Kita hanya perlu menjadi setia!

Beberapa tahun yang lalu, seorang kawan saya membuat lamaran perkahwinan yang sangat tidak romantik kepada tunangnya.

Mar 08, 2025

Beberapa tahun yang lalu, seorang kawan saya membuat lamaran perkahwinan yang sangat tidak romantik kepada tunangnya.

Rakan saya berusia di pertengahan puluhan dan telah mengalami beberapa kesakitan, yang sebahagiannya disebabkan oleh kesalahannya sendiri dan perasaan yang beralih tanpa diduga di pihaknya.

Sekarang, pada pertengahan umur, dalam pergelutan agar tidak kecewa dengan cinta dan percintaan, dia bertemu dengan seorang wanita yang dikagumi serta ingin membina kehidupan dengan wanita itu.

Tetapi, dia tidak yakin dengan dirinya sendiri, dia berasa kurang yakin terhadap cadangannya sendiri.

Pada dasarnya, ini merupakan pengakuannya semasa melamar wanita itu: Saya ingin meminta anda untuk berkahwin dengan saya tetapi saya perlu meluahkan segala-galanya terlebih dahulu.

Saya tidak berpura-pura tahu apa maksud cinta. Ada masa dalam hidup saya apabila saya memikirkan bahawa saya tahu apa itu cinta, tetapi saya telah melihat bahawa perasaan itu dapat beralih terlalu kerap sehingga saya hilang keyakinan bahawa saya akan dapat mencintai buat selama-lamanya.

Jadi, secara jujur, saya tidak dapat berjanji bahawa saya akan sentiasa mencintai anda. Tetapi saya boleh berjanji bahawa saya akan sentiasa setia, bahawa saya akan sentiasa memperlakukan anda dengan hormat, bahawa saya akan sentiasa melakukan segala-galanya dalam kuasa saya untuk berada di samping anda untuk membantu anda mencapai impian anda sendiri dan saya akan sentiasa menjadi rakan kongsi yang jujur dalam usaha membina kehidupan bersama.

Saya tidak dapat menjamin saya akan sentiasa mencintai anda tetapi saya boleh berjanji bahawa saya tidak akan mengkhianati anda dengan ketidaksetiaan.

Itu bukanlah lamaran perkahwinan yang kita lihat dalam filem dan novel romantis, yang pada kebanyakannya adalah kepercayaan naif bahawa keghairahan dan keseronokan yang kita alami semasa mulamula jatuh cinta, akan tetap kekal seperti itu selama-lamanya. Pengakuan rakan saya adalah pengakuan yang matang, yang tidak menjanjikan sesuatu yang tidak dapat dipertahankan.

Jika kita dapat memahami cinta secara matang, ia dapat memberi pencerahan yang baik, bagaimana iman berfungsi.

Iman juga, pada akhirnya, adalah lebih kepada tindakan kesetiaan. Iman bukan berdasarkan semangat atau perasaan kita.

Sebagai contoh, semasa saya berada di seminari, rakan sekelas saya meluangkan masa pada musim panas untuk melakukan retret selama tiga puluh hari.

Matlamatnya adalah untuk cuba memperkuat imannya agar lebih bersemangat, bersemarak serta menguatkan lagi hatinya. Namun, akhirnya dia masih bergelut. Dia akhirnya memahami bahawa iman yang kuat bukan berdasarkan cinta yang kuat terhadap Tuhan. Cinta itu sahaja tidak dapat membangkitkan perasaan hangat tentang kewujudan dan cinta Tuhan.

Beliau mengakui, dia tidak berasa apaapa, tidak merasai kehangatan, semangat, emosi, dan peningkatan semangat tentang iman yang dicari semasa retret tersebut.

Dia kembali dari retret dengan perasaan yang hambar, tetapi ada perubahan: “Saya tidak pernah mendapat apa yang saya harapkan,” katanya, “tetapi saya mendapat sesuatu yang lain”.

“Saya belajar untuk menerima bahawa iman saya tidak berubah dan saya mendapat pengajaran bahawa perkara ini baik-baik saja. Tidak semestinya saya harus mempunyai perasaan hangat dan imaginatif tentang iman saya. Saya tidak perlu dipenuhi dengan emosi dan semangat membara.”

“Saya hanya perlu setia dalam tindakan saya, tidak mengkhianati apa yang saya percayai. Bagi saya, iman ialah tindakan yang perlu saya jalani melalui amal kebajikan, rasa hormat, kesabaran, kesucian dan kemurahan hati. Saya hanya perlu melakukannya. Saya tidak perlu selalu merasakannya.”

Iman dan cinta terlalu mudah dikaitkan dengan emosi, perasaan, semangat, pengaruh dan api romantis.

Dan perasaan itu adalah sebahagian daripada misteri cinta, bahagian yang kita cenderung untuk mengasihi dan menikmati.

Namun, meskipun perasaan itu indah, pengalaman menunjukkan, ia adalah rapuh dan tidak bertahan lama.

Dunia kita boleh berubah dalam lima belas saat kerana kita boleh jatuh atau api cinta itu padam pada masa itu.

Perasaan yang ghairah dan romantis adalah sebahagian daripada cinta dan iman, tetapi bukan bahagian yang paling dalam dan tidak dapat dikawal.

Oleh itu, meskipun tidak romantik, saya suka pengakuan hambar seperti yang diluahkan oleh rakan saya tentang perkahwinan.

Kata-kata beliau, juga boleh digunakan dalam hal iman. Bagi sesetengah daripada kita, iman tidak terjadi dalam masa yang singkat. Ia juga bukan sesuatu yang menghangatkan emosi kita dan mengisi kita dengan kehangatan.

Kita tahu bahawa perasaan itu tidak bertahan lama. Seperti rakan sekerja saya yang pulang dari retret tanpa mendapat apa-apa, sesetengah daripada kita mungkin perlu bergelut dengan iman, bergelut untuk orang lain dan diri kita sendiri: Saya tidak dapat menjamin perasaan saya kekal sampai bila-bila. Saya tidak boleh berjanji bahawa saya akan sentiasa mempunyai keghairahan emosi tentang iman saya, tetapi saya boleh berjanji saya akan sentiasa setia, saya akan sentiasa bertindak dengan hormat dan saya akan sentiasa melakukan segala-galanya dalam kuasa saya, sejauh kekuatan manusia saya, untuk membantu orang lain dan Tuhan.

Cinta dan iman diterjemahkan dalam bentuk kesetiaan bukan sekadar perasaan. Kita tidak dapat menjamin bagaimana kita akan sentiasa bersemangat tetapi kita boleh hidup dalam kesungguhan firman agar tidak pernah mengkhianati apa yang kita percayai! Hakcipta Terpelihara 1999-2025 @ Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments