Kita semua adalah saudara

Majlis pertemuan dua tokoh agama Katolik dan Islam

Aug 12, 2022

Majlis pertemuan Mahabbah dua tokoh agama, Uskup Sebastian Francis dan Tn Guru Hj Hashim Jasin pada 5 Ogos 2022 di Kangar, Perlis.


KANGAR, Perlis: “Dalam dunia hari ini, nilai-nilai kerohanian amat diperlukan terutamanya dalam bidang politik di Malaysia. Saya menjemput saudara Tuan Guru, diri saya dan semua pemimpin agama dari semua agama di Malaysia untuk menjadi suara keamanan, keharmonian dan keprihatinan dalam masyarakat, dan dalam politik," kata Uskup Sebastian Francis semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam mempromosi keharmonian yang dianjurkan oleh Lajnah Dakwah PAS.

Pada 5 Ogos lalu, Dato' Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS dan Yang Mulia Sebastian Francis, Uskup Keuskupan Pulau Pinang, bersama delegasi mereka bertemu di Kangar, Perlis bagi menghadiri majlis makan malam merangkap majlis pertemuan dua tokoh agama Katolik dan Islam yang bertema ‘Bersama Menyuburkan Kehidupan Aman Dan Sejahtera’.

Pertemuan dua figura besar agama ini adalah meneladani perjumpaan Sri Paus Fransiskus dan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmad Al-Tayyeb pada 4 Februari 2019 yang melahirkan Deklarasi Abu Dhabi iaitu “Persaudaraan Manusia Untuk Keamanan Dunia dan Hidup Bersama”.

Deklarasi ini mengajak semua orang yang beriman kepada Tuhan untuk bersatu padu dan bekerjasama agar menjadi pembimbing generasi akan datang dalam memajukan budaya saling hormat-menghormati, dengan menyedari akan kebesaran Tuhan yang menjadikan semua manusia bersaudara.

Kedua-dua agamawan ini, Uskup Sebastian dan Tuan Guru Hashim menyentuh tentang persaudaraan manusia yang merangkumi semua manusia dan menyatukan mereka dalam satu kemanusiaan.

Mereka juga menggesa rakyat Malaysia supaya mencari persamaan dan bukannya perbezaan demi mencapai keamanan dan keharmonian negara.

“Saya mengakui bahawa perbezaan doktrin antara Islam dan Kristian wujud dan kita meneruskan kepercayaan kita masing-masing sepertimana yang ditentukan oleh Kitab Suci Al-Quran dan Alkitab,” kata Uskup Sebastian.

“Walau bagaimanapun,” tambahnya, “kita boleh memberi tumpuan kepada persamaan antara kita dan mengenal pasti dengan kecintaan kita yang sama terhadap kemanusiaan atau dalam Bahasa Inggeris, “Love for humanity”.

Uskup Sebastian juga berbicara tentang ensiklik Sri Paus Fransiskus bertajuk Fratelli Tutti atau “Kita Semua adalah Saudara.”

Setahun kemudian, Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmad Muhammad Al-Tayeb dalam satu temuramah telah mengulas bahawa Fratelli Tutti membawa ke arah dialog dan kewujudan bersama antara manusia serta menerapkan prinsip moral agama untuk mewujudkan persaudaraan sejati.

Prelatus itu juga mengatakan lawatan Bapa Suci ke Iraq dan bakal melawat Kazakhstan serta Indonesia akan mengukuhkan lagi ikatan antara Islam dan Kristian.

“Dengan meneladani langkah yang diambil oleh Sri Paus Fransiskus dan Sheikh Ahmad Al-Tayeb, kita perlu bekerja keras dengan ahli akar umbi kita dalam mempromosikan keamanan dan persaudaraan, kata Uskup Sebastian seraya mengajak para penganut Islam dan Kristian agar sama-sama menjadikan negara ini lebih hebat dan aman damai.

Tuan Guru Hashim menggesa semua untuk mengambil bahagian dalam ‘perpaduan ummah’ yang bukan sahaja melibatkan perpaduan dalam arena politik tetapi juga perpaduan antara agama.

Katanya, “kita mungkin ada perbezaan tetapi lebih banyak persamaan yang perlu diraikan.” Beliau juga menggalakkan agar perhimpunan seperti ini lebih kerap diadakan.

Kira-kira 80 peserta, 45 daripada PAS dan 35 Katolik dari Perlis yang diketuai oleh Fr Francis Xavier, menghadiri majlis makan malam merangkap perhimpunan tersebut.

Juruacara Tn. Haji Abdul Rahman juga menjemput peserta PAS dan ahli Gereja untuk berkongsi pengalaman masing-masing, menjalin persahabatan agar hubungan itu terus terjalin.

Total Comments:1

Name
Email
Comments
Kamalhairolkamal7171@gmail.com
A good program to foster good relationship between a Christian leader and a political party which always been associated with extrimism... Malaysia Boleh