Khutbah jangan lebih 10 minit!

“Semua aktiviti penginjilan bergantung pada Roh Kudus. Penginjilan tidak bergantung pada inisiatif pastoral yang dipromosikan oleh kita,” kata Sri Paus Fransiskus semasa audiensi umum mingguannya pada Disember 4 lalu.

Dec 14, 2024

Sri Paus Fransiskus bertemu dengan dua orang penziarah semasa audiensi umum mingguannya pada Disember 4, 2024. Gambar: Media Vatikan.


VATIKAN: “Semua aktiviti penginjilan bergantung pada Roh Kudus. Penginjilan tidak bergantung pada inisiatif pastoral yang dipromosikan oleh kita,” kata Sri Paus Fransiskus semasa audiensi umum mingguannya pada Disember 4 lalu.

Meneruskan siri katekesisnya mengenai “Roh Kudus dan Mempelai Perempuan”, Bapa Suci bercakap tentang penginjilan dan peranan berkhutbah dalam Gereja Katolik.

Prelatus itu menekankan kepentingan doa dan menegaskan bahawa semua orang Kristian harus meminta syafaat Tuhan dalam kerja penginjilan kerana semua usaha penginjilan kita tidak bergantung kepada tenaga kita sebaliknya pada kedatangan Roh Kudus.”

“Roh Kudus datang kepada mereka yang berdoa kerana ada tertulis Bapa syurgawi akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta kepada-Nya (Luk 11:13),” kata Bapa Suci kepada para penziarah di Dataran Sto Petrus.

“Lebih-lebih lagi jika kita meminta- Nya untuk mewartakan Injil Putera-Nya!” Uskup Roma itu merujuk teladan Yesus semasa permulaan pelayanan umum-Nya.

“Kita perlu untuk meniru teladan dan doa Yesus yang berkata, “Roh Tuhan ada pada- Ku kerana Dia telah mengurapi Aku untuk menyampaikan khabar gembira kepada orang miskin” (Luk 4:18).

“Berkhutbah dengan bimbingan Roh Kudus bermakna menyampaikan, bersama dengan idea dan doktrin, kehidupan, dan keyakinan iman kita.”

Sri Paus menekankan keperluan untuk mengutamakan doa daripada “kata-kata hikmat yang meyakinkan.” Bapa Suci juga mengingatkan para hadirin agar berhati-hati terhadap keinginan untuk “mengkhutbahkan diri kita sendiri”.

“Kita harus berkhutbah tentang Yesus Kristus. Berkhutbah melalui ilham Roh Kudus bermakna kita tidak berdakwah tentang diri sendiri dan menggelakkan untuk mengaitkan nama kita dengan inisiatif pastoral yang dipromosikan oleh kita,” ujar Sri Paus.

Khutbah jangan melebihi 10 minit!
Sri Paus Fransiskus juga berpesan kepada para pengkhutbah agar berkhutbah “tidak melebihi 10 minit” kerana pendengar boleh hilang minat untuk mendengar.

“Pengkhutbah harus menyampaikan idea, perasaan dan seruan untuk bertindak tidak melebihi 10 minit. Biasanya, selepas lapan minit, pendengar mulai hilang fokus,” kata Bapa Suci yang disambut dengan tepukan daripada beberapa orang penziarah.

Bapa Suci mengakhiri katekesisnya dengan berkat Adven.

Prelatus itu juga meminta para hadirin untuk berdoa bagi rakyat Ukraine, Palestine, Israel dan para mangsa peperangan. --CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments