Keuskupan Keningau siap sedia terima kedatangan Penziarah Harapan 2025

Kita Umat Tuhan yang berjalan bersama dalam Yesus Kristus di Keuskupan Keningau bersyukur kepada Tuhan kerana Sri Paus Fransiskus telah mengisytiharkan tahun 2025 sebagai Tahun Jubli dengan Tema, “Penziarah Harapan.”

Dec 20, 2024

Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon di Keningau


Kita Umat Tuhan yang berjalan bersama dalam Yesus Kristus di Keuskupan Keningau bersyukur kepada Tuhan kerana Sri Paus Fransiskus telah mengisytiharkan tahun 2025 sebagai Tahun Jubli dengan Tema, “Penziarah Harapan.”

Dengan semangat sinodal bersama Gereja sejagat kita bersyukur atas peluang Tahun Jubli 2025 ini kerana ini adalah satu kesempatan istimewa di mana, kita diberi peluang untuk berdamai dengan Tuhan serta meneguhkan iman, harapan dan kasih kita kepada-Nya.

Saya percaya, melalui dekrinya Spes Non Confundit “Pengharapan tidak mengecewakan”, Sri Paus memahami keadaan dunia pada masa kini yang tidak menentu, banyak perkara yang menakutkan misalnya peperangan, bencana alam, penyakit, kebuluran, tidak setia kepada bimbingan Tuhan. Semua ini memerlukan pengharapan daripada balas kasihan dan penyembuhan-Nya.

Sesuai dengan program sejagat Tahun Jubli 2025, di Keuskupan Keningau, Misa pembukaan Tahun Jubli akan diadakan pada Disember 29, 2024 di Gereja Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon Keningau (PZKKNS) pada pukul 10.30 pagi.

Sesudah pelancaran, Ziarah akan dibuka sepanjang tahun 2025 kepada umat Keuskupan Keningau mahupun luar Keuskupan Keningau.

Keistimewaan yang terdapat di PZKKNS yang boleh meneguhkan ‘Pengharapan’ kita ialah terdapat Menara Salib Suci, patung Bonda Maria dari Lourdes, patung Keluarga Kudus, Jalan Salib dan patung Msgr August Wachter.

Selain berziarah ke PZKKNS, para penziarah juga boleh melawat Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal (RRKKT), di mana umat boleh mengambil masa merenung dan menghargai alam ciptaan Tuhan di kawasan Gereja Laudato Si’, Tatal dan mengunjungi Sakramen Mahakudus di Chapel Adorasi.

Sepanjang hidup kita di dunia ini dengan cabaran-cabaran hidup dan iman yang kita hadapi, kita perlu ada Sumber Pengharapan. Semoga Tahun Jubli 2025 ini yang bertemakan “Penziarah Harapan” ini menyegarkan kembali iman semua umat beriman.

Marilah kita gunakan kesempatan ini untuk datang kepada Yesus, Pintu Keselamatan kita untuk dibaharui dan diteguhkan kembali dalam Iman, Harapan dan Kasih kita (Yoh 10: 7 - 10).

Ambillah peluang melakukan Ziarah ke tempat-tempat yang diisytiharkan sebagai tempat Ziarah sempena Tahun Jubli, 2025.

Selamat memasuki Tahun Jubli 2025.

+ Bishop Datuk Cornelius Piong
Disember 9, 2024

Total Comments:0

Name
Email
Comments