sebenarnya kerana ini tidak semestinya dimanifestasikan dalam konsep iman seseorang sebaliknya dalam hasil kehidupan seseorang.

Juga, kita dikejutkan dengan peringatan dalam Matius 25 tentang bagaimana kita akhirnya akan dihakimi sama ada ke syurga atau neraka, iaitu, apakah kita melayani orang miskin atau tidak. Peringatan ini tidak menunjukkan bahawa iman dan kehadiran gereja di Gereja akan membawa ke syurga sebaliknya ia adalah peringatan.

Meskipun iman dan menghadiri ibadat di Gereja itu penting, tetapi Yesus mengingatkan kita bahawa ada perkara lain yang lebih penting.

Akhirnya, dan mungkin yang paling luas dalam hal ini, Yesus memberi kita kekuatan untuk mengikat dan melepaskan. Sebagai bahagian Tubuh Kristus, kasih kita, seperti kasih Yesus, menjadikan orang yang dikasihi tetap terhubung dengan komuniti keselamatan. Seperti yang dikatakan oleh Gabriel Marcel, untuk mencintai seseorang, anda tidak akan pernah tersesat. Kasih wanita ini terhadap abangnya memberi jaminan bahawa si abang tidak berada di neraka.

Ada banyak yang mahu saya katakan tetapi saya lebih suka merujuk kepada petikan indah dari Charles Peguy, seorang penyair dan penulis esei Perancis yang terkenal. Peguy pernah menyatakan bahawa ketika kita mati dan berdiri di hadapan Tuhan, kita masing-masing akan ditanya satu pertanyaan: "Di mana yang lain?" (Ou sont les autres?).

Saya memberi jaminan kepada wanita yang cemas tadi, bahawa dia tidak perlu bimbang tentang keselamatan abangnya, walaupun dia mati di luar kepercayaan dan gereja yang jelas. Ketika dia berdiri di hadapan Tuhan dan diajukan pertanyaan (Di mana yang lain?) Dia mempunyai jawapan yang sangat baik: Mereka berada di bawah jambatan di Austin. — Hakcipta Terpelihara 1999- 2021@Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments